
BANGI, 23 Feb – Jurutera wanita Palestin dari Semenanjung Gaza, Soha al-Qeshawi menjadi antara orang penting dalam operasi kapal angkasa Orion milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA).
Beliau bertanggungjawab untuk menguji gabungan perisian dan perkakasan dalam kapal angkasa itu supaya ianya berfungsi dengan baik.
Artikel mengenai Soha al-Qeshawi disiarkan dalam laman facebook NASA versi Arab. Pengendali laman facebook itu menyifatkan beliau seorang wanita Palestin yang bijak.
Bercakap mengenai dirinya, beliau berkata, sebagai seorang jurutera kanan perisian yang bekerja bagi kapal angkasa itu, beliau bertanggungjawab melaksanakan ujian bagi memastikan semua arahan komputer dalam Orion – kapal angkasa untuk penerokaan lebih jauh – berfungsi dengan baik.
“Saya dapat mensimulasi misi Orion hampir setiap hari, seolah-olah kita sedang terbang di angkasa. Saya menguji sistem dari pelancaran, penerbangan dan kembali ke bumi.
“Jika ada apa-apa masalah saya akan cuba menyelesaikannya dan menguji semula perkakasan dan perisiannya bagi memastikan penerbangan serta krewnya selamat,” katanya dipetik dalam laman facebook berkenaan.
Mengenai kecenderungan beliau untuk meneroka pengalaman dengan Orion, beliau berkata:
“Sebagai gadis yang dibesarkan di Bandar Gaza, saya kagum apabila menonton kapal angkasa berlepas dan kembali ke bumi. Ianya menjadi inspirasi saya untuk menceburi bidang ini”.
“Saya datang ke Houston untuk mengikuti ijazah dalam bidang kejuruteraan dari Universiti Houston di Clear Lake. Selepas tamat pengajian, saya mula bekerja dalam program Space Shuttle.
“Saya melihat Orion sebagai permulaan baru bagi program penerbangan angkasa lepas yang akan datang, dan saya bertekad mahu menjadi sebahagian daripadanya.”
Soha al-Qeshawi menasihatkan remaja di seluruh dunia supaya memasang cita-cita yang besar dan sentiasa bekerja keras bagi mencapai impian yang diharapkan.