Sains akui kelebihan solat jemaah

2 views
Skip to first unread message

Abubakar Asmuni

unread,
Nov 24, 2011, 12:45:49 AM11/24/11
to sinar...@googlegroups.com
Sains akui kelebihan solat jemaah


Solat berjemaah yang lebih afdal berbanding solat sendirian turut
diakui kelebihannya menerusi kajian dalam bidang sains.

--------------------------------------------------------------------------------


FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila engkau berada di
tengah-tengah mereka (sahabatmu), lalu engkau hendak mendirikan solat
bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan daripada mereka berdiri
(solat) bersamamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka
(yang solat beserta denganmu) sujud maka hendaklah mereka berpindah
dari belakangmu (untuk menghadap musuh). (an-Nisa': 102)

SOLAT berjemaah sangat dituntut dalam Islam sehinggakan ia
diperintahkan walaupun berada di medan pertempuran untuk berperang.
Ini sebagaimana firman Allah SWT menerusi ayat di atas yang turunkan
kepada Rasulullah semasa baginda ingin menghadapi peperangan dengan
orang kafir.

Mungkin ramai yang masih meragui mengapa perlunya melaksanakan solat
berjemaah sedangkan ia boleh dilakukan secara bersendiri di rumah atau
di lokasi kita berada tanpa bersusah payah ke masjid ataupun surau.

Namun salah faham terhadap kemestian solat jemaah di surau dan masjid
ini juga sebenarnya telah merumitkan untuk melaksanakan tuntutan
tersebut sedangkan ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja walaupun
hanya dua orang.

Mengerjakan solat secara berjemaah seminggu sekali pada solat Jumaat
atau solat sunat raya dianggap telah mencukupi oleh sesetengah umat
Islam asakan tidak meninggalkan kewajipan dalam rukun Islam kelima itu
sendiri di rumah.

Solat berjemaah sering diambil mudah dan semakin kurang mendapat
sambutan. Antara sebabnya, kurangnya kesedaran dan pengetahuan orang
ramai terhadap kelebihan dan manfaat yang bakal diperoleh daripada
menunaikan tuntutan Allah tersebut.

Kelebihan solat berjemaah disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam
sabda baginda yang bermaksud: Solat berjemaah itu lebih afdal daripada
sembahyang berseorangan dengan kelebihan 27 darjat. (riwayat
al-Bukhari)

Sabda Rasulullah dalam ayat di atas menunjukkan betapa Allah melipat
kali gandakan ganjaran kepada hambanya yang menunaikan solat berjemaah
berbanding solat secara bersendirian walaupun ia tiada perbezaan dari
segi perbuatan fizikal dan bacaan ketika solat.

Malah kelebihan serta manfaat solat berjemaah terbukti dari segi
saintifik dan diakui oleh pakar sains fizik di sebuah universiti di
Amerika Syarikat, Prof. John Herbert selepas membuat kajian mengenai
tujuan dan kelebihan solat berjemaah.

Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim), Dr. Abdul Ghaffar Surip berkata, hasil kajian
John Herbert mendapati sentuhan antara bahu jemaah ketika solat mampu
menyeimbangkan cas elektrik positif dan negatif yang terdapat dalam
tubuh manusia menjadikan tubuh lebih segar dan bertenaga.

"Tubuh manusia terdiri daripada dua cas elektrik iaitu cas positif dan
negatif. Setiap aktiviti harian kita tidak kira bekerja, beribadat
atau berehat banyak menggunakan tenaga yang menyebabkan berlakunya
pertukaran cas positif dan negatif yang menyebabkan ketidakseimbangan
cas tersebut di dalam tubuh.

"Ini menyebabkan tubuh berasa letih dan tidak bermaya. Oleh itu, cas
ini perlu diseimbangkan semula untuk memulihkan tubuh badan kita iaitu
dengan cara menunaikan solat berjemaah yang merangsang proses
pertukaran cas elektrik dalam tubuh kita tersebut," katanya.

Dr. Abdul Ghaffar berkata, tubuh manusia mengeluarkan cas yang
berlebihan dan cas itu akan ditarik oleh cas yang berlawanan dalam
tubuh badan jemaah di sebelah kanan dan kiri.

Begitu juga proses yang sama berlaku kepada setiap jemaah. Semakin
lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang dan semakin segar tubuh
badan kita.

Mengikut hasil kajian tersebut, proses pertukaran cas ini sangat
diperlukan dalam kehidupan harian sebagaimana keperluan tidur pada
setiap hari dengan sama.

Menurutnya, bilangan rakaat yang berlainan dalam setiap waktu solat
adalah bertepatan dengan keperluan pertukaran cas elektrik positif dan
negatif tersebut.

Solat subuh hanya dua rakaat kerana ia hanya memerlukan sedikit
pertukaran cas dalam tubuh. Berlainan pula dengan solat Zuhur dan Asar
yang memerlukan pertukaran cas yang banyak untuk menyeimbangkan cas
dan mengembalikan tenaga dan kecergasan tubuh.

"Selepas waktu Asar pula, pada kebiasaannya kita hanya beriadah atau
melakukan aktiviti ringan yang tidak terlalu banyak menggunakan tenaga
di samping perbezaan masa yang diperuntukan tidak terlalu ketara.

"Oleh itu, solat berjemaah waktu Maghrib hanya sebanyak tiga rakaat
mencukupi untuk menyeimbangkan cas dalam tubuh," katanya.

Walaubagaimanapun, mungkin sesetengah daripada kita keliru mengenai
bilangan solat Isyak yang banyak sedangkan ia tidak jauh berbeza
dengan waktu solat Maghrib.

Dr. Ghaffar berkata, menurut kajian itu, pertukaran cas yang banyak
perlu bagi menyediakan cas elektrik dalam tubuh yang benar-benar
seimbang dan pengumpulan tenaga yang secukupnya untuk bangun pada
sepertiga malam bagi menunaikan solat sunat seperti yang dituntut
dalam Islam.

"Hasil kajian saintifik tersebut menunjukkan kepada kita betapa indah
dan sempurnanya amalan agama Islam sehingga setiap kewajipan yang
diperintahkan kepada kita mempunyai kelebihan dan manfaat tersendiri,"
katanya.

Hasil kajian John Herbert itu membuka pintu hatinya dan mendapat
hidayah Allah untuk memeluk agama Islam kerana tiada amalan agama lain
yang selengkap dan sempurna sebagaimana ajaran Islam.

Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages