DALAM sehari pasti kita akan mendengar suara merdu muazzin mengalunkan azan di corong masjid atau surau. Namun ketika itu, masih ada di antara kita asyik membeli-belah.
Ada yang memekakkan telinga kerana sayangkan padang bola. Begitulah fenomena
masa kini yang menggambarkan seruan Ilahi untuk mendirikan solat semakin
‘terhakis’ dibuai kegilaan mengejar duniawi.
Solat adalah mercu tanda iman seseorang. Cuai, alpa dan melengah-lengahkan
pelaksanaannya mencerminkan keperibadian kita. Islam meletakkan solat di tempat
tertinggi dan sebagai tiang agama.
Mendirikan solat bermakna tegap dan
kukuhlah tiang itu, sebaliknya seandainya kita lalai atau langsung
meninggalkannya, bererti roboh dan porak peranda agamanya.
Bayangkan, kita sanggup dan bertenaga melakukan urusan dunia, tetapi
untuk mengambil masa dalam lingkungan lima minit menunaikan solat hati kita
terasa begitu liat.
Jika dalam hati kita ada petanda semacam itu, seharusnya bersegera
mencucinya dengan taubat. Bertekad untuk tidak akan meninggalkan solat meskipun
sedang
dihambat pelbagai urusan duniawi.
Luqman al-Hakim pernah
menasihatkan anaknya supaya menjaga waktu solat dengan sempurna. Ini contoh
seorang ayah yang baik. Apakah kita sebagai seorang bapa pernah menasihatkan
atau menegur kedegilan anak kita dalam aspek solat?
Pesan Luqman: “Wahai
anakku. Menunaikan solat yang telah difardukan ke atasmu itu lebih berharga
daripada setiap apa yang engkau lakukan, kerana hal seperti solat dan tasbih itu
adalah seperti sebuah kapal di tengah lautan. Sekiranya kapal itu terselamat,
maka selamatlah apa yang ada di dalamnya dan sekiranya ia karam, maka karamlah
apa yang ada di dalamnya.”
Lihatlah metafora yang digunakan Luqman dalam
mengetengahkan nasihatnya. Itu dapat dijadikan analisis sebagai perbandingan
yang berkesan dalam pendidikan solat kepada anak.
Kita perlu ingat,
dalam aspek pendidikan kepada anak, seseorang ibu bapa mesti menunjukkan teladan
terlebih dahulu. Jangan hanya pandai membebel memberi nasihat, namun kita
sendiri entah ke mana.
Didiklah anak supaya menjadi teman karib kepada
masjid dan rakan akrab kepada sejadah. Jiwa dan minda mereka akan tumbuh subur
dengan roh Islam yang utuh sekali gus membekalkan mereka dengan ‘senjata’ paling
ampuh menyusuri arus kehidupan yang mencabar.
Rasulullah s.a.w dengan
pesanan bernada tegas mengatakan: “Perbezaan antara hamba Allah yang beriman
dengan yang kafir adalah meninggalkan solat.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan
an-Nasai’)
Seharusnya kita tulis dan gantung kemas di dinding rumah
pesanan Rasulullah itu supaya diri dan seluruh ahli keluarga kita sentiasa
melihat dan insaf.
Malah, dosa meninggalkan solat itu lebih besar
daripada melakukan zina.
Dikisahkan bahawa pada zaman Bani Isrrael, ada
seorang wanita menghadap Nabi Musa lalu memberitahu Baginda: “Wahai Musa, aku
melakukan dosa yang sangat besar dan aku sudah bertaubat kepada Allah. Kerana
itu, doakanlah aku spaya Allah memperkenankan taubatku lalu mengampunkan segala
dosaku itu.”
Mendengarkan aduan wanita itu, lalu Nabi Musa pun bertanya:
“Apakah dosa yang kamu lakukan itu?” Dengan suara penuh insaf wanita itu
menjawab: “Sebenarnya aku terlanjur dan melakukan zina hingga melahirkan anak.
Kemudian, anak itu aku bunuh.” Berubah wajah Nabi Musa mendengar penjelasan
wanita itu lalu berkata: “Pergilah kamu, wahai wanita pelacur. Jangan sampai
kewujudanmu di sini menyebabkan turunnya seksa dari langit hingga semua umat
tertimpa sama.”
Wanita itu pun berlalu meninggalkan Nabi Musa dengan
membawa hati yang amat sedih dengan layanan seperti itu. Namun, tatkala wanita
pergi meninggalkan Nabi Musa, Malaikat Jibril datang menemui Baginda lalu
berkata: “Mengapa engkau menolak dan mengusir seorang wanita yang bertaubat,
wahai Musa? Bukankah engkau boleh menemukan dosa yang lebih berat daripada itu?”
Terpinga-pinga Nabi Musa dengan soalan Malaikat Jibril itu. Kemudiannya Nabi
Musa bertanya ingin penjelasan lanjut: “Ya Jibril, perbuatan apakah yang dosanya
lebih besar daripada yang dilakukan wanita itu?”
Jawab Jibril: “Orang
yang sama sekali meninggalkan solat dengan sengaja.” Di dalam al-Quran terdapat
lebih 100 ayat Allah yang mengajak kita mengerjakan solat.
Begitu juga
dengan pesanan Baginda Rasulullah. Ia menggambarkan betapa tingginya kedudukan
solat malah amat menakutkan sekali sekiranya solat fardu lima waktu itu sering
ditinggalkan.
Ingatlah, seandainya kita meremehkan solat fardu
seolah-olah memberi
ruang untuk kita berada sejajar dengan nasib Qarun dan
Ubai bin Khalaf?
Apakah maksud pernyataan itu?
Kita sedia
maklum, Qarun yang tersohor dengan watak orang kaya, tetapi amat bakhil manakala
si Ubai bin Khalaf pula seorang usahawan kafir.
Jadi, seandainya kita
mengabaikan solat kerana kesibukan urusan dunia, watak kita itu sama dengan apa
yang ada pada Qarun dan Khalaf. Ibnu Umar menceritakan Rasulullah s.a.w ada
memberitahu: “Aku diperintah Allah untuk memerangi manusia
sampai mereka
mahu bersaksi sesungguhnya tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawa sesungguhnya
Nabi Muhammad adalah utusan-Nya, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Apabila
mereka melakukan hal itu, maka darah dan harta mereka terjamin olehku, kecuali
yang berdasarkan hak Islam, maka urusan mereka ada pada Allah.” (Hadis riwayat
Bukhari dan Muslim).
Justeru, marilah kita membina ‘mercu tanda’ iman
dan takwa dengan mendirikan solat dengan sempurna khusyuk supaya perhitungan
pertama kita di akhirat kelak mendapat ganjaran tertinggi di sisi
Allah