Menjaga suami uzur lebih afdal
SOALAN 1:
SEORANG wanita tua mengerjakan solat wajib dan solat sunat (tarawih)
berjemaah di surau manakala suaminya yang uzur dan nyanyuk ditinggalkan di rumah
dan dijaga oleh pembantu rumah.
Mana yang lebih afdal, menunaikan solat
berjemaah di surau atau menjaga sendiri suami yang telah uzur dan nyanyuk di
rumah?
JAWAPAN:
Adalah lebih baik si isteri menjaga suaminya yang uzur. Walaupun Islam
tidak melarang wanita ke masjid atau ke surau untuk menunaikan solat wajib atau
sunat,
tetapi keizinan ini bergantung kepada keadaan dan keperluan. Jika ada
perkara yang lebih utama seperti menjaga suami yang uzur adalah tidak dituntut
ke atasnya ke masjid atau surau.
Ini kerana perkara yang perlu diberi
keutamaan ialah menjaga suami yang uzur.
Daripada Muaz bin Jabal,
hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang sujud kepada seseorang yang lain nescaya aku akan perintahkan para isteri sujud kepada suaminya kerana kedudukan hak suami ke atas isteri”.
(al-‘Ilal Li Ibn Abi Hatim, jld:2,hlm:286)
Nas ini jelas bahawa taat kepada suami kedudukannya ialah selepas
menyembah Allah s.w.t. Taat kepada suami bermaksud taat kepada Allah.
Taat kepada Allah s.w.t. tidak bermaksud taat kepada suami.
Ini kerana ada di kalangan isteri yang solatnya cukup, puasanya cukup,
baca al-Quran juga cukup, tetapi belum tentu dia diredai Allah dan belum tentu
Allah terima ibadatnya dan bergembira dengan amalannya. Seorang isteri akan
dipandang pada ketaatannya kepada agama dan ketaatannya kepada
suami.
Mentaati suami itu wajib selagi mana si suami tidak menyuruh
isterinya melakukan kemaksiatan kepada Allah.
Ada diriwayatkan dalam kisah hidup para sahabat,
bahawa pada suatu hari Fatimah puteri kesayangan Rasulullah s.a.w. telah menyinggung suaminya Saidina Ali dengan kata-kata.
Kata-kata yang kurang enak itu menyebabkan Saidina Ali berasa hati.
Apabila Fatimah menyesal dan menyedari akan kesilapan dalam berbahasa kepada suaminya. Fatimah cuba memujuk suaminya dengan meminta maaf berulangkali.
Fatimah meminta maaf seperti budak kecil yang tersilap. Melihat kepada
gelagat isterinya yang tercinta Saidina Ali tersenyum dan memaafkan
isterinya.
Perkara ini diberitahu oleh Fatimah sendiri kepada ayahandanya
Rasulullah s.a.w. Lantaran baginda bersabda:
“Ketahuilah wahai Fatimah sekiranya engkau bertemu ajal sebelum kau dimaafkan oleh suamimu nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu.”
Peristiwa yang berlaku dalam keluarga Rasulullah ini mengajar para
isteri supaya sentiasa menjaga perasaan suami dan tidak menyinggung
hatinya.
Ini tidaklah bermaksud isteri sahaja yang bertolak ansur kepada
suami, malahan si suami juga perlu bertolak ansur kepada isterinya.
Kesimpulannya,
suami isteri wajib mengetahui peranan masing-masing yang telah
dipertanggungkan oleh syarak.
SOALAN 2:
Adakan kita wajib berpuasa
setelah darah nifas (bersalin) kering bermakna tidak ada sebelum tempoh 40 hari
dalam pantang? Sebelum 30 hari sudah bolehkah berpuasa?
JAWAPAN:
Tempoh 40 hari itu adalah anggaran. Angka itu dipegang oleh masyarakat
kita sebagai bilangan hari yang dianggap sebagai tempoh masa berpantang.
Jangan samakan tempoh berpantang dan tempah nifas. Ada ibu yang bersalin darah nifasnya memakan masa yang pendek dan ada pula yang memakan masa yang panjang.
Adapun yang melebihi 40 hari menjadi perbincangan sama ada selepas 40 hari itu darah nifas atau darah berpunca dari penyakit.
Kesimpulannya apabila berhenti sahaja darah nifas maka wajiblah bagi
perempuan itu berpuasa walaupun darahnya berhenti sebelum 40 hari.
SOALAN 3:
Apabila bersetubuh di malam hari pada bulan Ramadan,
untuk mandi wajib adakah sebelum Subuh atau waktu imsak?
Ini kerana kadang-kadang kita tertidur hingga pukul 7 baru dapat mandi
wajib. Jadi adakah sah puasa kita?
JAWAPAN:
Walaupun tidak sempat mengangkat hadas besar (mandi wajib) sebelum Subuh
atau waktu imsak, puasa tetap sah.
Daripada Aisyah dan Ummu Salah r.a. memberitahu:
“Adalah suamiku (Rasulullah s.a.w.) kedua-dua mereka memberitahu:
Sesungguhnya Rasulullah menemui Subuh sedang baginda dalam keadaan junub kemudian baginda mandi dan berpuasa.”
(Lu’lu’ wa al-Marjan, jld:1, hlm:11).
Nasihat saya agar keadaan ini tidak berulang, iaitu mandi pukul 7 pagi,
sekarang ini waktu syuruk pukul 7 lebih. Persoalannya pukul berapa solat
Subuh?
Dalam hadis di atas Rasulullah s.a.w. mandi setelah masuk waktu subuh, ini tidak bermaksud Nabi s.a.w. juga lewat Subuh.
Berusahalah supaya solat Subuh ditunaikan pada waktunya.
SOALAN 4:
Apa hukum menyiram air ke atas kepala dan badan di siang
hari Ramadan?
JAWAPAN:
Hukumnya harus,
ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. yang bermaksud:
"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menyiram air ke atas kepala dan badan Baginda kerana terlalu panas dan terlalu dahaga."
(riwayat Bukhari dan Muslim).
Dan diriwayatkan sesungguhnya Ibnu Abbas:
"akan masuk bilik air di bulan Ramadan untuk mandi dan berendam."
( Ibnu al-Qudamah, al-Mughni, jld:3, hlm;103).
Berdasarkan kepada nas di atas mazhab al-Syafieyyah mengharuskan ke atas
orang yang berpuasa untuk mandi dan berendam atau menyiram air ke atas
kepala.
Walaupun ada kelonggaran dalam hadis di atas seperkara yang
mengikat kita ialah keharusan itu bagi orang yang merasakan sangat panas dan
sangat dahaga.
Bagi mengelakkan keletihan atau boleh menyebabkan gangguan pada kerja
seharian, maka syarak mengharuskannya.
sekian Wa'ssalam
Yang benar
Kakros.