SOALAN:
SAYA ingin mendapatkan penjelasan berkenaan peraturan susunan saf yang betul
semasa solat jemaah seperti solat Jumaat. Saya perhatikan walaupun masih ada
ruang di dalam dewan masjid atau kawasan bangunan masjid, ramai yang lebih
suka berada di luar masjid dan kawasan bangunan masjid seperti di tepi
longkang,
jalan, pagar tempat letak kereta dan lain-lain yang jauh dan terputus dari
saf dalam masjid.
Bukan sahaja saf demikian tidak bersambungan dari saf-saf lain tetapi juga
syak dan tidak pasti kebersihannya tempat-tempat demikian. Juga adakah
pahala
berjemaah diperoleh dengan keadaan saf sedemikian?
JAWAPAN:
Persoalan menjaga saf dan merapatkan saf di dalam solat adalah merupakan
suatu permasalahan yang kian terabai.
Ramai dari kalangan masyarakat hari ini, mengambil mudah dalam hal ini
sebagaimana yang banyak berlaku di masjid-masjid dan surau-surau sekeliling
kita.
Saf-saf solat mereka kelihatan renggang, tidak sekata. Lebih mengecewakan
adalah apabila para imam sendiri tidak ambil peduli berkenaan hal ini.
Sedangkan
jika dilihat kepada hadis-hadis Rasulullah SAW dan athar para sahabat, dalam
persoalan merapatkan saf ini, sungguh betapa dititik beratkan
kesempurnaannya,
dan malah jika gagal menyempurnakannya, ada pula hadis-hadis yang berbentuk
ancaman.
Daripada Anas bin Malik sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
luruskan saf-saf kamu, sesungguhnya meluruskan saf itu sebahagian dari
kesempurnaan
solat. (riwayat al-Bukhari, Kitab: Azan, Bab: Iqamah al-solah min tamam
al-solah, no:723, Muslim, Kitab: al-solah, bab: taswiyah al-sufuf wa
iqamatiha.
no:973).
Hadis yang lain daripada Anas bin Malik: adalah Rasulullah SAW memalingkan
wajah baginda ke arah kami (menoleh ke arah kami) sebelum baginda bertakbir
seraya
berkata: luruskan dan betulkan saf kalian. (al-Bukhari, Kitab:Azan, Bab:
Taswiyah al-sufuf.,no:718, Muslim, Kitab: al-Solah, Bab:Taswiyah al-sufuf.,
no:975).
Dalam hadis yang lain, daripada al-Nu'man bin Bashir telah berkata yang
bermaksud: "Adalah Rasulullah SAW selalu membetulkan saf kami seperti
membetulkan
anak panah, sehingga kami benar-benar faham akan kepentingan membetul dan
meluruskannya (saf). Pada suatu hari ketika baginda keluar solat bersama
kami
sedang baginda hampir bertakbir terlihat seorang lelaki yang kedudukan
dadanya mengereng dari saf, lantaran baginda bersabda: "Wahai hamba-hamba
Allah
sama ada kamu betul dan luruskan saf-saf kamu atau Allah SWT memalingkan
wajah-Nya daripada wajah-wajah kamu." (Muslim, Kitab: al-Solah, Bab:Taswiyah
al-Sufuf.,
no:978, Abu Daud, Kitab: al-Solah, bab: Taswiyah al-Sufuf, No: 663,
al-Tarmidzi, Kitab: al-Solah, Bab: Ma ja fi iqamati al-Saf, no: 227.)
Imam al-Qurthubi berkata, "Yang dimaksudkan dengan perselisihan hati pada
hadis di atas adalah bahawa ketika seseorang tidak lurus di dalam safnya
dengan
berdiri ke depan atau ke belakang, menunjukkan kesombongan di dalam hatinya
yang tidak mahu diatur. Yang demikian itu, akan merosakkan hati dan
memungkinkan
menimbulkan perpecahan". (Ibn Hajar al-Asqalaniy, Fathu a-Bari fi Syarhi
sohih al-Bukhari, jld: 2, hlm: 443)
Pendapat ini juga dipersetujui oleh Imam al-Nawawi. Beliau berkata, "Berbeza
hati maksudnya, terjadi di antara mereka kebencian dan permusuhan serta
pertentangan
hati. Perbezaan ketika bersaf merupakan perbezaan zahir dan perbezaan zahir
adalah wujud dari perbezaan batin iaitu hati".
Sementara Qadi Iyyadh menafsirkannya dengan mengatakan, "Allah akan mengubah
hati mereka secara fizikal, sebagaimana di dalam riwayat lain (Allah akan
mengubah
wajah mereka)". Hal itu merupakan ancaman yang berat dari Allah. Sebagaimana
Dia mengancam orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam (iktidal), maka
Allah akan mengubah wajahnya menjadi wajah keldai.
Imam al-Kirmani menyimpulkan, "Akibat dari pertentangan dan perbezaan di
dalam saf, boleh menimbulkan perubahan anggota atau tujuan atau juga
perbezaan
balasan dengan memberikan balasan yang sempurna bagi mereka yang meluruskan
saf dan memberikan balasan keburukan bagi mereka yang tidak meluruskan
safnya".
Hadis tersebut dan hadis-hadis lain yang seumpamanya, kata lbnu Hazm,
merupakan dalil wajibnya merapikan saf sebelum dan sepanjang melaksanakan
solat. Kerana
menyempurnakan solat itu wajib, sedang kesempurnaan saf merupakan sebahagian
dari kesempurnaan solat, maka merapikan saf merupakan kewajipan.
Juga lafaz 'amr (perintah) dalam hadis di atas menunjukkan wajib. Selain
itu, Rasulullah s.a.w. setiap kali akan memulakan solat (berjemaah), selalu
menghadap
kepada jemaah dan memerintahkan untuk meluruskan saf, sebagaimana yang
diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a.
Umar bin Khattab r.a. pernah memukul Abu Uthman al-Nahdi kerana keluar dari
barisan solatnya. Juga Bilal pernah melakukan hal yang sama, seperti yang
dikatakan
oleh Suwaid bin Ghaflah bahawa Umar dan Bilal pernah memukul bahu kami dan
mereka tidak akan memukul orang lain, kecuali kerana meninggalkan sesuatu
yang
diwajibkan. (Ibn Hajar al-Asqalaniy, Fathu a-Bari fi Syarhi sohih
al-Bukhari, jld: 2, hlm:447).
Anas r.a. ketika tiba di kota Madinah ditanya, "Apa yang engkau ingkari dari
perbuatan kami sejak sepeninggalan Rasulullah?" Dia menjawab, "Tidak ada
perbuatan
kalian yang aku ingkari kecuali ketika kalian tidak meluruskan saf-saf
kalian". (al-Bukhari, no: 724)
Berdasarkan hadis-hadis di atas jelas bahawa kesempurnaan solat bergantung
kepada kesempurnaan saf dalam solat. Solat yang ditunaikan tanpa meneliti
kepada
kelurusan saf serta tautannya dengan saf-saf yang lain akan menyebabkan
hilangnya fadilat solat berjemaah.
Yang paling malang ialah Allah SWT memalingkan wajahnya daripada golongan
yang tidak mempedulikan kesempurnaan saf. Sedangkan solat itu ditunaikan
untuk
menghadap Allah SWT, komunikasi seorang hamba kepada penciptanya secara
langsung, tapi malangnya Allah memalingkan Rahmat dan Kasih sayang-Nya.
Sekiranya saf yang dibentuk terputus dari imam tanpa sebarang punca atau
alasan syarie, maka solat jemaahnya tidak sah. Lebih-lebih lagi masih ada
ruang
yang diisi di dalam dewan solat atau yang boleh menggabungkan antara saf-saf
dalam masjid atau surau.
Adapun solat mesti dilaksanakan di tempat yang bersih, kerana salah satu
syarat sah solat ialah mendirikan solat di tempat yang bersih dari najis.
Masalahnya
sekarang orang datang solat seperti melepaskan batuk di tangga, datang
lewat, duduk tepi kereta atau longkang, bila iqamat mereka solat di mana dia
suka
dan senang untuk dia keluar. Mereka yang datang betul-betul untuk solat
tidak akan buat begitu.