layakkah kita di gelar umat nabi muhammad?

17 views
Skip to first unread message

rosmerah

unread,
Sep 17, 2007, 3:34:36 PM9/17/07
to sinar...@googlegroups.com

layakkah kita di gelar nabi muhammad?

Rasulullah saw. adalah insan pilihan, utusan terakhir yang diutus untuk
menyampaikan risalah Ar-Rahman keseluruh alam. Baginda adalah contoh teladan
yang
terbaik dan sememangnya menjadi ikutan dalam kehidupan muslim pada hari ini.
Keindahan akhlak Rasulullah saw. dibuktikan dalam Al-Quran melalui
firman-Nya
dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud:

"Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah saw. itu suri teladan yang baik
bagimu, iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari
Kiamat dan yang banyak mengingati Allah."

Berdasarkan dalil yang dinyatakan di atas, dapat dibuktikan bahawa keindahan
akhlak Rasulullah saw. telah diiktiraf oleh Allah SWT sehingga dirakamkan
di dalam kitab suci al-Quran untuk dijadikan teladan mahupun "role model"
kepada umat baginda dari dahulu hinggalah sekarang, kerana segala yang
termaktub
dalam al-Quran itu adalah kekal dan tak lapuk dek hujan, tak lekang dek
zaman.

Petikan kenyataan "Akhlak Rasulullah adalah al-Quran" merupakan kata-kata
yang diungkapkan sendiri oleh Saidatina Aisyah r.a. sebagai penghargaan dan
kekaguman
seorang isteri terhadap Rasul tercinta.

Akhlak Rasulullah saw., diumpamakan indah bagaikan Al-Quran, ini kerana
baginda adalah Rasul (utusan Allah) yang dipilih untuk menyampaikan amanat
dari
Tuhannya dan melaksanakan tanggungjawab menyampaikan risalah dakwah kepada
seluruh alam, sehinggalah ke hari ini. Kita dapat merasakan seruan dakwah
baginda
dengan nikmat iman dan Islam yang menjadi tunjang akidah kita, dibuktikan
lagi dengan turunnya kitab suci al-Quran yang merupakan kalam Allah dan
mukjizat
yang paling berharga dianugerahkan kepada baginda Rasulullah saw., melalui
perantaraan malaikat Jibrail, juga merupakan sumber utama perundangan Islam,
di mana di dalamnya terkandung seluruh peraturan hidup yang syumul meliputi
seluruh aspek kehidupan dan tetap menjadi rujukan seluruh umat manusia pada
hari ini.

Akhlak Rasulullah saw. seiring dan sepadan seperti mana yang digariskan oleh
Allah SWT di dalam ayat-ayat-Nya, yang menjadi tatapan pada umat terdahulu
dan menjadi teladan kepada umat yang kemudian. Sesungguhnya, beruntunglah
umat Nabi Muhammad pada hari ini, sungguhpun tidak berada di zaman baginda,
namun
sunnah dan sirah baginda tetap tersemat di hati, lantaran kecintaan terhadap
Allah dan Rasulnya serta beriman dan menyakini apa yang di bawa oleh baginda
Rasulullah saw.

akhlak terpuji Rasulullah saw.adalah qudwah hasanah yang tidak dapat
ditandingi lantaran peribadinya yang terpuji dan dikagumi sendiri oleh kawan
mahupun lawan. Manakan tidak, Rasulullah tetap melemparkan senyuman tatkala
dicaci, dihina dan dipersenda oleh musuh-musuh Islam sewaktu baginda
menyampaikan risalah dakwahnya.
Malahan, baginda sentiasa merendah diri, berbicara dengan lemah lembut dan
untuk menarik mereka mendekati Islam.

Peribadi Rasulullah saw. sungguh anggun dan menawan, sungguhpun bergelar
nabi, namun baginda sedikit pun tidak menyombong dan tidak riya' dengan
kedudukannya yang sangat mulia di sisi Allah SWT. Tidak seperti kebanyakan
pemimpin pada hari ini, yang angkuh dan bongkak dengan gelaran, pangkat dan
jawatannya yang
hanya sementara sahaja. Baginda Rasulullah saw. merupakan seorang sahabat
dan teman yang setia, seorang suami yang mithali dan lembut hati, seorang
bapa yang penyayang dan penyabar, seorang pemimpin yang adil, bijaksana dan
berkarisma juga hamba yang wara' dan tawadhuk serta taat kepada Allah SWT.

Keindahan akhlak Rasulullah saw. sesuai dengan gelaran yang di bawa, iaitu
al- amin yang bermaksud yang dipercayai, dan tanggungjawab yang diamanahkan
sebagai pembawa risalah dan memberi petunjuk dan jalan dari perkara
kemungkaran kepada kema'rufan, perkara batil kepada yang haq, dan kejahilan
kepada
cahaya.

Rasullah saw. diutus pada zaman Jahiliyyah di mana umat manusia pada ketika
itu hidup dalam keadaan kemunduran, kejahilan, persengketaan, penindasan,
porak- peranda dan saling berbunuhan. Oleh yang demikian, turunlah ayat
Allah dalam Surah Ibrahim ayat 4 yang bermaksud:

"Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya,
agar dia dapat memberi penjelasan kepada mereka. Maka Allah menyesatkan
kepada
siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia
kehendaki. Dia Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana."

Justeru itu, perlantikan dan pemilihan baginda sebagai Rasul utusan Allah
adalah membawa tanggungjawab besar untuk memperbetulkan keadaan masyarakat
pada
ketika itu, dan menunjukkan sinar kebenaran ke arah hidup yang diberkati
Allah.

Demikianlah, besarnya peranan baginda sebagai penghulu sekalian nabi,
pemimpin pejuang Islam, dan penyelamat sekalian ummat. Ini disebutkan oleh
Allah
SWT dalam firman-Nya dalam surah Saba' ayat 28 yang bermaksud:

"Dan tidaklah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi
semesta alam."

Sungguhpun begitu, berat dan amat payah tanggungjawab baginda, Rasulullah
tetap bersabar dan istiqamah dalam perjuangannya menyampaikan risalah dakwah
hingga ke hembusan nafasnya yang terakhir. Inilah bukti kasih sayang baginda
terhadap umatnya. Meskipun berhadapan dengan saat ajal datang menjemput,
baginda
sentiasa mengingati umatnya, dengan kata-kata terakhir yang keluar dari
mulut baginda:

"Ummati, ummati, ummati " (Umatku, umatku, umatku).

Allahu akhbar. Maha suci Allah, begitu agung peribadimu, sungguh menawan
tutur bicaramu, terpaut hatiku menghayati sirah hidupmu. Engkaulah Rasul
pilihan,
engkaulah pemimpin sanjungan, engkaulah suri teladan, engkaulah permata yang
sentiasa bergemerlapan, engkaulah sinar yang menerangi seluruh alam.
engkaulah
pujaan setiap insan.

Rasulullah diutus membawa cahaya, memberi sinar pengharapan, menunjuk jalan
kepada kebenaran. Keperibadian baginda tidak dapat disangkal lagi, keluhuran
baginda tidak dapat diragui, keikhlasan baginda tidak dapat ditandingi,
pemergian baginda tiada lagi pengganti.

Wahai seluruh umat manusia, bangunlah dari lenamu, sedarlah dari
angan-anganmu, bukalah mindamu, asahlah bakat dan kemampuanmu, persiapkan
dirimu untuk
meneruskan perjuangan dakwah baginda Rasulullah saw.

Jika dilihat situasi remaja pada hari ini, tiada langsung yang mencerminkan
keperibadian yang luhur seperti mana yang ditunjukkan oleh contoh teladan,
Rasulullah

Andainya kita mengambil artis-artis sebagai ikutan dan role model dalam
kehidupan kita, dimanakah nilai iman kita sebagai umat yang mengaku Islam?

Wahai para remaja yang dikasihi sekalian, duduklah seketika, berfikirlah
sejenak, patutkah kita mengambil artis sebagai ikutan, wajarkah kita
meninggalkan
Rasulullah saw.insan agung sebagai panduan dalam kehidupan kita? Sudah pasti
jawapannya tidak sama sekali. Tergamakkah kita mengagung-agungkan artis,
memuja- muja kekasih sebagai tanda sayang kita kepadanya? Sebaliknya
melupakan selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah saw. sebagai
bukti cinta
agung kepadanya? Persoalan ini perlu dijawab sendiri oleh umat yang mengaku
hamba kepada Allah yang Maha Esa dan umat yang inginkan syafaat baginda di
padang Mahsyar kelak.

Perginya baginda meninggalkan umat, mewasiatkan dua perkara yang paling
berharga tiada tandingannya, iaitu kitab suci al-Quran dan Sunnah nabi saw.
Barangsiapa yang berpegang teguh kepada keduanya, maka ia tidak akan sesat
selamanya, Insya' Allah.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita duduk sejenak merenung kejadian
sendiri, menginsafi kekurangan diri, kembali ke pangkuan IIahi. Apakah kita
benar-benar ingin menjadi ummat baginda? Apakah peranan dan tugas kita
sebagai umatnya? Layakkah kita bergelar umat baginda? Beranikah kita memohon
syafaat
baginda di akhirat kelak? Apakah yang telah dikorbankan untuk Islam? Apakah
yang telah kita sumbangkan untuk perjuangan dakwah baginda? Persoalan inilah
yang sepatutnya berlegar-legar di fikiran kita, seandainya mengaku bahawa
kita adalah ummat Rasulullah saw. Duduklah sebentar, fikir-fikirkan,
tepuklah
dada, tanyalah iman.

Sungguhpun kita tidak dapat menjadi sesempurna nabi, tetapi berazamlah
untuk memperbaiki akhlak dan peribadi Sesungguhnya Allah sentiasa ada
bersama
kita, dan Dia sentiasa menolong hamba-Nya yang suka kepada kebaikan.


Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages