Jawapan:
Dalam Islam, sebelum diterima dan diperhujahkan sesuatu kisah atau riwayat, wajib disemak dan dikaji isnadnya terlebih dahulu. Apabila didapati sahih maka hendaklah riwayat tersebut difahami bersama-sama riwayat-riwayat yang lainnya, kemudian barulah dirumuskan satu kesimpulan. Kita tidak boleh menerima dengan sewenangnya sesuatu kisah sebagaimana ada sahaja dan tidak boleh membuat rumusan semata-mata berdasarkan satu riwayat sahaja.
Dakwaan di atas akan penulis jawab dalam dua bahagian, pertama larangan menulis hadis oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan kedua larangan menulis dan menyebarkan hadis di zaman Abu Bakar dan Umar al-Khattab radiallahu-anhuma.
Pertama: Larangan menulis hadis oleh Rasulullah.
Riwayat hadis yang dimaksudkan sebagai larangan penulisan hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah seperti berikut: Berkata Abu Sa’id al-Khudri radiallahu-anhu, telah bersabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam:
Janganlah kamu tulis (catat) apa-apa dari aku. Dan barangsiapa yang telah menulis (mencatat) dari aku selain al-Qur’an, hendaklah dia menghapuskannya. Dan sampaikanlah (hadis) dari aku, tidak ada kesalahan di dalam melakukan itu. Dan barangsiapa yang berdusta terhadap aku dengan sengaja, maka dia akan menemui tempatnya di dalam api neraka.[1]
Hadis di atas tidaklah melarang penulisan hadis secara mutlak tetapi ia sebenarnya hanyalah melarangan penulisan hadis di atas kertas atau lembaran yang sama dengan al-Qur’an. Penjelasan ini adalah berdasarkan hadis berikut dari Abu Hurairah radiallahu-anhu:
Adalah kami menulis apa yang kami dengar dari Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Maka di satu hari beliau datang kepada kami dan berkata: Apakah tulisan-tulisan ini ? Maka kami menjawab: Apa yang kami dengar dari engkau. Lalu beliau berkata: Tulisan bersama Kitab Allah (al-Qur’an) ? Kami menjawab: (Ya !) iaitu apa yang kami dengar (dari engkau). Lalu bersabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam:
Tulislah Kitab Allah (al-Qur’an) dan jagalah ketulenan Kitab Allah. Tulisan selain kitab Allah ? Jagalah ketulenan kitab Allah dan janganlah mencemari ia.[2]
Di zaman Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, bahan-bahan tulis seperti kertas papri sudahpun wujud[3] dan digunakan untuk menulis surat-surat rasmi, perlembagaan negara dan al-Qur’an. Akan tetapi jumlahnya agak terhad dan tidak memungkinkan penulisan hadis-hadis secara berasingan di atasnya. Ini menyebabkan sesetengah sahabat telah mencatit al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah di atas lembaran kertas yang sama, sebelah menyebelah. Lebih-lebih lagi diingatkan bahawa apabila baginda Rasulullah membaca dan mengajarkan ayat-ayat al-Qur’an kepada para sahabat, beliau mengajar 10 ayat diikuti dengan penerangan, penjelasan dan pengamalannya, yakni teori dan praktikalnya. Beliau tidak akan melangkah ke 10 ayat seterusnya selagi 10 ayat yang sedang diajarnya itu tidak difahami benar-benar maksud dan kaedah pengamalannya.[4]
Sesetengah sahabat mencatit ayat-ayat al-Qur’an yang dibacakan Rasulullah dan pada waktu yang sama mencatit juga keterangan dan kaedah pengamalannya yang berupa hadis Rasulullah. Apabila hal ini diketahui oleh Rasulullah, beliau tegas melarangnya kerana bimbang hadis-hadisnya akan bercampur dan disalah anggap sebagai ayat-ayat al-Qur’an juga. Inilah yang dimaksudkan beliau: Tulislah Kitab Allah (al-Qur’an) dan jagalah ketulenan Kitab Allah. Tulisan selain Kitab Allah ? Jagalah ketulenan Kitab Allah dan janganlah mencemari ia ......... iaitu kertas-kertas yang ditulis ayat-ayat al-Qur’an, hendaklah ia mengandungi ayat-ayat al-Qur’an sahaja dan tidak apa-apa lain selainnya.
Jika seseorang sahabat ingin menulis hadis secara berasingan dari al-Qur’an, maka ia sememangnya dibenarkan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Perhatikan riwayat berikut dari Abdullah bin ‘Amr radiallahu-anhu:
Aku biasa menulis segala yang aku dengar dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam untuk aku hafalkan. Lalu kaum Quraish menegahku dengan berkata: Apakah kamu menulis segala sesuatu ? Bukankah Rasulullah seorang manusia yang berbicara pada waktu marah dan senang juga ? Maka aku berhenti sebentar dari menulis sehingga aku menemui Rasulullah dan mengkhabarkan beliau tentang hal ini. Beliau memberi isyarat kepada mulutnya lalu bersabda:
Tulislah ! Demi Dzat yang jiwaku berada di kekuasaan-Nya, tiadalah yang keluar dari mulut ini kecuali yang hak (yakni yang benar). [5]
Selain itu perlu juga dibetulkan rumusan Golongan Anti Hadis bahawa memandangkan Rasulullah melarang penulisan hadis-hadisnya, ia bererti bahawa Rasulullah sendiri tidak mahu hadis-hadisnya dijadikan sebahagian dari sumber syari’at Islam. Rumusan ini tidak benar kerana jika dikaji semula hadis di atas akan di dapati bahawa di sebalik larangan menulis hadis, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tetap menganjurkan umat untuk menyebarkannya kepada orang ramai. Berikut penulis kemukakan semula hadis tersebut dan perhatikan bahagian yang digariskan:
Janganlah kamu tulis (catat) apa-apa dari aku. Dan barangsiapa yang telah menulis (mencatat) dari aku selain al-Qur’an, hendaklah dia menghapuskannya. Dan sampaikanlah (hadis) dari aku, tidak ada kesalahan di dalam melakukan itu. Dan barangsiapa yang berdusta terhadap aku dengan sengaja, maka dia akan menemui tempatnya di dalam api neraka.
Pada ketika yang lain Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam juga telah bersabda:
Semoga Allah menyerikan wajah orang yang mendengar sebuah hadis dari aku lalu dihafalnya sehingga disampaikan kepada orang lain. [6]
Kalian mendengarkan (hadis aku), lalu akan didengarkan dari kalian, selanjutnya akan didengar pula dari orang yang mendengar dari kalian.[7]
Oleh itu sekali lagi diulangi bahawa yang sebenarnya dilarang oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah menulis hadis-hadisnya di atas lembaran yang sama dengan tulisan al-Qur’an.[8]
Kedua: Larangan menulis dan menyebarkan hadis oleh Abu Bakar dan Umar al-Khattab.
Hampir semua riwayat-riwayat yang menerangkan bahawa Abu Bakar dan Umar al-Khattab radiallahu-anhuma melarang penulisan dan penyebaran hadis di zaman pemerintahan mereka adalah daif. Antara yang masyhur dikatakan tentang Abu Bakar adalah kononnya beliau telah mengumpul 500 buah hadis dalam sebuah buku lalu akhirnya beliau membakarnya.[9] Sementara dalam satu riwayat lain kononnya Abu Bakar telah berkata: Maka janganlah kalian menceritakan hadis dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam sesuatu apapun. Jika sesiapa yang bertanya kepada kalian, berkatalah antara kami dan kamu ada Kitab Allah, maka apa yang kalian dapati dihalalkan maka halalkanlah ia dan apa yang diharamkan maka haramlah ia.[10] Kedua-dua riwayat ini adalah tidak benar kerana isnadnya memiliki beberapa kecacatan.
Umar al-Khattab pula kononnya didakwa telah memenjarakan beberapa orang sahabat seperti Abdullah ibnu Mas’ud, Abu Darda dan Abu Mas’ud al-Anshari radiallahu-anhum kerana banyak menyampaikan hadis.[11] Selain itu disebut dari Urwah bin al-Zubair bahawa kononnya Umar pernah merancang untuk menulis sunnah-sunnah secara formal lalu beliau bermesyuarat dengan para sahabat dan mereka semua menyetujui rancangan tersebut. Akan tetapi sebulan selepas itu Umar membatalkan rancangannya.[12] Disebut juga dari al-Qasim bin Muhammad bahawa: Sesungguhnya hadis telah menjadi persaingan (menjadi banyak)[13] di masa Umar bin al-Khattab. Maka diumumkan kepada orang ramai supaya mereka membawanya (hadis-hadis tersebut, yakni dalam bentuk tulisan). Maka apabila telah dibawa kepadanya (Umar), diperintahkan agar ia diselidiki lalu kemudiannya ditahan ia (tulisan tersebut) dari mereka (iaitu tidak dikembalikan). Berkata Umar: Dua (kitab) pada waktu yang sama sebagaimana dua (kitab) pada waktu yang sama (seperti perbuatan) Ahli Kitab ? [14]
Ketiga-tiga riwayat di atas adalah daif dan tidak boleh dijadikan hujah dan dakwaan. Hanya sahaja dalam bab ini terdapat dua riwayat lain yang sahih yang perlu kita beri tumpuan dan penjelasan yang sebenarnya. Riwayat-riwayat yang dimaksudkan adalah:
Riwayat Pertama:
Umar al-Khattab pernah mengutus Qurzhah bin Ka’ab dan beberapa orang Ansar radiallahu-anhum dari Madinah ke Kufah dan beliau menerangkan bahawa di sana akan ditemui satu kaum yang masih keras lagi kasar bacaan al-Qur’an mereka. Maka berpesan Umar: Maka persedikitkanlah riwayat dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan aku (Umar) bersama kalian dalam hal ini.[15] Pesanan Umar ini tidaklah bererti melarang sepenuhnya penyampaian dan penggunaan hadis-hadis Rasulullah tetapi ia sekadar memberi priority kepada kaum yang baru belajar Islam agar mereka memberi tumpuan kepada sebutan ayat-ayat al-Qur’an dan asas-asas agama yang terkandung di dalamnya. Perhatikan bahawa Umar tidak melarang sepenuhnya penyampaian hadis Rasulullah tetapi hanya sekadar dikurangkan jumlahnya.
Sekali lagi ditekankan bahawa tidak boleh membuat kesimpulan yang mutlak bahawa Amirul Mukminin Umar al-Khattab telah menyekat perkembangan, periwayatan dan pembelajaran hadis-hadis serta sunnah-sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam semata-mata berdasarkan satu riwayat di atas. Umar sendiri apabila mengutus para sahabat menjadi gabenor wilayah-wilayah yang baru dibuka oleh Islam, telah menanggung-jawabkan mereka dengan tugas mengajar agama Islam termasuk sunnah-sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Ini jelas terbukti dalam salah satu khutbah Umar di penghujung era pemerintahannya, di mana antara yang beliau katakan adalah: Ya Allah ! Saksikanlah Engkau atas para gabenor wilayah bahawa sesungguhnya aku telah mengutus mereka untuk mengajar manusia agama mereka dan sunnah Nabi mereka.[16]
Riwayat Kedua:
Umar al-Khattab pernah berkata kepada Abu Hurairah radiallahu-anhu: Engkau (perlu) benar-benar berhenti meriwayatkan hadis dari Rasulullah atau aku akan mengusir kamu ke daerah Daus.[17] Riwayat ini adalah sahih tetapi ancaman tersebut adalah tidak lebih sekadar kekhuatiran Umar akan adanya hadis-hadis yang disampaikan bukan pada tempatnya sehingga mungkin dipermainkan oleh orang ramai atau terjadi kekeliruan di dalamnya.[18] Oleh itu ancaman Umar adalah lebih kepada peringatan kepada Abu Hurairah supaya berhati-hati dalam menyampaikan hadis, menerangkannya secara formal dan tersusun disertai penjelasannya; bukan melarang secara mutlak.
Penjelasan di atas disokong oleh satu riwayat yang lain di mana Umar sendiri telah menerima hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah.[19] Dalam satu perjalanan menuju Kota Mekah, rombongan Umar telah dihalangi oleh suasana angin ribut yang kencang. Lalu Umar bertanya kepada rombongannya: Adakah sesiapa yang boleh meriwayat hadis tentang angin kepada kami ? Maka tidak ada sesiapapun yang mengetahui adanya hadis Rasulullah tentang angin kecuali Abu Hurairah, beliau menunggang kepada Umar lalu berkata: Wahai Amirul Mukminin, dikhabarkan kepada aku bahawa engkau bertanya tentang angin dan sesungguhnya aku mendengar Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bersabda:
Angin itu adalah dari Rahmat Allah. Ia datang dengan membawa rahmat dan ia datang dengan membawa kesiksaan. Maka jika engkau melihatnya maka janganlah engkau mencaci-makinya dan mohonkanlah kepada Allah kebaikannya dan mohonlah perlindungan kepada-Nya dari keburukannya.[20] Umar tidak menolaknya hadis yang disampaikan oleh Abu Hurairah ini.
Harap penjelasan ringkas di atas dapat membersihkan pelbagai dakwaan bahawa kononnya para Khalifah ar-Rashidun Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab radiallahu-anhuma telah melarang aktiviti penulisan dan penyampaian hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam di zaman pemerintahan mereka. Membuat satu rumusan semata-mata berdasarkan satu atau dua riwayat sahaja adalah seumpama seseorang yang membaca sepatah ayat al-Qur’an:
Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Solat [al-Ma’un 107:04] lalu terus dibuat rumusan bahawa mendirikan solat adalah satu pekerjaan yang dicela lagi tidak dituntut oleh Islam. Rumusan ini dibuat berdasarkan satu ayat di atas sahaja dan dilupakan pelbagai ayat-ayat lain di dalam al-Qur’an yang menerangkan kewajipan dan kemulian mendirikan solat. Ayat di atas sebenarnya hendaklah difahami dengan sambungan ayat seterusnya:
Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Solat; laitu mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya; (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya). [al-Ma’un 107:4-6]
Demikianlah juga hendaknya sikap kita terhadap beberapa riwayat yang menerangkan tindakan para Khalifah ar-Rashidun ke atas sunnah-sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Kita tidak boleh membuat rumusan bahawa mereka secara mutlak telah melarang aktiviti penulisan, periwayatan, pengembangan dan pengajaran sunnah-sunnah Rasulullah semata-mata berdasarkan satu atau dua riwayat sahaja padahal dalam waktu yang sama terdapat banyak riwayat-riwayat lain yang menerangkan kesungguhan mereka menghidup dan menyebarkan sunnah-sunnah Rasulullah di zaman pemerintahan mereka. Lebih dari itu terdapat ratusan hadis-hadis Rasulullah yang mereka riwayatkan sendiri sebagaimana yang nyata tercatit di dalam kitab-kitab hadis.[21] Oleh itu adalah sangat tidak benar rumusan dan dakwaan Golongan Anti Hadis yang mengatakan para Khalifah ar-Rashidun telah menghalang dan melarang aktiviti-aktiviti ilmiah yang berkaitan dengan sunnah-sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.
| Alhamdilillah Satu penjelasan yg baik dan amaran keras terhadap reka cipta hadis seolah olah nabi dah tau reka cipta hadith akan berlaku dan kita seumpama diingatkan berhati hati dalam perkara ini |
Dan barangsiapa yang berdusta terhadap aku dengan sengaja, maka dia akan menemui tempatnya di dalam api neraka. |
| --- On Sat, 16/4/11, Mohd Faizal Ariffin <mfaizal...@gmail.com> wrote:ith |