Antara kelebihan dan kurniaan Allah untuk hamba-Nya ialah dijadikan
bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan dijanjikan
pahala yang berganda banyaknya.
Salah satunya ialah 10 hari yang terawal pada bulan Zulhijjah.
Beberapa dalil daripada al-Quran dan Hadis telah menyebut tentang
kelebihannya:
1. Firman Allah SWT maksudnya:
“Demi fajar dan malam yang sepuluh.” (Al-Fajr: 1-2)
Kata Ibnu Kathir: “Yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam yang
pertama pada bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair,
Mujahid dan lainnya.” HR: Imam Bukhari.
2. Daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya;
“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain
daripada hari-hari yang 10 ini. Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di
jalan Allah? Rasulullah bersabda: Walaupun berjihad
di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta
hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” HR: Ahmad,
At-Tirmizi.
3. Firman Allah SWT, maksudnya;
“Hendaklah kamu menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan.” (Surah
Al-Haj: 28).
Kata Ibnu Abbas RA: Maksudnya ialah hari-hari yang 10 itu.
4. Dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya;
“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya
lebih dikasihi oleh Allah daripada hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah
padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
5. Adalah Said bin Jubir RA (perawi yang meriwayatkan Hadis Ibnu Abbas di
atas) apabila tiba hari yang tersebut beliau beribadat bersungguh-sungguh
sedaya-upayanya. HR Ad-Darimi- Hasan.
6. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, antara sebab keistimewaan 10
hari Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar
iaitu: Solat, puasa, sedekah dan haji. Pada
waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.
Amalan-amalan yang baik dilakukan pada hari-hari tersebut:
1. Solat. Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu (berjemaah)
dan memperbanyakkan solat sunat kerana itulah sebaik-baik amalan. Thauban RA
berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda (maksudnya): “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah,
kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu
kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu.” HR Muslim.
- Ini umum untuk semua waktu.
2. Puasa. Kerana puasa juga termasuk di dalam amalan soleh. Daripada
Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada setengah isteri-isteri
Rasulullah SAW berkata: “Rasulullah SAW berpuasa pada
hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada
setiap bulan.” HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei.
Kata Imam An-Nawawi: Berpuasa pada hari-hari 10 adalah sunat yang sangat
digalakkan.
3. Takbir, Tahlil dan Tahmid. Hal ini kerana, hadis Ibnu Umar yang di atas
mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan
La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar)
dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).”
Kata Imam Bukhari: “Ibnu Umar dan Abu Hurairah RA menuju ke pasar
pada hari-hari 10 dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut
bertakbir sama.”
Katanya lagi: “Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina
bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya,
mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan
suara takbir.”
Ibnu Umar RA bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan
solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat
mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan
perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah RA.
Adalah patut sekali para muslimin sekarang menghidupkan kembali sunnah yang
telah dilupakan pada hari ini, sehinggakan orang-orang yang baik pun telah
melupakannya, tidak seperti orang-orang soleh
yang terdahulu.
4. Puasa Pada Hari Arafah. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada
hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini telah sabit daripada Rasulullah SAW.
Baginda telah bersabda mengenai
kelebihannya, maksudnya;
”Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan
setahun yang akan datang.” HR Muslim.
PERINGATAN: Ini hanyalah disunatkan untuk orang yang tidak mengerjakan haji
sahaja. Tetapi bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan
berpuasa kerana Rasulullah SAW tidak
berpuasa sewaktu Baginda wukuf di Arafah iaitu pada tahun Baginda
mengerjakan haji.
5. Kelebihan Hari Raya Korban (Yaum An-Nahr), 10 Zulhijjah.
Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan
kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelosok dunia.
Sesetengah ulama berpendapat hari ini ialah
hari yang paling afdhal dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.
Kata Ibnu Al-Qayyim: Sebaik-baik hari di sisi Allah ialah hari Nahr, iaitu
hari Haji yang besar (Hajj Al-Akbar), seperti yang tersebut di dalam Sunan Abi
Daud [No.1765], hadis Rasulullah SAW yang
bermaksud: “Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari
Nahr, kemudian hari Qar”. (Hari Qar ialah hari yang para jamaah haji mabit
(bermalam) di Mina iaitu hari ke-11 Zulhijjah).
Setengah ulama lain pula berpendapat hari Arafah lebih afdhal kerana
berpuasa pada hari itu mengampunkan dua tahun kesalahan, tidak ada hari lain
yang Allah merdekakan hamba-Nya lebih ramai
daripada hari Arafah dan pada hari itu juga Allah SWT turun menghampiri
hamba-Nya dan berbangga kepada malaikat dengan hamba-Nya yang berwukuf pada hari
tersebut.
Yang lebih tepatnya ialah pendapat yang pertama (Hari Nahr), kerana hadis
telah jelas menyebutkan kelebihannya dan tidak ada yang menyalahinya.
Samada hari Nahr atau hari Arafah yang lebih utama, hendaklah setiap
muslim, yang bermukim atau yang mengerjakan haji mengambil peluang ini dengan
sepenuhnya untuk mendapatkan kelebihan beribadat
pada keduanya.
Cara-cara menyambut musim kebajikan:
1. Setiap muslim hendaklah menyambut kedatangan musim kebajikan umumnya
dengan bertaubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat
kerana dosalah yang menyekat manusia daripada
kebaikan dan menjauhkannya daripada Tuhannya.
2. Menanam semangat dan azam yang kuat untuk mendapatkan keredhaan Allah
SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, nescaya Kami
tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama
mereka yang berbuat baik.” (Al-Ankabut:
69).
Perhatian kepada mereka yang ingin melakukan Ibadat korban.
Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Apabila masuk 10 terawal bulan Zulhijjah
dan seseorang itu telah berniat untuk menunaikan ibadat korban, maka janganlah
dia membuang (memotong) bulu dan kukunya.”
HR Muslim.
Kata Imam Nawawi rhm: “Para ulama berbeza pendapat tentang hukum hadis ini,
Imam Ahmad dan sebahagian ulama Syafei mengatakan haram perbuatan menghilangkan
bulu tadi, tetapi Imam Syafie dan
ulamanya yang lain mengatakan ia adalah makruh tanzih (iaitu makruh yang
sangat besar dan hampir kepada haram).” Syarah Sahih Muslim.
Maka sebaik-baiknya bagi kita adalah mengelakkan perkara tersebut dan
melakukan persediaan pada awalnya lagi untuk menghadapi larangan yang besar
ini.
Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga agar kita dipilih oleh Allah
untuk termasuk ke dalam golongan mereka yang berlumba-lumba untuk melakukan
kebaikan.