Hukum cabut kening
Bersama Mohd. Farid Ravi Abdullah
Pensyarah
Jabatan Al-Quran dan Sunnah,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
(KUIS)
SOALAN:
Adakah berdosa sekira seorang wanita
membersihkan bulu kening dengan mencabut bulu kening yang bertaburan di atas
kelopak mata?. Dalam perkara ini wanita itu tidak mencabut bulu kening sehingga
cuma tinggal segarisan sahaja atau langsung hilang keningnya.
Ia cuma untuk mencabut bulu kening yang bertaburan
di atas kelopak mata bagi nampak kemas.
Jawapan:
Tidak berdosa sekiranya untuk
memperbetulkan atau mengelokkan dengan membuang atau mencabut bulu yang
bertaburan di atas kelopak mata. Ini akan saya jelaskan pada perbincangan
dalil-dalil yang berkaitan dengan persoalan ini.
Sebelum berbincang lebih jauh elok kalau kita lihat
dulu asas kepada perkara ini. Wanita dalam bahasa arab di sebut dengan perkataan
al-Mar'ah yang bermaksud suatu yang dipandang atau dilihat.
Kecantikan seseorang itu bermula dengan wajahnya.
Sebab itulah kaum wanita amat mengambil berat mengenai kecantikan, terutamanya
kecantikan wajah kerana wajah yang pertama dipandang orang apabila berjumpa.
Oleh itu, ramai di kalangan wanita sanggup membelanjakan wang beribu ringgit
untuk tujuan mencantikkan wajah.
Salah satu bahagian yang menjadi tumpuan
pengubahsuaian bagi kaum hawa ini ialah kening. Sehingga persoalan kening begitu
mendapat perhatian dalam Islam, terutamanya melalui hadis-hadis Rasulullah
SAW.
Tidak dinafikan bahawa ada di kalangan kaum wanita
yang keningnya bermasalah dari segi lebat atau nipisnya atau bulu kening
bersambung antara kening kanan dan kiri.
Setiap manusia mahu dia tampil secara sempurna dan
tidak menyakitkan mata orang yang memandang, apatah lagi menjadi perhatian
sehingga membawa kepada suara-suara sumbang yang memperkatakan bulu keningnya.
Kaum wanita memang cerewet mengenai kecantikan
wajah, dan tidak mahu wajahnya mempunyai cacat cela. Untuk mengatasi sebarang
kekurangan kaum hawa ini akan berusaha untuk memperbaikinya. Sehingga
kadang-kala mengenepikan tuntutan agama demi kepuasan diri sendiri tanpa
mempedulikan apa kata agama dalam persoalan mencukur dan membentuk kening yang
tajam, atau dicukur kening yang asal kemudian diganti dengan kening yang dilukis
dengan pencil celak.
Di dalam kitab kitab-kitab hadis ada empat hadis
yang membawa makna yang sama pada asasnya, namun setiap nas ada perincian yang
membolehkan penghasilan hukum dalam persoalan yang dibincangkan.
Perkara ini membabitkan satu riwayat berkaitan
dengan riwayat Imam Al-Tabari, bahawa isteri Abu Ishaq pergi ke rumah Aisyah
Ummul-Mukminin, isteri Rasulullah SAW. Pada waktu itu rupa parasnya sangat
jelita. Beliau lalu bertanya kepada Aisyah r.a mengenai hukum seorang wanita
yang membuang bulu-bulu yang terdapat di dahinya untuk tujuan menambat hati
suaminya.
Aisyah r.a menjawab: "Hapuskanlah kejelekan yang
ada pada dirimu sedaya yang kamu mampu". Imam Nawawi berpendapat sesungguhnya
jawapan Aisyah kepada wanita itu membawa maksud wanita boleh bersolek untuk
suami, boleh merawat muka untuk menghilangkan kejelekan seperti jerawat, jeragat
dan bintik-bintik.
Jelas di sini adanya keharusan untuk mengelokkan
wajah dengan membersihkan wajah daripada bulu-bulu yang tumbuh di kawasan
kelopak mata atau di kawasan yang tidak sewajarnya.
Ini kerana wanita yang normal pastinya kening
berbulu tetapi sudah tidak normal kalau dahinya atau kelopak matanya yang
berbulu.
Daripada Abdullah bin Masud, daripada Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: Allah melaknat wanita-wanita yang mencabut bulu
kening atau bulu muka (al-Namisah) atau meminta orang lain mencukur atau
mencabut bulu keningnya (al-Mutanammisah), wanita yang mengasah gigi supaya
kelihatan cantik. Perbuatan itu telah mengubah ciptaan Allah. (riwayat
al-Bukhari, Muslim, Abu Daud)
Ibn Hajar pula berpendapat, ia bermaksud wanita
yang mencabut bulu-bulu di muka dengan alat pencabut.
Pendapat ini perlu kepada perincian kerana lafaz
dalam pandangan ini ialah mencabut bulu. Mengikut biologi kejadian manusia
satu-satu kawasan yang ditumbuhi bulu di wajah wanita ialah kening. Jadi lafaz
mencabut bulu di wajah maksudnya kening, ini kerana kening adalah sebahagian
daripada wajah, bukannya wajah sebahagian daripada kening.
Kalau difahami secara zahir pastinya apa-apa sahaja
yang tumbuh di wajah wanita tidak boleh dicabut, termasuklah kalau ada bulu yang
tumbuh di pipi, di dagu, atau tumbuh misai kerana semua ini tumbuh di wajah.
Sehingga keharusan diberikan kepada mereka yang
mempunyai bulu kening yang panjang atau lebat untuk dipendekkan dan dikemaskan.
Perbuatan yang ditegah dan dihukum haram adalah ke atas mereka yang mencukur
habis bulu kening kemudian melukisnya dengan pencil celak. Maka golongan ini
sebenarnya yang dimaksudkan oleh hadis-hadis Rasulullah SAW yang dianggap
sebagai kaum yang mengubah ciptaan Allah SWT.