
Oleh Muhammad Rusydi Muhammad Razif
Wartawan ISMAweb Johor
JOHOR BAHRU, 28 Feb – Masyarakat boleh mengenal pasti golongan yang berfahaman liberal dengan mudah kerana mereka ini mengutamakan kebebasan individu mengatasi tuntutan agama dan kuasa kerajaan.
Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman, berkata golongan liberal menganggap fungsi kerajaan hanya terbatas kepada tiga iaitu menubuhkan pasukan keselamatan, menyediakan pasukan kehakiman dan menyediakan prasarana awam seperti jalanraya, jambatan, perparitan dan sebagainya.
“Perbezaan negara Islam dan negara liberal adalah negara Islam berasaskan ketuanan syarak, manakala negara liberal pula berasaskan ketuanan rakyat.
“Bagi mereka (golongan liberal), mereka bebas untuk berbuat apa sahaja (agama dan kerajaan tiada kuasa keatas individu) selagimana tidak mengganggu hak individu yang lain.
“Sebagai contoh, golongan liberal menganggap seseorang itu tidak dikira bersalah jika dia meminum arak, tetapi dikira bersalah apabila dia memandu ketika mabuk kerana membahayakan individu yang lain. Perkara ini jelas bertentangan dengan syarak kerana Islam secara jelas telah mengharamkan arak (walaupun bukan ketika memandu),” katanya pada sesi ceramah bertajuk ‘Membongkar Agenda Gerakan Liberal di Malaysia’ di Masjid Al Falah, Bandar Seri Alam di sini, malam tadi.
Dalam sesi ceramah tersebut, Ustaz Hazizi turut menceritakan serba ringkas sejarah kelahiran fahaman liberal.
“Sejarah liberal bermula di Barat ketka zaman gelap ketika mana manusia tidak menggunakan akal dan hanya mengikut kata gereja. Konflik berlaku apabila saintis Barat mula mengkaji dan terdapat pertentangan di antara kajian saintifik dan apa yang diutarakan oleh gereja.
“Sebagai contoh suatu masa dahulu gereja mengajar bahawa semua objek mengelilingi bumi, tetapi setelah dikaji ternyata fakta tersebut salah dan akhirnya saitis tersebut dibunuh. Setelah masyarakat di Barat kecewa dengan sikap gereja tersebut, mereka akhirnya bangkit menentang gereja dan kesannya pada hari ini kebanyakan orang Barat tidak menganut apa-apa agama (ateis). Setelah mereka menolak agama, maka Barat sudah tiada apa-apa rujukan dan pada ketika inilah lahirnya istilah yang dinamakan ‘ketuanan rakyat’,” jelas beliau.
Malaysia katanya, adalah negara Islam (walaupun belum sempurna) dan bukanlah negara sekular ataupun liberal kerana dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat banyak perkara yang memperuntukkan keistimewaan untuk agama Islam.
“Kesimpulannya, berdasarkan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan yang sedia ada, Islam sangat dilindungi dan diberikan kedudukan yang sangat istimewa.
“Perkara ini (keistimewaan Islam) seharusnya dihargai oleh umat Islam terutama bangsa Melayu dan jangan sesekali menggadaikan keistimewaan ini dengan seruan-seruan negara sekular,” kata Ustaz Hazizi.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Sumber: http://www.ismaweb.net/2015/02/liberal-utamakan-kebebasan-melebihi-tuntutan-agama/
Lagi gambar semasa Ceramah Umum : Membongkar Agenda Gerakan Liberal di Malaysia: http://goo.gl/ZfnpEQ