TIDAK dapat dinafikan, wanita pada hari ini telah memberikan sumbangan yang
besar kepada kemajuan dan kemakmuran ekonomi negara. Dewasa ini terdapat sekian
ramai wanita Islam yang bekerja sama ada di sektor awam mahu pun swasta.
Bilangan ini semakin hari semakin bertambah dan tentunya mengundang pelbagai
persoalan terutama dari aspek berpakaian. Adakah sesuai atau tidak pakaian yang
dipakai oleh wanita berkenaan semasa bekerja iaitu dari sudut moral dan
lebih-lebih lagi dari sudut agama.
Dalam hubungan ini, Islam tidak
mensyaratkan jenis, bentuk serta potongan pakaian yang tertentu yang seharusnya
dipakai oleh seseorang wanita itu.
Apa yang dikehendaki oleh
agama ialah menutup aurat dan menjaga kesopanan serta kebersihan ketika bekerja.
Untuk itu, wanita-wanita yang sedar akan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah
sudah semestinya mereka merasa terikat dengan peraturan dan hukum-hukum syarak
dan sentiasa sedaya-upaya pula melakukan sesuatu yang diredhai Allah
s.w.t.
Fenomena yang wujud pada masa ini iaitu pelbagai bentuk fesyen
yang kebanyakannya masih mendedahkan aurat adalah berpunca daripada tiadanya
kesedaran atau kefahaman terhadap peraturan pakaian yang sebenar menurut Islam.
Oleh sebab itulah masih terdapat sebahagian umat Islam yang tidak faham tentang
pengertian aurat itu sendiri. Hakikatnya, di dalam Islam tidak ada satu
peraturan yang tertentu dalam menentukan jenis pakaian, *****a Ia telah
menetapkan bahawa aurat wanita ialah keseluruhan tubuh badannya kecuali bahagian
muka dan dua tapak tangan hingga pergelangannya yang wajib
ditutup.
Secara umumnya dapatlah dikatakan bahawa perubahan fesyen
pakaian wanita sekarang begitu berkembang luas. Perubahan ini mempengaruhi apa
juga keadaan baik dalam keadaan bekerja atau pun tidak. Walaubagaimanapun, harus
diingat, Islam itu bukan agama yang sempit dan menyusahkan umatnya. Islam juga
tidak menentang pemodenan tetapi biarlah kemodenan itu menjurus ke arah yang
betul dan tidak terkeluar dari lunas-lunas yang telah ditentukan oleh hukum
syarak.
Terdapat sebilangan orang merasakan tidak ‘moden’ atau ‘up to
date’ apabila mereka tidak mengikuti perkembangan fesyen. Pendapat ini
sebenarnya tidak salah sekiranya dia berpendirian untuk menjaga ketentuan hukum
syarak yang tidak boleh diabaikannya. Namun apa yang menjadi masalah sekarang
ialah terdapat mereka yang mengikuti perubahan fesyen hanya memenuhi
keinginannya semata-mata tanpa memahami batas-batas aurat dalam
Islam.
Dalam menjaga kesejahteraan umat, Islam telah meletakkan beberapa
garis panduan tentang etika berpakaian yang mesti dipatuhi. Di antara garis
panduan itu ialah mengharamkan pendedahan aurat di kalangan wanita Islam di
hadapan orang-orang yang bukan muhrimnya. Penutupan aurat menurut pandangan
Islam adalah berdasarkan syarat-syarat berikut :
● Menutup seluruh badan
kecuali muka dan kedua-dua belah tangan.
Islam telah menentukan
batas-batas yang harus (boleh) dibuka iaitu muka dan dua tapak tangan, manakala
bahagian-bahagian lainnya pula wajib ditutup. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud
:
“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya
mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara
kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah
Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah
kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka
(daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah
mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan
hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan
jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami
mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau
anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara
mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau
perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari
orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau
kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah
mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari
perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah. Wahai orang-orang
yang beriman supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur : 30 – 31)
● Berpakaian
yang tidak membayangkan kulit dan bentuk tubuh.
Antara tujuan berpakaian
menurut Islam ialah untuk menutup atau melindungi bahagian-bahagian tertentu
pada badan. Tetapi sekiranya wanita tersebut memakai pakaian yang nipis atau
jarang sehingga boleh dilihat warna kulitnya dan aurat yang sepatutnya ditutup,
maka ini bererti pakaian yang dipakainya sudah tidak berfungsi lagi. Wanita yang
berpakaian sebegini disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai wanita berpakaian
tetapi berbogel. Mereka bukan sahaja dilaknat oleh Allah s.w.t. tetapi juga
tidak berpeluang untuk mencium bau syurga. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud
:
“Akan terdapat pada akhir-akhir umatku (kaum wanita) yang berpakaian
menutup badan dan telanjang (yang berpakaian nipis atau membayangkan kulit
badan/bentuknya), atas kepala mereka, laknatilah mereka sesungguhnya mereka
golongan yang terlaknat.”
● Tidak memakai pakaian yang
ketat.
Antara tujuan menutup aurat ialah untuk mengelak dari berlakunya
fitnah. Sekiranya wanita itu berpakaian ketat sehingga jelas kelihatan potongan
badan dan bahagian-bahagian anggota tubuh badannya maka keadaan ini boleh
menimbulkan fitnah yang berakhir dengan pelbagai bentuk jenayah yang dikutuk
oleh agama.
Usamah Bin Zaid menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah
menerima hadiah sejenis kain Qibtiah yang tebal daripada seorang yang bernama
Dahiyah Al-Kalbi dan Rasulullah menghadiahkan pula kain tersebut kepada beliau
(Usamah) untuk dibuat pakaian, tetapi Usamah pula memberikan kain tersebut
kepada isterinya. Suatu hari Rasulullah bertanya Usamah, “Kenapa engkau tidak
memakai kain Qibtiah itu?” Usamah menjawab, “Aku telah berikannya kepada
isteriku.” Lalu Rasulullah berkata kepada Usamah : “Suruhlah isterimu
mengalaskan kain tersebut dengan kain yang lain di bawahnya kerana aku bimbang
sekiranya kain tersebut tidak dialas, maka akan kelihatanlah besar kecil
tulang-tulang badan isterimu (bentuk tubuh badan isterimu).”
● Tidak
memakai bauan yang boleh menarik perhatian lelaki.
Abu Musa al-Asy’ari
r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa
jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan
tujuan supaya dihidu bau wangi yang dipakainya, maka dia dikira
berzina.”
Zainab al-Thaqafiah pula menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w.
telah bersabda yang bermaksud :
“Jika salah seorang daripada kamu (kaum
wanita) keluar untuk beribadat di masjid, janganlah memakai
bau-bauan.”
Jika difahami maksud hadis tersebut, kaum wanita yang hendak
ke masjid pun dilarang memakai bau-bauan apatahlagi bagi mereka yang keluar
bersiar-siar, ke tempat kerja dan sebagainya. Sudah tentu kesalahannya di sisi
agama lebih besar.
● Pakaian yang tidak menyerupai pakaian
lelaki.
Menurut hadis-hadis sahih dari Rasulullah s.a.w., dapat difahami
bahawa Allah s.w.t. melaknat wanita yang meniru pakaian lelaki dan lelaki yang
meniru pakaian wanita. Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan : “Rasulullah telah
melaknat orang-orang lelaki yang berpakaian perempuan dan orang-orang perempuan
yang berpakaian lelaki.”
Ini bersesuaian dengan sifat tabi’i seorang
wanita di mana Islam menyarankan agar kaum wanita memakai pakaian-pakaian yang
sesuai dengan sifat dan kejadian mereka, lemah-lembut dan
bersopan-santun.
Secara kesimpulannya, Islam mewajibkan ke atas setiap
wanita supaya memakai pakaian yang menutup aurat iaitu menutup seluruh badannya
kecuali muka dan dua belah tangan. Mereka juga hendaklah memilih jenis-jenis
kain yang tidak membayangkan warna kulit dan tidak juga memperlihatkan bentuk
tubuh badan. Begitu juga dilarang ke atas mereka untuk menghiasi pakaiannya
dengan hiasan-hiasan dan bau-bauan yang boleh mempesona atau menarik perhatian
ramai dan menimbulkan fitnah.
Sesungguhnya, Islam tidak menentukan fesyen
dan bentuk pakaian yang mesti dipakai oleh seseorang wanita itu sama ada pada
masa bekerja atau pun tidak. Apa yang penting ialah ianya tidak berlawanan
dengan batas-batas yang telah ditentukan oleh syarak.
sekian wassalam
yang benar
kaksros.