Didik Melalui Gelanggang Teater
Harian Metro, 13 Ogos 2014
ADA kalanya kita langsung tidak perasan akan kekurangan golongan anak yatim yang dibesarkan dalam kemiskinan. Mereka tidak berpeluang menikmati pendidikan berkualiti. Meskipun negara sudah lama maju, masih ada anak muda gagal belajar dengan sempurna hanya kerana tidak mempunyai wang. Justeru MURSHID EUNOS menyokong penuh usaha sahabat aktivis pendidikan, Teach For The Needs (TFTN) yang tidak pernah penat menyusun strategi membantu anak kecil kurang bernasib baik.
Beroperasi di bawah panji aktivis yang memperjuangkan pendidikan kepada anak kurang bernasib baik meskipun berpaksi pada gerakan bukan berasaskan keuntungan, Teach For The Needs (TFTN) mengangkat satu tujuan dengan mengumpulkan guru bertauliah, sukarelawan dan aktivis di seluruh Malaysia dalam usaha membuka peluang pendidikan kepada mereka yang tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menjalani kelas tuisyen seperti rakan sedarjah lain.
Usaha kecil TFTN ini mulanya dipelopori guru dan sukarelawan yang tidak henti-henti menyumbangkan masa, tenaga dan yang penting sekali cetusan idea mereka hingga menjadikan TFTN sebuah enjin perubahan yang mantap seperti hari ini.

PELAJAR dari Rumah Kasih Harmoni, Keramat gigih membaca skrip dan mengulang kaji karakter lakonan masing-masing bersama guru bertugas.
Selepas lebih dua tahun berjuang
mencari ruang terbaik membela nasib golongan anak kecil ini, TFTN kini
bergelar organisasi masyarakat sivil sebenar. Organisasi ini bergerak
berlandaskan tiga teras utamanya iaitu memberikan pendidikan berkualiti
dan inklusif kepada murid kurang bernasib baik, memastikan perkembangan
peribadi berterusan untuk duta dan sukarelawan serta mencetuskan
kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai nasib murid ini dengan
menuntut dasar pendidikan lebih baik.
Justeru, mengalihkan sedikit objektifnya
dalam menyalurkan bantuan daripada aspek pendidikan dan kelas tambahan
atau tuisyen kepada anak kecil istimewa ini, TFTN kini menyasar satu
agenda lain dengan mengangkat objektif sama dalam memberi keyakinan
kepada anak kecil ini dengan menganjurkan Festival Teater Anak TFTN.
Ini suatu inisiatif julung kali diadakan sebagai satu wadah pendidikan yang ingin diketengahkan untuk meraikan bakat serta kreativiti anak yatim selain menyuburkan persembahan teater yang membina dan memberi mesej bermanfaat untuk anak terbabit serta masyarakat.
Sebanyak tiga rumah anak yatim terbabit dalam festival iaitu Al-Khairiyah di Klang, Rumah Kasih Harmoni di Keramat dan Baitul Muhabbah Tanjung Malim, Perak. Festival ini akan dirasmikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

ANAK-ANAK kecil berjiwa besar dari Rumah Baitul Muhabbah, Tanjung Malim ini sudah bersedia mempersembahkan lakonan mereka pada 23 Ogos depan.
Menurut aktivis teater dan penulis buku popular, Fazleena Hishamuddin yang bakal menjadi juri pertandingan bersama dua lagi pelakon teater berpengalaman, Redza Minhat dan Anas Ridzuan, usaha melaksanakan festival ini sangat baik dalam memupuk minat anak istimewa ini terhadap seni teater selain mencari alternatif lain dalam mencungkil minat dan bakat mereka.
“Objektif utama penganjuran festival ini untuk menjadi wadah yang menyatu dan meraikan anak didik serta golongan sukarelawan dan sukarelawan TFTN selain mengenengah dan meningkatkan tahap keyakinan diri anak didik TFTN dalam bakat seni mereka menerusi persembahan teater.
“Malah, penganjuran murni sebegini mampu mewujudkan kesedaran terhadap realiti yang dihadapi anak daripada golongan kurang berkemampuan untuk menikmati pembelajaran berkualiti dan memberi inspirasi orang ramai khususnya golongan muda dan profesional untuk turut sama menjadi penggerak TFTN.
“Saya sendiri melihat ia satu gerakan positif yang akhirnya memberikan imbuhan berguna tidak hanya pada anak kecil ini, malah kepada seluruh masyarakat,” katanya.
Rumah Al-Khairiah akan mempersembahkan teater Peristiwa 45 yang diadaptasi daripada kisah orang Melayu di zaman penjajahan Jepun dan rumah Kasih Harmoni pula bakal mempersembahkan teater berjudul Trata, sebuah kisah Cinta dan kisah perjalanan mencari manisnya hidup.
Manakala rumah Baitul Mahabbah akan mempersembahkan kisah Rendang Nenek yang berkisar mengenai Sudin yang kerinduan terhadap neneknya. Semua pementasan ini dilakonkan sepenuhnya anak dari tiga rumah terbabit selain mereka juga bertindak selaku pengarah dan tenaga kerja produksi.
Tambah Fazleena, ini satu formula berkesan dalam mengangkat taraf anak kecil ini dalam kalangan masyarakat yang ada kalanya terlupa akan kewujudan mereka.
“Kebiasaannya orang kita asyik menekankan aspek pendidikan, namun sayangnya golongan anak kecil ini acap kali ketinggalan berbanding rakan sebaya lain hanya kerana kurangnya kewangan. Mereka tidak berpeluang ke kelas tambahan atau tuisyen juga perhatian orang dewasa yang memantau.
“Justeru, kali ini dengan menganjurkan festival seumpama ini akan menjadi pemangkin yang mungkin mampu menyalurkan bantuan kepada mereka khususnya aspek keyakinan diri dan bakat seni yang terpendam. Usah terlalu ortodok atau skeptikal terhadap seni teater kerana siapa sangka ada di antara mereka yang mempunyai bakat luar biasa yang boleh membawa ke peringkat jauh lebih baik.
“Selain itu, menerusi usaha ini mereka akan diberi pendedahan terbaik tidak setakat di depan kamera atau atas pentas sebaliknya ilmu bekerja di balik tabir selaku tenaga kerja produksi. Inilah anjakan baru serta transformasi buat mereka semua,” katanya lagi yang mengakui anak kecil terbabit sudah mula berlatih sejak tiga bulan lalu.
Memetik kata ikon keamanan dunia, Nelson Mandela yang menyifatkan pendidikan itu senjata paling berkuasa yang boleh digunakan untuk mengubah dunia, ilmu teater juga adalah sejenis pendidikan yang mampu memimpin seseorang individu itu cemerlang menakluk dunia.
Justeru, pastikan anda semua sama-sama memberi sokongan untuk menyaksikan pertandingan teater di Festival Teater Anak TFTN pada 23 Ogos depan di Petaling Jaya Life Arts (PJLA) Centre, Selangor dengan mendapatkan tiket berharga RM300, RM200 dan RM100 menerusi atas talian di www.tix.my.
Hasil jualan tiket akan dimasukkan ke dalam Tabung Pendidikan TFTN untuk menampung perbelanjaan projek pendidikan di 18 rumah anak yatim di bawah seliaan TFTN seluruh negara untuk sesi 2015-2016. Untuk maklumat lanjut layari, www.teachfortheneeds.org.
http://teachfortheneeds.org/didik-melalui-gelanggang-teater/
