Dasawarsaini, antara isu yang menjadi perbincangan hangat orang ramai dan di dada akhbar di Malaysia adalah mengenai kemalangan jalan raya. Peratus kes kemalangan ini terus meningkat dari setahun ke setahun, terutamanya pada musim perayaan. Kegagalan pengguna jalan raya mematuhi peraturan jalan raya mengakibatkan kemalangan sering berlaku. Terdapat pelbagai punca berlakunya kemalangan sehingga telah meragut banyak nyawa di atas jalan raya.
Punca utama kemalangan termasuklah kecuaian pemandu sendiri ketika menggunakan jalan raya. Ramai pemandu dilihat cuai ketika memandu seperti memandu dalam keadaan mabuk dan mengantuk. Ini disebabkan mereka bersikap mementingkan diri sehingga mengabaikan peraturan jalan raya. Selain itu, kecuaian juga berlaku akibat pemandu sering menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Secara tidak langsung, pemandu bukan sahaja mempertaruhkan nyawa sendiri malah nyawa pengguna jalan raya yang lain.
Selain itu, kemalangan juga berlaku disebabkan kebanyakan pemandu tidak mempunyai lesen memandu. Sesetengah pemandu juga menggunakan lesen memandu yang palsu untuk mengaburi pihak berkuasa. Apabila tidak memiliki lesen yang sah, pemandu tersebut semestinya tidak cekap dan tidak biasa memandu sesebuah kenderaan. Hal ini akan mengakibatkan berlakunya kemalangan jalan raya. Oleh kerana itu, seseorang yang tidak mempunyai lesen memandu dinasihati supaya tidak memandu di jalan raya.
Kemalangan jalan raya juga berlaku disebabkan kondisi jalan raya yang tidak baik. Kondisi jalan raya yang tidak baik menyebabkan jalan raya menjadi berbahaya kepada pengguna. Sebagai contoh, jalan raya yang berlubang dan tidak rata menyebabkan tayar kenderaan tidak dapat mencengkam permukaan jalan raya. Ini mengakibatkan kenderaan mudah hilang kawalan dan terbabas. Oleh kerana itulah, pihak kerajaan perlu memastikan penyelenggaraan jalan raya dilakukan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya berlaku.
Kesimpulannya, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab semua pihak terutamanya kepada pengguna jalan raya itu sendiri. Mereka mestilah sentiasa mengamalkan tatacara keselamatan jalan raya bagi mengelakkan berlakunya kemalangan pada masa hadapan. Jika pengguna jalan raya memandu dalam keadaan penuh tanggungjawab, kemalangan dapat dielakkan.
Peningkatan jumlah kematian akibat kemalangan ini berpunca daripada pelbagai faktor. Antara faktor yang signifikan dalam kes ini ialah kecuaian dan kelalaian pengguna jalan raya. Keadaan jalan yang tidak selamat ditambah pula dengan faktor cuaca juga menjadi punca kemalangan jalan raya. Akibat kemalangan tersebut, pelbagai kesan buruk yang dihadapi oleh semua pihak sama ada kesan langsung atau tidak langsung. Oleh itu, kita perlu meneliti implikasi yang diterima oleh pelbagai pihak akibat kemalangan jalan raya.
Salah satu kesan daripada kemalangan ialah kematian dan kehilangan nyawa. Apabila berlaku kematian, negara akan kehilangan aset berharga dan bernilai tinggi. Tanpa kita sedari, negara akan mengalami kerugian tenaga kerja penting sekiranya mereka yang terlibat dalam kemalangan itu mempunyai ilmu dan kemahiran yang diperlukan oleh negara. Apatah lagi jika mangsa kemalangan itu terlibat dalam dasar pembangunan negara, pasti segala gerak kerja akan terencat. Selain itu, mangsa yang meninggal dunia merupakan harapan keluarga dan menjadi penggerak ekonomi keluarga. Akibat kematian ini, sesebuah keluarga bagai terpadam pelita harapan, hilang tempat bergantung bagai layang-layang putus talinya.
Bukan itu sahaja, jika terselamat mereka berkemungkinan akan mengalami kecacatan anggota. Mereka yang terlibat dalam kemalangan jalan raya akan mengalami kecacatan sementara atau kekal. Kecacatan ini akan mengehadkan pergerakan dan keupayaan mereka untuk melakukan kerja. Akibatnya, mangsa kemalangan mengalami kesukaran untuk menerima keadaaan yang tidak sempurna malah mereka terpaksa meminta bantuan daripada ahli keluarga lain untuk membantu mereka mengurus kehidupan. Natijahnya, mangsa kemalangan bukan sahaja mengalami kecacatan fizikl tetapi trauma yang mendalam sehingga memberi beban perasaan yang terbelenggu dengan perasaan bersalah.
Selain itu, kemalangan yang berlaku akan merosakkan harta benda sekali gus menyebabkan kerugian wang ringgit. Kemalangan akan menyebabkan kenderaan terbabit rosak dan perlu dibaiki. Akibatnya, pengguna terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi atau kehilangan Diskaun Tiada Tuntutan daripada pihak insuran. Pengguna terpaksa membayar harga insuran sepenuhnya untuk tahun yang akan datang. Malangnya, kerja-kerja membaik pulih akan mengambil masa yang lama dan situasi begini akan menyusahkan pemilik kenderaan kerana mereka terpaksa meminjam atau menyewa kenderaan lain sementara menunggu kenderaan siap dibaiki.
Di samping itu, kes kemalangan ini akan menjejaskan imej negara. Kebanyakan pelancong asing suka mengembara menggunakan basikal, motosikal dan kenderaan awam merentasi benua. Jika mereka mengalami pengalaman buruk ketika merentas jalan-jalan raya di Malaysia, pasti mereka akan memberikan komen negatif kepada rakan-rakan yang ingin mengembara. Keadaan ini akan menjejaskan nama baik Malaysia, apatah lagi usaha kerajaan dalam kempen Tahun Melawat Malaysia dilihat gagal memancing pelancong asing ke negara kita. Jika di luar negara, pengguna jalan raya yang menggunakan kenderaan kecil akan diberi keutamaan, berbeza di Malaysia kenderaan besar diberi keutamaan.
Secara tuntasnya, kemalangan yang berlaku akan memberi kesan negatif walaupun bukan itu pilihan mangsa, namun kemalangan dapat dielakkan jika kita semua bertanggungjawab dan prihatin terhadap penguna jalan raya yang lain. Sesungguhnya kemalangan yang berlaku ini merupakan suratan takdir yang telah ditentukan oleh Tuhan, namun sebagai hamba kita mestilah berdoa, berusaha dan bertawakal apabila memulakan perjalanan. Kita hendaklah berdoa agar Tuhan melindungi perjalanan kita. Kita juga hendaklah berusaha menjaga kenderaan, memandu dengan bertanggungjawab dan hormat-menghormati sesama pengguna jalan raya yang lain. Akhir sekali, kita beserah kepada Tuhan yang menentukan segala takdir kita.
Sebagai pelajar, latihan tambahan dan merujuk sumber daripada internet adalah langkah yang baik. Pelajar dapat mengetahui jenis-jenis dan pelbagai contoh karangan yang mengikut tema-tema tertentu. Secara tidak langsung dapat menambah pengetahuan pelajar dalam memberikan isi-isi penting yang bernas dan tepat mengikut soalan yang diberikan. Berikut adalah contoh karangan mengenai langkah-langkah mengatasi kemalangan jalan raya.
Pelajar boleh merujuk isi dan contoh huraian di bawah sebagai panduan. Bimbingan daripada guru masing-masing masih diperlukan agar penulisan karangan pelajar menjawab kehendak soalan dan layak mendapat markah yang cemerlang. Penggunaan frasa menarik seperti peribahasa dan penanda wacana dalam penulisan pelajar akan menambah daya tarikan pembaca dan penanda kertas.
Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh kes-kes kemalangan jalan raya yang meragut sejumlah nyawa yang membimbangkan. Situasi ini menjadi lebih tragis apabila musim perayaan di mana semua rakyat hendak pulang ke kampung berjumpa dengan sanak saudara untuk meraikan hari perayaan tetapi tidak kesampaian kerana terlibat dengan kemalangan jalan raya. Tragedi ini telah menjadi sinonim dengan masyarakat kita sehinggakan Polis Trafik perlu menjalankan operasi setiap kali perayaan bagi memastikan pengguna jalan raya tidak memandu secara berbahaya. Lumrah manusia untuk melakukan kesilapan tetapi kita mampu untuk mengurangkannya dengan mengamalkan perkara-perkara tertentu. Oleh itu, kita seharusnya mengenali cara-cara menangani kemalangan jalan raya agar tidak berlaku kepada kita di waktu kelak.
Selain itu, cara terbaik dalam menangani kes kemalangan jalan raya adalah dengan memperkasakan penguatkuasaan undang-undang. Kita boleh lihat, ramai di antara pengguna jalan raya mempunyai saman dan liat untuk mereka menyelesaikannya. Apabila pihak polis memberikan diskaun kepada saman barulah mereka tergesa-gesa untuk membayarnya. Perkara ini kurang memberi kesan kepada pesalah jalan raya. Sistem dimerit yang telah sedia ada wajar dikuatkuasakan dengan lebih ketat dimana jika mereka telah disaman sebanyak tiga kali, mereka akan ditarik semula lesen memandu mereka seterusnya kos untuk mengambil semula lesen memandu digandakan. Begitu juga bagi pemandu-pemandu pengangkutan awam seperti bas ekspress dimana mereka wajar ditanggung daripada pekerjaan mereka jika terlibat dalam salah laku jalan raya dengan kerap. Justeru, setiap daripada kita hendaklah sentisa mematuhi peraturan bukan sahaja di jalan raya malah di setiap perkara dan aspek kehidupan yang kita jalani. Bangsa yang berjaya adalah bangsa yang patuh dan menghormati kedaulatan undang-undang seperti mana yang terkandung dalam Rukun Negara.
Pada masa yang sama, pihak bertanggungjawab juga perlu memastikan seluruh jaringan jalan raya samada di kawasan bandar mahupun luar bandar diselenggara dengan baik. Hal ini dapat membantu pengguna jalan raya menikmati pemanduan yang selesa dan selamat. Terdapat juga kes kemalangan jalan raya yang berlaku kerana terperosok dalam lubang yang terhasil daripada pembinaan jalan yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Penyelenggara sewajarnya tidak bersikap seperti melepaskan batuk ditangga dimana mereka melakukan kerja menggunakan kos yang minima dan meminta peruntukan yang maksima hanya kerana ingin mendapat keuntungan yang tidak jujur. Intihannya, pihak berkuasa perlu sentiasa memastikan tiada ketirisan berlaku dalam pemberian peruntukkan dan penyelenggara melakukan kerja mereka dengan amanah dan mencapai tahap kualiti yang terbaik. Tambahan pula, jika lantikan penyelenggara dilakukan dengan betul, kontraktor tersebut juga perlu memastikan jalan raya mempunyai ciri-ciri keselamatan terbaik seperti lampu-lampu di selekoh berbahaya dan bonggol di kawasan yang memerlukan pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan. Inisiatif ini sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada pengurangan risiko terhadap kemalangan jalan raya.
3a8082e126