> Secebis tulisan dari Pahrol Mohd. Juoi, dari GENTA-RASA.
> ORANG IKHLAS TERTINDAS?
> Ramai yang mengeluh, bukan kecewa, tetapi sekadar meluahkan rasa… betapa
> kebaikan dipersia. Isteri yang setia, dipersiakan suami. Suami yang baik,
> ditinggalkan isteri. Ibu-bapa yang dipinggirkan anak-anak…
> Inilah warna kehidupan yang kita perlu hadapi. Langit tidak selalu cerah.
> Hidup tidak sentiasa indah. Dipergilirkan antara senang dan susah, agar di
> hati kita ada sabar dan syukur. Umpama malam dan siang, barulah tercipta
> keharmonian, keseimbangan…
> Lalu di pagi Jumaat ini, saya tulis satu kisah lama… sekadar untuk
> mengingatkan diri dan pembaca. Satu tulisan untuk membujuk hati sendiri
> atas satu pertanyaan, orang ikhlas tertindas?
> Atau soalan yang lebih “dalam” dan sukar daripada itu… benar-benarkah kita
> orang yang ikhlas jika masih merasa tertindas ketika cuba mengikhlaskan
> hati kita ketika melalukan kebaikan kepada sesorang atau sesuatu pihak?
> Ah, ikhlas itu memang rahsia. Rahsia dalam rahsia Allah. Ya Allah, bantulah
> kami untuk ikhlas…Amin.
> Untuk diriku dan dirimu, terimalah tulisan ini sebagai hadiah muhasabah di
> hari ini…
> ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?
> Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas
> walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu.
> Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu
> saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah
> organisasi.
> “Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata
> seorang kakak berterus-terang.
> “Mengapa?” balas saya.
> “Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa
> bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran
> yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak
> ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”
> Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah
> berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir
> dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan
> yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah
> digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang
> berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika
> bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau
> mendapat kenaikan gaji?
> Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya
> kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”
> Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi
> sebelumnya dapat diredakan.
> “Oh ramai encik…”
> “Bagaimana dengan anak-anak kakak?”
> Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang
> anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion
> masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya.
> Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
> “Kakak, boleh saya bertanya?”
> “Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya
> sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya.
> Memang, semua anak-anaknya menjadi.
> “Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik
> gaji, mana yang kakak pilih?”
> Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat
> dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”
> Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih
> anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat.
> Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”
> Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
> “Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi
> ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.
> “Maksud encik?”
> “Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih
> sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada
> kakak anak-anak yang menjadi.”
> “Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”
> “Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri
> dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you
> give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia.
> Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”
> “Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan
> kebaikan itu?”
> “Maksud kakak?”
> “Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi
> Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat
> saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”
> “Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri.
> Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan
> dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”
> Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa
> yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
> “Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan
> yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta
> yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita.
> Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah,
> lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”
> Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat
> kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan
> dengan begitu teliti.
> “Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau
> setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong.
> Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya
> logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi
> laluan untuk kita?”
> Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu
> tadi entah ke mana perginya.”
> “Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’
> “Pasti ada! Insya-Allah.”
> “Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong.
> Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan
> kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk
> membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang
> tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”
> “Subhanallah!”
> “Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan
> manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas
> kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya.
> Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”
> “Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu
> lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.
> “Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha
> Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak
> memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang
> melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula
> kepada pembalingnya!”
> “Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”
> “Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah
> Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia
> lagi.”
> “Maksud encik?”
> “Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup.
> Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia.
> Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang
> lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”
> “Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau
> gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih
> baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”
> Giliran saya pula tersenyum.
> “Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah.
> Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang
> mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan
> hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back…
> Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga.
> Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada
> kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki
> bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang
> lebar.
> “Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang
> tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”
> “Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi
> Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang
> sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh
> Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi
> kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”
> “Maksud encik?”
> “Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita
> buat kepadanya.”
> “Kenapa?”
> “Kita akan sakit jiwa!”
> “Kenapa?”
> “Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau
> kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan
> berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan
> berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya
> mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.
> “Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.
> “Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang
> derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang
> tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan
> ucapan terima kasih?”
> “Ah, kita terlalu ego…”
> Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar
> impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi
> peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada
> lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?