dr.raudah
unread,Jul 29, 2008, 12:54:48 AM7/29/08Sign in to reply to author
Sign in to forward
You do not have permission to delete messages in this group
Either email addresses are anonymous for this group or you need the view member email addresses permission to view the original message
to Forum SK Bukit Kuchai
Pendidikan merupakan aspek yang utama kini dalam proses pembangunan
negara ke arah negara maju. Oleh itu, para ibu bapa tidak ketinggalan
untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Kesungguhan
dalam mempastikan anak-anak berjaya dalam pelajaran adalah satu sikap
prihatin yang positif di kalangan ibu dan bapa serta guru-guru.
Ada segelintir ibu bapa yang sanggup berhabis duit untuk menghantar
anak-anak ke pusat tusyen. Ini berikutan kesedaran ibu bapa tentang
tugas dan peranan mereka untuk mencari duit bagi mempastikan anak-anak
mendapat ilmu pengetahuan. Tetapi tidak semuanya berkemampuan,
lantaran itu PIBG berusaha mengadakan Tusyen di sekolah pada hujung
minggu.
Ada juga ibu bapa yang tidak memberi peluang kepada anak-anak
menikmati usia kanak-kanak apabila kehidupan harian mereka disibukkan
dengan kelas dan pembelajaran. Pagi sekolah, petang sekolah dan malam
ke kelas tusyen selepas kelas mengaji Quran. Esoknya kehidupan dan
rutin mereka berulang dan bersambung lagi di hari minggu tusyen dan
tusyen....
Malah ada juga ibu bapa berpendapat kelas petang (sekolah agama) tidak
penting kerana mereka mahu anak-anak mereka berjaya dalam bidang
akademik lalu mengabaikan pendidikan agama semata-mata untuk
mempastikan anak-anak mereka hadir ke tusyen di luar.
Tetapi, saya ingin bertanya sejauhmanakan ibu bapa dan guru-guru
prihatin dengan persoalan emosi anak-anak? anak-anak kecil ( 7 - 12
tahun) yang perlukan bimbingan, dan kasih sayang yang secukupnya dalam
meniti usia kanak-kanak. Anak-anak ibarat kain putih yang tidak
mengerti apa-apa selain mengangguk arahan dan ketentuan yang diatur
oleh ibu bapa mereka. Mereka tidak sedarpun corak yang cuba diukir
untuk kehidupan mereka, tetapi ukiran itu tetap berlangsung dan
membentuk keperibadian mereka tanpa kita sedari.
Kehidupan dan dunia kanak-kanak tidak lepas dari permainan dan
kebebasan meneroka alam persekitaran. Ia merupakan proses pendidikan
juga agar mereka lebih kuat, memahami persekitaran, masyarakat dan
memahami potensi diri mereka. Tetapi jika tekanan yang diberikan oleh
ibu bapa memaksa mereka untuk melunaskan pendidikan akademik sahaja,
mereka akan menjadi manusia pemberontak - kanak-kanak yang keras dan
kasar budinya - lantaran itu ramai anak-anak kita yang sukar
dinasihati, sukar diatur dan membantah kata guru dan ibu bapa - ia
hanya luahan protes yang menggapai kasih sayang dan prihatin ibu bapa
untuk memahami jiwa mereka.
Anak-anak ada potensi mereka sendiri. Ibu bapa perlu peka dan
memahaminya. Sejak diperingkat TADIKA kita sudah boleh mengenali
potensi yang ada dalam diri mereka. Jika mereka cenderung pada
akademik, laluan itu tentu mudah bagi ibu bapa dan guru-guru. Tetapi
jika kecenderungan tersebut beralih ke lain bidang - tidak minat dalam
akademik, ibu bapa dan guru-guru perlu membimbing mereka memperkayakan
minat mereka di samping membantu mereka memahami keperluan akademik
untuk meningkatkan potensi minat mereka itu. Potensi tanpa ilmu dan
dorongan serta bimbingan akan merencatkan kebolehan dan kelebihan
mereka.
Jiwa dan rohani berkait dengan pendidikan keagamaan. Pendidikan agama
bukan sekadar mengajar ibadat solat dan mengaji al-Quran sahaja
sebagaimana pelaksanaan J-Qaf sekarang. Kefahaman yang jelas terhadap
konsep agama juga perlu ditekankan untuk membina kekuatan dalaman anak-
anak. Ia merupakan benteng yang paling kuat untuk mermbantu anak-anak
kita mengharungi cabaran di persekitaran terutama kehidupan di bandar
yang semakin mencabar. Mereka akan mempunyai kemahiran membezakan
perkara baik dan perkara buruk. Oleh itu., ibu bapa tidak boleh
mengabaikan pendidikan agama anak-anak semata-mata mengejar
akademik.
Tulisan ini bukan bermaksud untuk mempersoalkan kelebihan akademik.
Tetapi lebih kepada muhasabah diri tentang perlunya keseimbangan
antara akademik dengan pendidikan agama seterusnya peranan ibu bapa
memenuhi keperluan dan keinginan kehidupan zaman kanak-kanak sebelum
mereka mengharungi cabaran alam remaja yang penuh mencabar....