Bukan semua alkohol haram
Umumnya umat Islam
melihat setiap yang mengandungi alkohol itu adalah haram. Apakah beza arak
dengan alkohol?
DZULKIFLY: Tanggapan sedemikian tidak tepat. Memang
sebagai umat Islam, kita wajib mencari yang halal. Dalam hal ini sudah pastilah
bebas daripada arak dan alkohol atau juga secara umumnya dikenali sebagai
etanol.
Salah tanggapan ini antara lain akibat kesilapan
dalam menterjemahkan khamar daripada asal perkataan Arab kepada bahasa Inggeris
sebagai alkohol. Sedangkan maksud sebenar khamar adalah arak.
Tokoh Islam kontemporari, Prof. Dr. Yusof
al-Qaradawi misalnya pernah mengeluarkan pandangan bahawa penggunaan kandungan
alkohol sebanyak 0.5 peratus adalah dibenarkan. Alkohol yang dimaksudkan adalah
etanol yang mungkin digunakan sebagai pelarut atau pembawa kepada bahan seperti
perisa atau pewarna makanan. Istilah alkohol yang dimaksudkan di sini bukanlah
arak. Kerana jika arak ditambah, walaupun pada kadar yang sedikit, tidak
memenuhi keperluan halal.
Alkohol, secara umumnya pula merujuk kepada etanol
tulen dan etanol nyahasli pada sebarang kepekatan (proof).
Secara kimia, alkohol merujuk kepada sebarang
sebatian kimia yang mengandungi kumpulan hidroksil (-OH).
Sebagai contoh, iso-propil alkohol, metil alkohol
(metanol), butil alkohol (butanol), propil alkohol (propanol), sorbitol dan
inositol.
Sorbitol misalnya, walaupun ianya tergolong dalam
kumpulan alkohol adalah pemanis dan tidak mempunyai sifat yang
memabukkan.
Bagaimanapun, seperkara yang perlu dijelaskan
adalah tidak semua etanol terhasil daripada proses pembuatan arak. Ini kerana
terdapat juga etanol yang terhasil daripada proses penapaian tumbuhan yang bukan
bertujuan untuk menghasilkan arak, seperti alkohol industri.
Etanol juga boleh terjana secara sintesis kimia
iaitu daripada sumber petroleum, melalui hidrasi etilena.
Etanol adalah salah satu sebatian yang terkandung
dalam arak dan sebatian inilah yang sebenarnya akan menyebabkan peminumnya
menjadi mabuk. Selain dariapada itu, arak juga mengandungi sebatian lain seperti
ester, asid, aldehid, keton dan sebagainya yang membentuk sifat-sifat rasa arak
itu.
Daripada segi industri pula, ada etanol yang
hasilkan untuk berfungsi sebagai pelarut untuk pelbagai bahan industri dan
digunakan dalam perisa, pewarna, cat, kosmetik dan ubatan yang tiada kaitannya
dengan penghasilan arak.
Perbezaan utama antara arak dan etanol industri ini
adalah dari segi tujuan ia dihasilkan. Arak dihasilkan dan boleh menyebab
kemabukan manakala etanol industri adalah sebagai pelarut untuk pelbagai bahan
industri.
Kalau begitu, penggunaan alkohol sebagai bahan cita
rasa adalah dibenarkan?
DZULKIFLY: Dalam hal ini Muzakarah ke-22
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 24 Nov. 1988 telah mengeluarkan kenyataan
bahawa kordial yang mengandungi bahan perasa alkohol untuk tujuan penstabilan
adalah harus (boleh) digunakan untuk tujuan minuman sekiranya:
l Alkohol itu bukan dihasilkan dari proses
pembuatan arak
l Kuantiti alkohol dalam perasa itu sedikit iaitu
tidak memabukkan.
Istilah al-kuhl itu sendiri adalah perkataan Arab
yang diperkenalkan oleh saintis Islam zaman dahulu. Bahan ini tidak semestinya
ada kena mengena dengan pengeluaran arak.
Demikian juga dengan etanol, walaupun ada yang
digunakan untuk menghasilkan minuman beralkohol tetapi ia juga boleh
dimanfaatkan untuk kegunaan lain.
Antaranya sebagai dalam pencuci, bahan kimia untuk
uji kaji makmal, bahan bakar, pelarut untuk pengekstrakan bahan warna, pelarut
untuk pengekstrakan produk perubatan dan pelarut untuk pewangi.
Malah, etanol juga turut disapu pada lengan kita
sebelum diberi suntikan oleh doktor untuk membersih dan mengelak
jangkitan.
Mengikut Peraturan Makanan (1985) di bawah Akta
Makanan (1983), bahan minuman yang mengandungi lebih dua peratus kandungan
alkohol hendaklah dipamerkan dengan perkataan 'Arak Mengandungi % Alkohol' pada
botolnya.
Apa pula kegunaan alkohol nyah-asli?
DZULKIFLY: Alkohol nyah-asli bermaksud penambahan
bahan tambah seperti metanol, pyridine, denotorium kepada etanol tulen yang
dihasilkan secara sintesis kimia petroleum atau fermentasi bahan
pertanian.
Dengan menggunakan bahan tambah ini menjadikannya
beracun, atau menjadi pahit dan tidak boleh dimakan. Ini dapat menutup ruang
atau kesempatan di mana bahan yang ditambah dengan etanol tersebut boleh
digunakan sebagai arak.
Bahan tambah lain yang digunakan untuk industri
seperti iso-propanol, gasolin, metil-etil keton, klorofom, metil-isobutil keton
dan denatonium benzoate.
Apa pula kesan pengambilan alkohol kepada tubuh
badan kita?
DZULKIFLY: Berdasarkan kajian yang dilakukan dalam
bidang perubatan, alkohol (etanol) akan mula memberi kesan kepada tubuh apabila
kandungan alkohol dalam darah (Blood Alcohol Content atau BAC) berada pada tahap
0.06 hingga 0.09 g/100 ml (lihat rajah Tahap Ketosikan Pengambilan Alkohol
Kepada Manusia)
Dalam mengkaji etanol dalam tubuh manusia, kita
boleh merujuk kepada model matematik metabolisme yang diperkenalkan oleh Dr.
Erik Matteo Prochet Widmark (1889 - 1945), seorang ahli fisiologi Sweden.
Berdasarkan bukunya, Principles and Applications of Medico-legal Alcohol
Determination (1932).
Hasil kerja Widmark sangat terkenal hinggakan pada
tahun 1965, University of Indiana menubuhkan Anugerah Widmark bagi menyanjung
kerja beliau.
Perjalanan etanol dalam badan pula adalah seperti
berikut. Etanol tidak perlu dihadam kerana ia cepat diserap oleh
badan.
Lebih kurang 20% diserap terus melalui dinding
perut yang kosong dan boleh sampai ke otak dalam masa satu minit.
Kemudian diserap secara pantas pada bahagian atas
usus kecil, dan dari situ dibawa oleh darah ke hati dan akhirnya ke buah
pinggang.
Hanya sel-sel hati mengeluarkan enzim dehydrogenase
pada jumlah yang mencukupi untuk penguraian alkohol. Secara tabiinya, wanita
menghasilkan jumlah dehydrogenase yang kurang berbanding lelaki.
Sebab itu, secara teorinya kaum wanita akan lebih
cepat mabuk berbanding lelaki.
Baru-baru ini, isu pengharaman penggunaan cuka wain
disentuh. Ada juga pihak yang meminta keputusan itu dikaji semula. Apa pandangan
saudara:
DZULKIFLY: Pengharaman cuka wain itu adalah selaras
dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal
Agama Islam kali ke-76 pada 4-6 April 2006.
Keputusan Muzakarah adalah: Haram menggunakan cuka
wain yang diproses dan dicampur dengan bahan-bahan luar. Walaubagaimanapun,
sekiranya perubahan daripada cuka wain kepada cuka berlaku dengan sendirinya,
maka ia adalah halal.
Cuka wain ini banyak digunakan dalam penyediaan
pencuci mulut, bahan perap daging, salad dressing, mustard, jeruk dan
sos.
Bagaimanapun, saya suka mencadangkan agar kita
melihat kepada tiga aspek sebelum membuat keputusan dalam hal ini.
Pertama, memahami asas kepada pengharaman itu.
Salah satu daripadanya berdasarkan kepada istilah wain iaitu mengharamkan
sesuatu itu disebabkan konotasi pada namanya.
Contohnya, kalau wain ia mesti haram. Begitu juga
kalau istilah bak kut teh (sup babi) membawa kepada konotasi bahan yang
haram.
Dalam Standard Makanan Halal (MS1500) (Semakan
Kedua) yang dikuatkuasakan mulai November 2009, mana-mana produk yang mempunyai
istilah yang membawa kepada konotasi bahan yang haram tidak akan diberi
pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Kedua, kita perlu menjelaskan apakah maksud campur
tangan bahan luar sehingga menyebabkan cuka wain itu haram. Ia supaya berlaku
adil kepada realiti dan pihak industri.
Sebabnya, dalam industri sekarang, memang secara
sengaja dimasukkan bakteria asid asetik supaya hasilnya dimana alkohol secara
pastinya akan bertukar menjadi cuka.
Mereka ini tidak boleh mengambil risiko. Misalnya
menyediakan 10 tong untuk dijadikan cuka wain atau cuka asli, jika kita
membiarkan proses tersebut berlaku secara tabie tanpa dikawal atau diinokulasi
secara sengaja, tidak dapat dipastikan sama ada proses fermentasi tersebut akan
menghasilkan cuka atau ia akan akan rosak akibat daripada pencemaran bakteria
lain.
Ketiga, peratusan kandungan alkohol di dalam cuka
tersebut. Kajian yang kami lakukan di atas sampel-sampel yang diambil daripada
pasaran setakat ini mendapati kandungan paling tinggi alkohol dalam cuka adalah
0.18 peratus.
Ini menjelaskan bahawa kandungan alkohol sedemikian
adalah rendah dan kemungkinan besar tidak boleh
memabukkan.