Azamin Amin
Wed | Feb 25, 09 | 12:58:34 pm
MYT
Kejadian histeria adalah fenomena yang sering berlaku di
sekolah-sekolah berasrama penuh yang perlu diambil perhatian oleh pelbagai pihak
di samping mengamalkan beberapa kaedah, amalan dan doa tertentu bagi mengatasi
gejala terbabit.
Bagi menghindari kejadian histeria atau rasuk
akibat gangguan makhluk halus berulang di kalangan para pelajar sekolah asrama
mahupun orang awam, salah satu amalan dan petua yang sebaiknya diamalkan ialah
Muawizat.
Muawizat adalah surah-surah yang terdiri daripada
surah al-Ikhlas,al-Falaq dan an-Nas yang dibaca setiap hari baik sebelah pagi
atau pada sebelah malam, selain hadis sahih Rasulullah s.a.w menyebut ayatul
Qursi juga turut dibaca bagi menghindari kejahatan dan gangguan makhluk halus.
Demikian saranan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato'
Dr Haron Din ketika diminta mengulas berhubung kejadian histeria di
sekolah-sekolah yang terpaksa ditutup akibat kejadian Histeria.
Beliau turut menjelaskan beberapa punca yang
menyebabkan terjadinya kerasukan di kalangan para pelajar antaranya ialah
berlaku 'breakdown' pada perasaan atau jiwa seseorang disebabkan tekanan
(tension) belajar yang terlalu tinggi di samping kelemahan seseorang mengalami
emosi ketakutan yang bersangatan sehingga memudahkan gejala makhluk halus
mengganggu hingga terjadinya histeria.
"Ketakburan juga boleh menyebabkan histeria iaitu
berani yang terlampau sehingga mengganggu atau mencabar tempat-tempat yang
dipercayai ada makhluk halus," katanya yang kini berada di Langkawi ketika
dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Selain itu, akibat manusia yang menceroboh kawasan
'mereka' hingga mereka datang 'membalas' pula.
"Dan fenomena ini tidak hanya berlaku di
sekolah-sekolah agama, sekolah biasa atau berasrama penuh sahaja tetapi juga
banyak terjadi di kilang-kilang serta tempat orang berkenduri kendara," kata
pengamal perubatan Islam itu.
'Pindahkan' makhluk halus ke kawasan lain
Ini menjelaskan lagi katanya bahawa dunia ini tidak
didiami oleh manusia sahaja malah turut dihuni oleh makhluk-mahkluk lain juga
yang dikenali dengan pelbagai nama dan oleh yang demikian manusia sewajarnya
tidak sewenang-wenangnya menceroboh kawasan 'mereka' atau lebih baik lagi berdoa
kepada Allah SWT supaya dihindari dari gangguan jin syaitan mahupun makhluk
halus.
"Sebaik-baiknya sebelum buat bangunan atau sekolah
di satu-satu kawasan, perlu berdoa terlebih dahulu supaya dilindungi ataupun
'memindahkan' makhluk tersebut ke kawasan yang lain," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Rasullulah juga
turut berdoa kepada Allah agar dilindungi daripada diganggu oleh makhluk yang
mendiami alam ghaib ini.
Doa tersebut katanya berbunyi begini: "Wahai bumi,
tuhanku dan tuhanmu sama iaitu Allah, aku mohon perlindungan Allah daripada
kejahatanmu dan kejahatan yang keluar darimu, dan kejahatan yang turun atasmu,
kejahatan yang melata atasmu seperti binatang berbisa dan mahkluk halus yang
mendiami tempat ini serta keturunan-keturunan mereka."
Sebelum itu, Mufti Selangor, Dato' Mohd Tamyes Abd
Wahid, yang turut mengulas kejadian terbabit dilaporkan berkata bahawa apabila
seseorang takut kepada syaitan dan makhluk halus seperti jin, ia hanya akan
menyebabkan makhluk itu semakin bongkak.
Jangan tinggal solat
"Kita ambil contoh, kadang-kadang pelajar yang
tinggal di asrama, khususnya pelajar perempuan, sering ditakut-takutkan dengan
kewujudan 'penunggu' di bilik air dan disuruh berhati-hati sehingga akhirnya
mereka percaya," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pelajar di
sekolah berkenaan tidak meninggalkan solat dan menjaga disiplin dan apabila
seseorang meninggalkan solat, amat mudah syaitan mengganggu menyebabkan kejadian
seperti histeria.
Mohd Tamyes yang mempunyai pandangan yang sama
dengan Haron Din berkata, mahkluk halus seperti jin berada di sekeliling
manusia, cuma ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Seperti manusia, katanya, ia memiliki tempat
tinggal dan selalunya menghuni rumah yang ditinggalkan kosong.
"Semua pelajar perlu berhati-hati dan mempunyai
kekuatan diri supaya tidak mudah dirasuk serta tidak mudah takut dengan gangguan
syaitan dan iblis,katanya - azm
(Interbiu dengan Dato' Haron Din berhubung kes
histeria ini dibuat dua tahun lalu, sekadar panduan dan rujukan kepada yang
terlibat dan yang mahu mengambil pengajaran daripadanya-
wallahualam)