Saya pernah berzina beberapa tahun dahulu dan sekarang
saya benar-benar menyesal atas keterlanjuran tersebut. Saya selalu bertaubat
memohon keampunan kepada Allah. Tetapi saya tidak yakin adakah taubat saya
benar-benar diterima, kerana jika mengikut hukum hudud bererti saya perlu
menjalani hukuman sebat sebanyak 100 kali.
Untuk menggantikan
hukuman tersebut, perlukah saya menyerah diri kepada pihak berkuasa, supaya
dihukum setimpal dengan hukuman yang dijalankan oleh pemerintah pada masa ini?
Saya benar-benar menyesal dan ingin bertaubat bersungguh-sungguh. Harap ustaz
dapat membantu saya.
Jawapan
:Tahniah kepada saudara kerana telah insaf dan ingin
benar-benar bertawbat. Untuk menjawab soalan ini, pertama saudara perlu
mengetahui amat besarnya dosa zina dan mestilah dengan segera bertawbat
terutamanya ke ketika tiadanya hukuman hudud dilaksanakan di
Malaysia.
Hukuman zina terdapat dengan jelas di dalam surah An-Nur
ayat 2) Bagaimanapun, tindakan menyerah diri kepada pihak berkuasa pada hemat
saya tiadalah gunanya di sisi Allah SWT, kerana undang-undang yang ada hari ini
hanya memperuntukan hukuman bagi penzina yang sabit kesalahannya ; beberapa ribu
ringgit, beberapa kali sebatan dan beberapa tahun penjara (saya tidak ingat
dengan tepat hukumannya). Apa yang jelas semua ini bukanlah undang-undang yang
dapat menghilangkan dosa zina di sisi Allah, malah merugikan lagi, dihukum
dengan hukuman manusia dan tidak pula diampun di sisi
Allah.
Cuma saya pernah mendapat satu pendapat yang agak ganjil
tetapi ada rasionalnya iaitu, sesiapa yang ingin pasti menghapuskan dosa zinanya
di zaman kini, mereka di cadangkan untuk pergi di Saudi Arabia yang mempunyai
peruntukan hukuman sebat. Lalu orang yang berzina tadi bolehlah mengaku ia telah
berzina dan akan dihukum di sana, maka hilangkan dosanya di sisi Allah SWT. Saya
tidak mampu komen panjang akan cadangan ini, cuma pendapat peribadi saya, ia
kelihatan boleh diterima dari satu sudut, walaupun mempunyai kontra dalam
beberapa sudut yang lain.
Bagi individu yang tidak mampu keluar mencari
hukuman atau tiada peruntukan hukuman sebenar (seperti ikhlasnya pemuda bernama
Ma’iz bin Malik pada zaman Nabi yang mengaku berzina berkali-kali di hadapan
Nabi untuk menghapuskan dosanya dengan rejaman – demikian di dalam riwayat Abu
Daud dari Abu Hurayrah r.a ), maka tanpa syak lagi, Pertama : Pihak berwajib
akan menanggung dosa kerana tidak menyediakan peruntukan hukumannya. Kedua :
Individu yang telah berzina mesti segera bertawbat nasuha dan jangan sekali-kali
putus asa dengan rahmat dan pengampunan Allah SWT.
Syarat tawbat ini
adalah :-Perlunya bersegera dan berterusan tawbat (selagi belum rasa
hilang bersalah) . Firman Allah SWT ertinya : “ Sesungguhnya tawbat di sisi
Allah hanyalah tawbat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran
kejahilannya yang kemudian mereka bertawabat dengan segera, maka mereka itulah
yang diterima Allah Tawbatnya ( An-Nisa : 17)
Berazam kukuh di dalam hati
agar tidak lagi ingin kembali kepada perbuatan haram itu. Justeru ia mestilah
menjauhkan dirinya dari mendekati apa jua situasi yang boleh membawanya ke arah
lembah zina tadi. Tinggalkan semua jalan dan tempat yang boleh mengembalikan
kepada zina.
Mempergandakan amal soleh, ia berdasarkan firman Allah
ertinya : “ Kecuali orang-orang bertawbat, beriman dan mengerjakan amal soleh;
maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan Allah maha pengampun
lagi penyayang” ( Al-Furqaan : 70 ). Justeru, banyakkan bersedakah, mengajar
orang lain, kenalan dan lain-lain agar menjauhi dosa zina dan menyedarkan
sesiapa jua yang mampu tentang dosanya. Maka dengan pahala kebaiakn ini diharap
ianya dapat menutup dosa zina tadi.
Sekiranya melibatkan rogol, maka
hukuman dan tawbatnya berbeza kerana ia melibatkan pencabulan hak manusia lain,
dosanya lebih besar. Dalam hal zina denga rela kedua-dua belah pihak. Imam Abu
Yusof (anak murid Imam Abu Hanifah) pernah mencadangkan agar kedua-dua pasangan
berkahwin (sekiranya si wanita belum berkahwin) bagi menggugurkan hukuman hudud
tetapi pandangan ini ditolak oleh seluruh ulama Mazhab empat. (Bada’I as-Sonai’
, Al-Kasani, 7/62 ; Al-Tasryi’ Al-Jinaie Al-Islami, Abd Qadir Awdah, 2/454).
Walaubagaimanapun, dalam hal tawbat, pada hemat saya, ia elok dilakukan bagi
menunjukkan kesungguhan tawbat seseorang. Wallahu ‘alam