Salam sukarelawan!
TFTN telah bergerak dengan kekuatan sukarelawan yang sanggup mengorbankan masa hujung minggu, kesibukkan tugasan dan kuliah, lelah seharian bekerja untuk datang ke rumah anak yatim dengan fokus utama i...aitu; membantu menyiapkan kerja sekolah mereka. Lebih dari itu, sukarelawan bertindak sebagai fasilitator yang akan memastikan anak-anak ini faham dengan apa yang mereka buat, bukan semata untuk menyiapkan. Tetapi lebih penting memahami konsep, seterusnya menjadi bekal untuk mereka faham matapelajaran seterusnya di sekolah.
Untuk kes-kes khas, seperti anak-anak yang masih tidak boleh membaca, sukarelawan TFTN membuat program khas. Kelas intensif dengan kekerapan lebih dari 2 hari seminggu, untuk mengajarkan asas huruf, asas sebutan, suku kata-suku kata mudah dan seterusnya ayat-ayat pendek sehingga anak-anak ini keluar dari masalah literasi. Ada di antara anak-anak ini berada dalam kelas darjah 5, 6 malah ada yang sudah berada di bangku sekolah menengah.
Unik TFTN ialah berhimpunnya sukarelawan dari segenap lapisan masyarakat. Paling ramai dari mereka adalah mahasiswa pusat pengajian tinggi, tidak kira awam atau swasta. Pelajar jurusan akauntan, perubatan, kejuruteraan, sains sosial, komputer sains, bio-molekul, ekonomi, pendidikan dan peguruan, komunikasi massa, TESL, fizik, kimia, bio-teknologi, teknologi pemakanan, ilmu khas, sains politik, syariah, perundangan, psikologi, dan banyak lagi. Ramai juga dari golongan yang sudah bekerja; profesional, bekerja sendiri, swasta, peniaga dan sebagainya. Malah akhir-akhir ini menjemput minat pelajar-pelajar yang masih berada di sekolah (tingkatan 5 misalnya) untuk turut menyumbang tenaga dalam bidang pendidikan.
Apa yang menyebabkan sukarelawan sanggup meninggalkan waktu senang untuk membantu anak-anak yang jauh dari mempunyai pertalian persaudaraan, tetapi dekat dengan talian kemanusiaan dan ahli anggota masyarakat?
Mencari jawapan kepada persoalan ini sukar, kerana yang selayaknya menjawab adalah sukarelawan itu sendiri.
TFTN meletakkan dasar CINTA sebagai gerakkan sukarelawan pendidikan. Premis awalnya mudah, tidak akan ada sesiapa pun sanggup meninggalkan kesenangan peribadi kecuali ada motivasi lain yang mendorong. Premis itu CINTA. Namun cinta itu sendiri mempunyai definisi yang cukup abstrak. Lain orang yang ditanya, akan lain juga jawapannya.
Dalam konteks ini, TFTN cuba mencari objektif kepada pendekatan yang di bawa, supaya makna yang terlalu luas itu tidak disalah ertikan. Dewasa ini, orang ramai telah memberi stigma kepada perkataan cinta, yang hanya memperlihatkan maknanya dalam konteks manusia berlainan gender atau perasaan intim yang istimewa.
Sedangkan maknanya begitu universal dan bernilai positif.
Mengambil asas yang dibawakan oleh seorang tokoh psikologi kanak-kanak Prof Muhammad Al Mahdi Jenkins (pengasas kepada Yayasan Pendidikan Khalifah) mendefinisikan cinta itu sebagai directed positive influence (pengaruh positif yang dipandu). Ada dua ayat yang kukuh dalam definisi ini:
1. Pengaruh positif
2. Dipandu (diarahkan)
Kedua-dua perkataan ini cukup besar untuk memberi bentuk kepada setiap apa yang dilakukan oleh sukarelawan TFTN seluruh Malaysia, termasuk sukarelawan yang berkhidmat di Jordan. Mereka di Jordan memberikan tuisyen untuk mangsa perang, iaitu anak-anak pelarian Syria. Apa yang dilakukan oleh sukarelawan selain menjadi fasilitator dalam matapelajaran sekolah, adalah secara tidak langsung untuk memberikan pengaruh positif. Pengaruh positif ini tidak perlu fizikal bentuknya, tetapi boleh dalam bentuk yang subliminal (tidak sedar).
Ianya adalah tindakan-tindakan yang hanya dapat dilihat melalui pemerhatian.
Beberapa contoh yang dapat dikongsikan, (sebagai mengenang segala penat lelah unsung heroes yang ada dalam TFTN):
1. Beberapa orang sukarelawan TFTN yang setiap hari berulang selesai habis waktu bekerja jam 5.30pm, akan bergerak dari Shah Alam/Bangsar ke Klang untuk membantu anak-anak. Juga yang lain-lain yang berkhidmat setiap hujung minggu, Semenyih - Bangi. Melaka ke Nilai. Shah Alam - Puchong. Ipoh ke Gopeng, Teluk Intan. Kuantan ke Sungai Isap dan Batu Hitam. Kerap kali mendengar cerita terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, tidak sempat untuk menjamah makan malam, balik lewat jam 12 - 1 pagi untuk kembali ke tempat kerja jam 8.30 am keesokkan hari. Yang sanggup mengambil cuti semata-mata mendengar anak yang dimasukkan ke hospital kerana demam denggi. Menunggu mereka di hospital, memastikan anak-anak ini memakan ubat seperti yang dijadualkan oleh doktor, dan meneman mereka pulang kembali ke rumah anak yatim. Ada di antara mereka yang sanggup bersekang mata menunggu anak yang demam di asrama, membasahkan tuala dan menjeram dengan air asam jawa untuk memastikan demam mereka surut sepenuhnya. Yang menyapu ubat kudis di badan anak-anak yang mempunyai masalah kulit yang serius.
2. Cerita anak-anak muda mahasiswa IPT yang akan keluar dari kampus masing-masing hampir setiap hari atau di hujung minggu, untuk datang bertanyakan kerja sekolah yang masih belum selesai dan masih belum faham. Bergerak ke rumah anak yatim yang jauhnya lebih dari 30km dengan tiada kemudahan pengangkutan dan sumber kewangan yang terhad. Sanggup berkongsi dana untuk memastikan mereka tetap sampai, dan tetap dapat mengajar walau masa yang ada hanya 1 atau 2 jam sahaja yang dibenarkan oleh penjaga rumah. Walaupun mereka masih dihimpit dengan tugasan kuliah, aktiviti kelab dan persatuan, pertandingan inovasi peringkat nasional dan antarabangsa. Hujung minggu mereka, tetap tersimpan harapan untuk dapat mengajar anak-anak di rumah anak yatim.
3. Sukarelawan yang memerah otak dan keringat untuk mengadakan bengkel-bengkel pendidikan untuk berkongsi sesama sukarelawan yang lain. Supaya mendapat ilmu pendidikan yang dapat dikongsikan bersama anak-anak. Membina modul, mencari bahan pengajaran, membuat bahan pengajaran, mencari guru sekolah yang dapat memberikan input yang berkesan, dan berkelana sehingga ke Singapura guna untuk mendapat bahan yang boleh digunakan untuk membantu anak-anak yang tercicir dan dipinggirkan. Mengorganisasi di bahagian operasi yang mengambil sebahagian besar masa dalam kehidupan seharian.
4. Sukarelawan yang dalam kumpulan kecil, bekerja dan mencari dana untuk membolehkan anak-anak mengikuti lawatan akademik di tempat-tempat menarik dan memberi pelajaran. Bersusah-susah mencari tajaan, mencari bas, mengorganisasi kumpulan, membuat tentatif, memastikan makan pakai tempat tidur terjaga dan selesa. Menjadi pengiring untuk menjawab setiap soalan-soalan yang ditanya anak-anak. Membuat mereka sentiasa tersenyum dan gembira.
Banyak lagi yang telah dilakukan oleh sukarelawan. Yang mereka boleh memilih untuk menjalani kehidupan biasa. Berekreasi di hujung minggu, bersantai menghabiskan masa untuk menonton, membeli belah bersama rakan-rakan dan keluarga, bermain permainan video dan sebagainya. Tetapi mereka memilih untuk membantu perkembangan pendidikan anak-anak, walau anak-anak ini tiada talian darah dan persaudaraan.
Hujung minggu lalu, ketika berlangsung bengkel di Pangsun ada cerita lain yang dikongsikan. Seorang sukarelawan yang datang jauh dari Klang, datang dengan menaiki motor. Dalam perjalanan, sukarelawan ini kemalangan. Kulit tangan dan kakinya tersiat. Mujur sukarelawan ini bakal seorang doktor. Walau terlibat kemalangan, sukarelawan ini masih lagi gigih untuk sampai ke Pangsun semata-mata untuk menadah ilmu pendidikan. Ilmu yang diharapkan dapat membantu anak-anak untuk faham pelajaran, untuk faham makna hidup.
Kata dia, "macamana saya nak fikir mengenai kahwin, mengenai diri saya sedangkan ada masyarakat di luar yang lebih memerlukan, anak-anak yg perlu dibantu."
Apa yang telah dilakukan oleh sukarelawan ini adalah nyata pengaruh positif. Walau mereka tidak sedar sepenuhnya, mereka sedang menyebarkan pengaruh po
sitif di setiap langkah yang mereka ambil.
Soalnya, ke arah mana pengaruh positif ini dihalakan?
Ke arah sebuah masyarakat yang lebih seimbang dan harmoni, kepada sebuah negara yang mempunyai kadar celik huruf dan berpendidikan, ke arah masyarakat yang peduli kepada masyarakat, ke arah masyarakat yang akan menggalakkan orang untuk membuat kebaikkan dan menebarkan kebaikkan, ke arah memberikan harapan dan kepercayaan kepada anak-anak; bahawa masih ada yang peduli dan sayang, masih ada yang sanggup berkorban demi masa depan anak-anak ini yang lebih baik. Yang lebih indah dan warna warni.
Saya tidak sepenuhnya faham mengenai cinta. Boleh jadi orang yang selalu menuturkan habis hanya setakat di bibir dan mulut sahaja. Tidak lebih dari itu. Cinta itu adalah pelajaran tertinggi mengenai kasih sayang. Dan cinta perlu dibuktikan dengan pengorbanan. Pengorbanan yang dilakukan tidak boleh memberi impak negatif, kerana itu tidak bernilai cinta tetapi nafsu. Pengorbanan yang dilakukan perlu mempunyai pengaruh dan nilai positif, dan dipandu ke arah dunia yang lebih harmoni dan lestari. Dunia yang membawa seorang individu kenal dirinya dan tanggungjawab yang digalas sebagai seorang manusia.
Saya jadi faham mengenai cinta dari apa yang telah dilakukan oleh sukarelawan-sukarelawan TFTN di seluruh Malaysia dan di Jordan-Syria.
Mereka berkorban. Wang, tenaga, fikiran, usaha, masa, kesenangan, hari libur, rehat, tidur, keselesaan, kesihatan diri.
Mereka berusaha untuk jadi model terbaik dan beri impak positif kepada anak-anak.
Mereka mahu anak-anak ini selamat, di dunia, dan di dunia 'sana'.
Mereka mahu anak-anak ini dipandu, dan dipandu ke arah kebaikkan dan kasih sayang.
Bagi sukarelawan, diri mereka tidak penting. Yang penting adalah anak-anak ini.
Untuk sukarelawan TFTN, semua yang mereka lakukan adalah bukan kerana diri sendiri, tetapi kerana anak-anak ini berhak mewarisi masa depan yang lebih baik, masa depan yang harmoni, masa depan yang aman, masa depan yang penuh cinta, peduli kemanusiaan dan alam.
Ada banyak kisah cinta yang disimpan dalam nubari sukarelawan-sukarelawan ini. Tidak diceritakan dan terus-terusan menjadi pahlawan yang tidak didendang (unsung heroes). Yang penting, mereka terus gigih berusaha, mereka terus gigih menabur bakti, mereka terus-terusan peduli.
Semoga CINTA juga, akan kembali, dalam hidup mereka yang baik-baik ini.
Catatan pada 29 April 2014 at 18:34
~ Asmidar Alias
Presiden, Teach for the Needs



--
Teach for the Needs
T: TFTNOfficial