TANGGA aluminium setinggi tiga meter yang sebelum itu tersansandar di tempat
letak kereta diusung Bakar menuju ke rumah, jirannya yang sedang terbakar.
Tangga itu kemudiannya ditegakkan pada tiang telefon berhampiran rumah
tersebut.
"Woi Bakar, engkau nak buat apa tu? Bahaya!"
jerit jirannya apabila melihat Bakar memanjat mata tangga
tersebut.
Orang ramai yang berkerumun melihat api yang sedang marak
dirumah jirannya itu juga bertanya,
"apa tujuan Bakar memanjat tangga tersebut?"
Kata mereka, bahaya. Api sedang marak, bila-bila masa sahaja ia akan
menjilat keseluruhan rumah tersebut dan membunuh Bakar.
Bakar tidak
menjawab pertanyaan itu. dari tangga, dia memanjat pula keatas bumbung rumah
itu.
Kemudian, Bakar memandang ke arah api yang sedang menjulang dari
bumbung yang sedang terbakar, beberapa meter darinya.
Bakar meletakkan
kedua-dua belah telapak tangannya ke telinga, dan...
ALLAHUAKBAR...
ALLAHUAKBARRRRR...
ASYHADUALLA... ILLA HAILLALLLAHHH
....
Bakar melaungkan azan sekuat hati. Suaranya tersekat-sekat akibat
asap hitam yang berkepul-kepul menghala ke arahnya.
Air mata Bakar mula meleleh. Pedih.
Penduduk taman perumahan itu
pelik dengan kelakuan Bakar. Orang sibuk menyimbah air, kenapa dia melaungkan
azan?
Seketika kemudian, semua yang menyaksikan bertambah terkejut
apabila angin yang tadinya bertiup kencang, tidak semena-mena beransur hilang.
Serentak itu juga api yang marak membakar sebahagian bumbung rumah teres
tersebut menjadi semakin mengecil seperti disimbah air. Semakin lama, semakin
mengecil dan mengecil.
Bakar cepat-cepat turun dari bumbung tersebut.
Beberapa minit selepas Bakar berada bersama orang ramai yang berpusu-pusu
menyaksikan kebakaran tersebut, sebahagian bumbung rumah tersebut runtuh
menyembah bumi.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu
cepat-cepat memadamkan api tersebut daripada terus merebak. Kebetulan juga juga,
pihak bomba telah tiba ke tempat kejadian. Rumah teres di Taman Desa Raya, Hulu
Langat, Selangor itu berjaya diselamatkan daripada hangus
keseluruhannya.
Siasatan bomba mendapati, kebakaran tersebut berpunca
daripada tindakan anak mangsa yang berusia lima tahun bermain api. Mula-mula
bakar kertas di bawah katil, api kemudian merebak membakar tilam dan seterusnya
bumbung rumah.
Selepas peristiwa itu, penduduk taman tersebut heboh
bercerita tentang kejadian aneh yang berlaku. Paling diperkatakan mereka ialah
tindakan Bakar melaungkan azan ke arah api yang sedang marak. Mereka pelik,
bagaimana laungan itu menyebabkan api tidak semena-mena menjadi semakin
mengecil. Apa istimewanya azan selain diketahui amat ditakuti oleh syaitan dan
jin?
Apabila jiran-jiran menceritakan kejadian pelik itu kepada Syed
Ahmad, penduduk kawasan perumahan tersebut, lelaki tersebut hanya tersenyum.
Syed Ahmad ketika itu baru pulang dari tempat kerjanya di Pulau Pinang, dia
tidak dapat menyaksikan kejadian tersebut.
"Lelaki bernama Bakar itu
adalah sahabat saya. Dia jiran kepada mangsa, tapi sekarang Bakar sudah
berpindah ke Negeri Sembilan. Kejadian itu juga telah berlaku 10 tahun dahulu,"
cerita Syed Ahmad ketika mengimbas kembali kebakaran yang berlaku di rumah
sahabatnya itu.
Ramai yang pelik dengan kejadian itu, namun berbeza
dengan Syed Ahmad, 48, bekas seorang jurutera sebuah syarikat pembinaan. Baginya
semua itu bukanlah perkara aneh. Beliau tahu penjelasannya melalui ilmu sains
yang telah dikajinya sejak menuntut di sebuah universiti di luar
negara.
Terang Syed Ahmad,
"Tindakan Bakar melaungkan azan adalah perkara yang tepat. Tujuannya untuk memisahkan dan menghalau syaitan daripada api. Keadaannya sama seperti bayi yang baru lahir sunat diazankan untuk menjauhkannya daripada gangguan jin atau syaitan. Bila azan, syaitan terus lari,"
cerita Syed Ahmad.
Jadi, bagaimana azan boleh memadamkan api,
melalui penerangan sains?
"Saya akan jelaskan. Tapi awak kena faham
betul-betul sebab banyak konsep dan istilah sains dalam penerangan saya
nanti,"
kata Syed Ahmad kepada Mastika, lalu menunjukkan carta gelombang cahaya
di komputernya.
Carta itu menunjukkan bermacam macam skala haba dan
gelombang cahaya, daripada sejuk kepada panas, radio wave hingga gamma ray, dan
sebagainya.
"Saya nak terangkan sekarang, kalau tak faham, beritahu,
ya,"
kata Syed Ahmad.
Kami mengangguk.
"Ok. mula-mula kita lihat dari sudut
Islam,
semua makhluk yang ada di alam ini Allah jadikan dari nur-Nya yang Maha Suci,
iaitu cahaya kekuasaan-Nya.
Istilah nur dalam bahasa kemanusiaan disebut sebagai cahaya atau ray.
Syaitan pula dijadikan daripada api, iaitu cahaya yang sangat
panas.
"Dalam ilmu sains pula,
cahaya adalah salah satu pecahan 'tenaga'.
Tenaga itu pula kita boleh pecahkan kepada tenaga haba, tenaga cahaya, tenaga kinetik dan tenaga bunyi.
Apabila dirangkumkan dalam ilmu sains, kita panggil ia electro-magnetic
spectrum.
"Tenaga ini pula kita boleh pecah-pecahkannya mengikut
frekuensi. Frekuensi rendah berada disebelah kiri iaitu radio wave, seterusnya
microwave, kepada infra red. Ditengahyang berfrekuensi tinggi, seperti yang saya
tunjuk dalam carta ini,"
jelas Syed Ahmad.
"Setakat ini faham?" soalnya.
"Faham.
Tapi apa kaitannya dengan azan?
"Nanti dulu. Kita sebagai manusia berada
ditengah-tengah yang diwakili oleh visible light. Perkataan 'ray' menunjukkan
tenaga disebelah kanan visible light didominasikan oleh cahaya atau nur. Kita
juga tahu malaikat dijadikan daripada nur atau cahaya. Oleh itu, dinamakan
gelombang sebelah kanan sebagai zon 'angelic' atau zon
kemalaikatan.
"Sebelah kiri dari visible light terdapat nifra-red yang
mendominasi cahaya seperti waktu petang yang panas dan terik. Mega merah ini
juga menandakan masuknya waktu Maghrib. Orang tua-tua selalu berpesan agar tidak
bermain pada waktu itu kerana syaitan, jin dan hantu sedang
berkeliaran.
"Ke arah kiri selanjutnya, kita bertemu dengan julat
micrwave untuk memasak. Kekiri lagi, zon transisi dengan radio wave dimana
telefon bimbit kita menggunakan frekuensi ini. oleh itu bila bercakap terlalu
lama, telinga kita akan terasa panas.
"Jadi, kita boleh katakan
bentuk tenaga yang mendominasi julat visible light adalah tenaga dalam bentuk
haba. Haba itu panas, panas kita kaitkan dengan api, dan syaitan dijadikan
daripada lidah api.
"Jadi kita boleh katakan, julat sebelah kiri ialah
'zone syaithanic' atau zon kesyaitanan.
"Kita permudahkan dengan menyatakan
bahawa manusia berada pada julat visible light, syaitan pada julat kiri visible
light dan malaikat pula, frekuensi tinggi iaitu gamma ray disebelah
kanan.
Faham?"
tanya Syed Ahmad.
Nampak macam faham, tapi pening sikit. Tak
mengapa, teruskan Syed Ahmad, tapi cepat kaitkan dengan azan supaya Mastika
tidak pitam!
"Ok. ok.,"
Syed Ahmad ketawa, Sambungnya,
"daripada kenyataan tadi dapatlah dibuat perkaitan berhubung dengan
makhluk manusia, syaitan dan malaikat. Semua itu adalah berdasarkan perspektif
'electromagnetic spectrum'
"Kita tahu yang di sebelah kiri dan kanan itu
sifatnya ghaib. Hanya manusia yang nyata dari segi zahir, zarah atom serta
molikulnya. Manakala syaitan dan malaikat tiada atomnya.
Berbalik kepada
tindakan sahabat saya melaungkan azan, saya ulangi, gelombang kesyaitanan berada
di sebelah kiri sedangkan kemalaikatan di sebelah kanan. Apabila azan, gelombang
kiri akan tertolak dengan gelombang kanan.
"Sama juga apabila kita mahu
lihat benda putih, mesti lakarkan hitam supaya yang putih menjadi
terserlah.
"Kebakaran adalah gelombang kiri kerana menghasilkan haba,
maka syaitan akan mudah menumpang padanya yang menambahkan kemarakan api. Azan
pula mengikut syarak bererti zikir yang dilaungkan menggunakan kalimah-kalimah
suci. Maka, ia adalah gelombang kanan. Maknanya, laungan azan akan menolak
gelombang yang berada pada api dan api hanya tinggal api. Syaitan sudah lari
meninggalkan api itu.
"Sebab itulah, apabila azan dilaungkan, api yang
marak membakar rumah tersebut terus mengecil,"
cerita Syed Ahmad kepada kami.
Malah kata Syed Ahmad,
"hadis juga ada menyebut perkara ini, yang maksudnya:
"Dari Abi
Hurairah r.a,
sesungguhnya RaSulullah s.a.w. bersabda:
"Apabila dilaungkan azan untuk sembahyang, syaitan akan menjauhkan
dirinyaa sambil terkentut-kentut (kerana lari sekuat-kuatnya) sehinggalah
tidak terdengar lagi azan. selesai azan, syaitan akan kembali lagi
sehinggalah Iqamah untuk sembahyang diserukan, dia akan menjauhkan diri.
Sehinggalah selesai iqamah itu barulah dia kembali lagi sehingga dia melintasi
antara seseorang itu dengan dirinya (mengwas-waskan). Dia akan berkata: ingatlah
begini-begini terhadap sesuatu yang tidak sewajarnya diingati, sehinggalah
lelaki itu tidak mengetahui berapa rakaat dia bersembahyang."
"Sebenarnya
ada banyak lagi hikmah azan yang kita sendiri tidak ketahui jika tidak
mengkajinya. Sebab itulah jangan sesekali kita mempermainkan azan!"
jelas Syed Ahmad kepada kami.
Oleh: Khairul Anwar
Yusop
Sumber: Mastika Okt. 2008
sekian wassalam.
yang benar
Kakros.