Kikis rasa benci di hati

5 views
Skip to first unread message

Shuhada

unread,
Dec 9, 2011, 2:26:09 AM12/9/11
to sinar...@googlegroups.com

Kikis rasa benci di hati

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

MEMBANGUNKAN sebuah masyarakat yang aman harmoni, tenteram dan bahagia menjadi impian semua manusia. Kelangsungan penghidupan yang berada dalam rukun damai akan memacu kepaduan pembangunan dan kepesatan kualiti modal insan.

Namun, dalam senario semasa kita sentiasa dirimaskan dengan gejala negatif yang cukup mencengkam jiwa dengan timbul aneka unsur fitnah yang melanda ummah. Situasi sedemikian menggambarkan seolah-olah fitnah itu suatu hal yang ringan dan tidak mendatangkan keburukan.


Dalam bab fitnah-memfitnah, Islam telah mengatakan deklarasi yang cukup tegas dengan melarang sama sekali umatnya berbuat demikian. Ketegasan ini jelas sebagaimana kata Nabi dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, “Tidak masuk syurga orang yang suka mengacum (menyebar fitnah).” Kalau dulu fitnah-memfitnah ini hanya disebarkan melalui medium lidah (lisan), namun dengan perubahan zaman, budaya buruk fitnah itu mudah tersebar dan merebak menerusi pelbagai cara menggunakan kemudahan alat komunikasi moden. Yang terbaru ialah melalui blog yang penggunaannya semakin popular dan sangat mudah untuk sesiapa saja menyebarkan sesuatu maklumat. Walaupun tujuan asalnya bermatlamat untuk faedah manusia, namun begitulah manusia ini ada saja ikhtiar bersifat negatif menyalahgunakannya ke arah bertentangan dengan kehendak agama, termasuk menabur fitnah terhadap orang lain. Tidak salah menggunakan apa saja alat komunikasi moden asalkan dengan tujuan membawa kebaikan dan sememang itulah yang menjadi tujuan sesuatu alat tersebut direka cipta.

Namun, atas dasar sikap manusia yang sering tidak ingat Allah dan sentiasa lupa bahawa Dia melihat apa saja yang kita lakukan, maka manusia mudah terjerumus dengan salah laku negatif yang membawa kesan buruk bukan saja kepada pelakunya tetapi orang lain yang menjadi mangsa.


Sebenarnya gejala memfitnah akibat daripada sikap suka berbohong dan mempunyai perasaan hasad dengki melampau seseorang. Hati yang bersarang dengan unsur mazmumah inilah yang merangsang seseorang melakukan kerja terkutuk dan dilaknat Allah itu. Ingatlah pesanan Nabi kita yang bermaksud, “Tidak beriman seseorang itu dengan sempurna sehingga ditinggalkan pembohongan sama ada semasa senda gurau atau semasa bersengketa atau perbalahan.” (Hadis dilaporkan oleh Abu Hurairah r.a. ). Waspadalah kita semua dengan tabiat berbohong ini kerana berdasarkan satu lagi catatan hadis Nabi ada menegaskan, “Mahukah kamu aku tunjukkan perihal dosa-dosa besar? Kami menjawab: Ya tentu mahu wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah saw pun menjelaskan: Menyengutukan Allah, derhaka kepada kedua-dua orang tua (ada lagi), iaitu perkataan dusta.” (Hadis riwayat Muttafaq Alaih). Jadi, jelaslah di sini bahawa Islam mengkategorikan salah laku pembohongan itu sebagai antara dosa besar dan seharusnya setiap kita mengelakkannya. Hal itu termasuklah menyebar fitnah terhadap seseorang. Jika teringin juga melakukan kerja buruk memfitnah itu, maka sebelum melakukannya, hayatilah amaran Allah ini, “Pada hari ketika lidah, tangan dan kaki menjadi saksi atas mereka terhadap apa-apa yang dulu mereka kerjakan.” (Maksud Surah An-Nur ayat 24). Takuti hari tersebut, iaitu di Padang Mahsyar nanti tempat segala perhitungan amal baik dan kerja buruk kita ditimbang sehalus-halusnya tanpa tertinggal satu pun. Kalau kita masih tidak berasa gerun juga dengan peringatan Allah itu, tidak tahulah apakah jenis manusia kita ini? Kering iman dan kontang takwa, mungkin itu lebih tepat untuk dikatakan.


Manusia yang melakukan fitnah itu adalah golongan yang menyimpang daripada kebenaran dan petunjuk Ilahi sehinggakan dianggap perbuatan itu lebih kejam daripada pembunuhan. Mengapakah Islam memandang perbuatan memfitnah itu sesuatu yang sangat buruk dan sewajibnya kita hindari daripadanya? Antara impak buruk fitnah ialah berlakunya keadaan porak peranda dalam masyarakat, Dengan erti kata lain akan mudah terjadinya perpecahan ummah. Sedangkan Allah menggariskan panduan hidup bermasyarakat yang luhur untuk umat-Nya, iaitu saling kasih-mengasihi antara satu sama lain, ibarat aur dengan tebing. Saling membantu dan saling bekerjasama tanpa mengira darjat. Darjat dalam Islam hanya diukur daripada perspektif kekukuhan ketakwaan saja. Dengan merebaknya budaya memfitnah itu akan menimbulkan rasa benci-membenci sesama Muslim yang amat negatif yang akan mengekang kelangsungan landskap sosial berukhwah yang unggul.

Rasa benci sesama mukmin itu adalah dorongan syaitan dan wajiblah kita bendung habis-habisan daripada bersarang dalam hati kita. Hayatilah firman Allah ini, “Sesungguhnya syaitan menghendaki supaya menjatuhkan kamu dalam permusuhan dan berbenci-bencian sesama kamu.” ( Maksud Surah Al-Maidah ayat 91). Jadi, hindarilah memfitnah sesama manusia kerana akan menimbulkan perasaan kebencian yang serius selain gejala itu bukan lambang ketamadunan hati orang yang beriman dan bertakwa.


Jika kita rajin menelusuri sejarah tamadun sesuatu bangsa dan negara, maka didapati salah satu punca keruntuhannya adalah disebabkan berlakunya gejala fitnah itu. Hal itu termasuklah ketika zaman keagungan Kesultanan Melayu Melaka. Masyarakat sesama Muslim saling berdengki, khianat dan memfitnah lalu keadaan tidak stabil dalam negara diambil peluang oleh Portugis untuk menawan singgahsana kemasyhuran Kesultanan Melayu Melaka ketika itu. Demikian jugalah dengan apa yang berlaku di beberapa kerajaan lain seperti semasa kerajaan Bani Umaiyah, Abasiyah, dan Turki Uthmaniyah. Salah satu daripada faktor keruntuhan mereka disebabkan masyarakat di dalam negara tersebut tidak bersatu, saling membenci, memfitnah dan ini membuka ruang dan peluang kepada musuh untuk menjatuhkannya. Ambillah iktibar daripada perjalanan sejarah. Jangan biarkan negara kita yang aman sentosa ini dicemari dengan budaya fitnah meliar yang menghalang kesepaduan ummah. Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pernah berkata: “Apabila hati kita bersih, kita dapat mengelakkan diri daripada busuk hati, kita dapat menghindari daripada buruk sangka, fitnah-memfitnah dan segala kemungkaran dan kejahatan, bukan saja bagi diri kita, tetapi juga bagi keluarga, jiran dan masyarakat kita.” Renung-renungkanlah! Penulis seorang guru

sumber: harian metro

Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages