JIKA difahami dan dihayati, solat sebenarnya amalan yang cukup hebat. Solat adalah modul lengkap bagi mendidik hati dan jiwa manusia.
Pelbagai kekuatan terhasil jika seseorang itu benar-benar menjiwai tuntutan
solat. Solat juga menjadi penghubung antara hamba dengan Tuhannya.
Setiap ayat dalam surah al-Fatihah yang dibaca adalah bicara dengan Allah.
Perintah solat bukan untuk kepentingan Allah Yang Maha Agung yang sudah
memiliki segala-galanya.
Solat hanya untuk kepentingan hamba-Nya. Ia sebenarnya melatih seseorang
hidup tertib sebab gerakan solat sangat tertib dimulai dengar takbir dan
diakhiri dengan salam.
Tujuan solat sebenarnya untuk mengingati Allah. Dalam al-Quran Allah
berfirman maksudnya: “Dirikanlah solat untuk mengingati Aku.”
Dalam ayat
lain Allah berfirman yang bermaksud: “Hanya dengan mengingati Allah hati akan
menjadi tenang.” Bayangkan seharian kita fikir mengenai dunia, fikir mengenai
kerja, makan minum, kawan dan keluarga.
Kalau semua itu kita dapat
bahagikan masa, takkan kita tidak boleh memberi masa untuk mengingati Allah.
Semakin baik kualiti dan mutu solat seseorang, semakin kukuhlah benteng
kemampuan untuk memelihara diri mereka daripada perbuatan maksiat.
Beberapa contoh solat dapat membina sifat positif manusia antaranya
bersikap rajin. Untuk menjadi bangsa yang kuat, kita perlu sentiasa rajin. Dalam
solat kita memuja dan memuji Allah.
Kita membuat janji dan ikrar yang
semua solat, ibadat, hidup dan mati kita hanya untuk Allah. Perbuatan dalam
solat membuatkan kita cergas dan aktif, rajin dan sentiasa bergerak.
Bermakna solat itu dapat membunuh sifat malas. Orang yang kuat
hubungannya dengan Allah mesti banyak berhubung dengan manusia. Jika betul takut
dan cinta kepada Allah, maka akan bertambah rasa cinta kepada manusia.
Solat ibarat ‘tiang’ dalam Islam. Malah ketika bertempur dalam
peperangan sekalipun tidak boleh tinggal solat. Selagi hayat dikandung badan,
selagi itu mesti solat.
Solat perlu dilakukan dengan berdiri, jika tidak
mampu berdiri, boleh duduk dan jika tidak mampu juga boleh dilakukan dengan cara
baring.
Sekiranya masih tiada daya juga dengan isyarat mata dan masih
tidak boleh juga, lakukan dengan isyarat hati.
Solat bukan saja
menghapuskan dosa seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Solat
menghapuskan dosa antara satu solat dengan satu solat yang lain kecuali dosa
besar.”
Imam Abu Aaliayah berkata: “Solat mempunyai tiga keistimewaan
dan jika tidak ada ketiga-tiga ini maka solat itu tidak sempurna dan tidak boleh
mencegah dosa. Keistimewaan itu adalah ikhlas, khusyuk dan zikrullah.
Ikhlas membuatkan seseorang melakukan perkara baik, khusyuk akan
mencegah perbuatan jahat manakala zikrullah (ingat Allah) pula mencegah mungkar
dan menanam makruf (kebaikan).
Sesetengah ulama dulu apabila tiba saat
menghembuskan nafas terakhir, mereka masih sempat meminta pertolongan orang
mengambil wuduk untuknya supaya dapat mengerjakan solat.
Malah, ada yang
minta diusung ke masjid kerana hendak mati di tempat solat.
Justeru,
janganlah kita mengabaikan solat dan jadikanlah ia rutin hidup kita.
Setiap
kali solat, anggaplah mungkin itu adalah solat yang terakhir.