'My Name Is Khan' Berjaya Mengangkat Islam Di Mata Barat ??

10 views
Skip to first unread message

sejarahmaya

unread,
Feb 21, 2010, 7:05:22 PM2/21/10
to Salam Sejarah, seja...@gmail.com
PENANTIAN untuk menonton filem My Name Is Khan (MNIK) adalah sesuatu
yang sukar difahami jika anda bukan peminat 'King Khan' atau Datuk
Shah Rukh Khan.

Menonton dan menghayati setiap dialog yang diucapkan oleh Shah Rukh
dalam filem MNIK, yang mengangkat martabat orang Islam di seluruh
dunia ini, ibarat satu 'tanggung jawab' .

Atas beberapa sebab, filem ini tidak boleh dilihat dari perspektif
filem Bollywood kerana penghasilan dan cara garapan filem ini jauh
berbeza dari semua filem Hindustan yang pernah ditonton.

Tidak ada lagu merdu yang berjela-jela atau persalinan pakaian hingga
durasi lima minit, tidak ada kesedihan yang klise seperti yang selalu
ada dalam filem Bollywood dan tiada tarian. Anda mungkin kecewa tapi
bagi peminat Shah Rukh, apa saja yang dihidangkan oleh bintang ternama
ini adalah satu cenderahati.

Bagi mereka yang berharap menyaksikan sebuah lagi filem Hindustan
pasti akan sedikit kecewa kerana pengarah Karan Johar berjaya lari
dari expectation peminat filem Hindi.

Tapi durasi filem MNIK sama seperti semua filem Hindustan yang pernah
anda tonton iaitu hampir 3 jam. Filem ini hidup dari awal hingga akhir
kerana babak-babak realistik yang cuba dipaparkan dari kaca mata
seorang pengarah bukan beragama Islam, Karan Johar.

Karan sejujurnya cuba bercerita tentang dilema seorang Islam bernama
Rizvan Khan, yang mempunyai penyakit Aspergers sindrom (sejenis
penyakit Autistik) yang dicurigai oleh bangsa Amerika. Rizvan dicop
sebagai pengganas hanya kerana dia orang Islam dan peristiwa ini
berlaku selepas kejadian hitam 9/11.

Disebabkan penyakitnya, Rizvan mempunyai masalah sosial dan tidak
mampu berinteraksi secara normal.

Ibu Rizvan selalu menekankan bahawa tidak ada orang Islam baik dan
orang Islam jahat, tidak ada orang Kristian baik dan orang Kristian
jahat dan tidak ada orang Hindu baik dan orang Hindu jahat.

Kebaikan dan kejahatan ada pada manusia, tetapi itu tidak ada
kaitannya dengan agama yang dianuti. Didikan ibu terpahat erat dalam
benak Khan hingga Rizvan merasa didikan ibunya benar tetapi realiti
yang dihadapinya sangat jauh berbeza.

Setelah ibunya meninggal, Rizvan terpaksa tinggal dengan adik
lelakinya (lakonan Shergill) di Amerika. Di sinilah dia berjumpa dan
jatuh hati dengan pedandan rambut bernama Mandira (Kajol), seorang ibu
tunggal yang baik hati, bebas laku dan tinggal bersama anaknya, Sam,
6.

Cerita cinta Rizvan-Mandira agak luar biasa kerana latar belakang
kedua mereka yang berlainan agama dan gaya hidup.Perkahwinan mereka
yang mulanya mendapat tentangan adiknya, berakhir dengan baik. Namun
kisah cinta mereka yang baru bermula 'terputus' apabila peristiwa
September 11 di New York City menjadi penyebab beberapa insiden.

Sam dibelasah teruk hingga mati di sekolahnya kerana namanya ditukar
ke 'Khan' sempena nama ayah tirinya, Rizvan Khan. Disebabkan insiden
tragis ini, Mandira menolak Rizvan dan menghalaunya.

Segalanya berubah, kedua-duanya terpisah dan cerita cinta mereka
bergilir mengharu birukan emosi penonton.

Hanya satu saja syarat diberikan untuk Rizvan kembali ke pangkuan
Mandira. Dia harus berjumpa dengan Presiden Amerika dan
memberitahunya, My Name Is Khan...And I Am Not A Terrorist.

Bagi Mandira, selagi namanya Khan, dia akan tetap dianggap sebagai
pengganas. Dan di sinilah babak pertama filem ini bermula, di mana
Rizvan 'Shah Rukh' Khan mengenggam tiga biji batu hitam sambil
mulutnya berzikir 'Qul Huwallahu Ahad' sehingga menimbulkan curiga
mata-mata yang memandang.....

Perlakuan 'rasial' yang dialami Rizvan ada kalanya menyentuh perasaan,
ada ketika membuat kita terfikir bagaimana buruk sangka dapat membuat
manusia berubah dari baik ke sifat haiwan.

My name is Khan mendapat bantahan parti Hindu, Shiv Sena, di tanah
airnya sendiri hanya kerana satu kenyataan Shah Rukh yang membela
pemain kriket Pakistan agar diserapkan ke India Premier League (IPL).

Kemarahan Shiv Sena tercetus kerana hubungan India-Pakistan yang
hingga sekarang masih dilanda perang dingin. Akibat kenyataan Shah
Rukh, Shiv Sena berusaha melarang filem My Name is Khan ditayang di
India.

Kini, filem ini semakin dingin sambutannya di Mumbai, berbeza sekali
dengan respon di Amerika dan Eropah.

Sejauh mana, bangsa Amerika menerima filem ini masih terlalu awal
untuk dibuat rumusan.

Sembilan tahun setelah tragedi peristiwa 9/11, paranoia atau sikap
perkauman terhadap umat Islam yang ditindas akhirnya berjaya
digambarkan secara menarik sekali melalui sebuah layar filem
Bollwyood.

MNIK berjaya menyingkap sikap rasis Amerika terhadap Islam. Lebih
tepat, buruk sangka keterlaluan terhadap apa saja yang berbau Islam.

Diskriminasi barat terhadap Islam seperti yang ditunjukkan di dalam
MNIK adalah satu fakta yang pernah terjadi terhadap Shah Rukh sendiri.

Filem itu berkisar tentang hubungan Rizvan dan Mandira, antara seorang
individu bernama Rizvan dan pengaruhnya di sebuah negara barat hingga
menimbulkan kebangkitan semangat solidariti sesama orang Islam lantas
menutup terus mulut bangsa barat tentang Islam.

Terdapat tiga isu penting yang dikupas dalam filem ini: Islam, Cinta
Seorang Autistik dan Pengorbanan.

MNIK berbicara tentang Islam dan bagaiman pandangan dunia terhadap
Islam.

Agama bukanlah kriteria untuk menentukan orang itu baik atau jahat -
itu adalah satu kenyataan yang diulang-ulang tanpa disedari sepanjang
filem ini.

Selesai menonton filem ini, ada satu perkara yang anda akan ingat
sampai bila-bila. Mungkin Shakespeare pernah berkata...What's In A
Name? (Apa Ada Pada Nama?). Bagi mereka yang beragama Islam,
jawapannya terdapat dalam filem ini. Akhir kata, 'Nama saya BUKAN
Khan, dan saya bukan pengganas!'

Sumber: mStar Online, 21/2/2010

Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages