Misha Omar (lahir Samihah @ Aisah Omar; 6 Januari 1982 di Machang, Kelantan) adalah seorang penyanyi pop wanita Malaysia berbangsa Melayu yang sehingga kini telah memenangi 8 piala Anugerah Juara Lagu, 5 Anugerah Industri Muzik, 3 Anugerah Era & masing-masing sebuah trofi Festival Filem Malaysia dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Beliau berasal dari Machang, Kelantan dan mula menceburi bidang seni suara sejak berusia 19 tahun setelah menyertai pertandingan Bintang RTM 2001[1]. Populariti beliau memuncak setelah meraih kejayaan menerusi lagu Bunga-bunga Cinta, dan terus bertahan popular hingga setanding dengan populariti penyanyi-penyanyi wanita lain seperti Datuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Liza Hanim, Ning Baizura dan Jaclyn Victor sekaligus menjadi antara penyanyi wanita paling berpengaruh dan terlaris di era 2000-an[2].
Beliau juga antara segelintir artis Malaysia yang berjaya menempa nama di peringkat Asia terutama setelah memenangi anugerah emas di Anugerah Muzik Asia di Shanghai pada 2003[3]. Misha telah dicalonkan di MTV Asia Awards [4] sebanyak dua kali[5] serta terpilih untuk membuat persembahan di MTV World Stage pada 2009[6]. Beliau juga adalah artis Malaysia pertama yang mempunyai akaun VEVO di laman YouTube [7] serta lagu-lagunya juga antara lagu Malaysia yang terawal terjual di laman iTunes[8].
Misha ialah anak keempat dari tujuh beradik kepada pasangan beretnik Melayu iaitu Omar Ismail, seorang penjawat awam dan Zainan Mohd Nor, seorang surirumah.[9][perlu rujukan] Ibu Misha juga mempunyai beberapa anak daripada perkahwinan terdahulu [10]. Misha menamatkan persekolahannya di Sekolah Menengah Kubang Kerian 1, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1999 dan melanjutkan pelajaran dalam bidang pengurusan di Universiti Tun Abdul Razak pada tahun 2000 [11]. Misha minat menyanyi sejak kecil dan sering menyanyi karaoke bersama keluarganya di Kampung Bayam Guchil, Kota Bharu dimana lagu pop pertama yang menjadi kegemarannya adalah lagu Menaruh Harapan (Zaiton Sameon) [12]. Meningkat usia remaja, Misha mula meminati penyanyi Fauziah Latiff [13] dan Liza Hanim kerana kelunakan suara mereka mengalunkan irama sentimental sehinggakan Misha seringkali menyanyi lagu-lagu mereka di dalam bilik mandi [14]. Misha juga mendedahkan ketika meniti usia remaja, beliau meminati muzik Pop yang dibawakan oleh Amy Mastura, selain mengagumi bakat lakonan artis serba boleh itu [15].
Bakat Misha mula dikesan apabila beliau menyertai Bintang RTM 2001 setelah didesak oleh ibu saudaranya. Pertandingan ini adalah yang pertama kali dan satu-satunya pertandingan nyanyian amatur yang disertainya sebelum bergelar artis rakaman. Menerusi pertandingan nyanyian yang disiarkan setiap minggu di saluran TV1 itu, Misha berjaya menempatkan diri sebagai salah seorang finalis pada peringkat akhir pertandingan tersebut. Ketika mara ke peringkat akhir, Misha mendendangkan lagu nyanyian asal Salamiah Hassan berjudul "Menghitung Hari" dan "Antara Yang Manis" (Anita Sarawak)[16]. Pertandingan peringkat akhir itu turut disertai penyanyi-penyanyi seperti Sarah Raisuddin, Farawahida, dan Amir Mahiyidin (vokalis kumpulan Sofazr). Juara pertandingan tersebut; Azharina Azhar dan naib juara disandang oleh Asmidar. Kesemua mereka meraih perhatian dunia seni suara dalam tempoh sepuluh tahun selepas pertandingan. Meskipun tidak bergelar juara, namun bakat Misha contohnya disedari oleh komposer terkenal Adnan Abu Hassan. Adnan menawarkan kontrak rakaman di bawah payung BMG Music (M) Sdn Bhd pada awal 2002.
Suara Misha pertama kali dirakamankan untuk album kompilasi khas "Pasti Hits Adnan vs Azlan" yang dipasarkan pada Julai 2002 menerusi lagu hits "Bunga-bunga Cinta"[17][18]. Mendengar vokalnya yang lunak tapi mantap [19], memberi harapan bahawa Misha mampu menjadi penyanyi terkenal, sekali gus bakal mengulangi kejayaan anak didik Adnan seperti Fauziah Latiff, Siti, Dayang dan Liza[20]. Di awal pembabitan, Misha sering mendapat dorongan daripada penyanyi-penyanyi senior seperti Sharifah Aini [21], Sheila Majid dan Liza Hanim[22] serta Ramlah Ram yang pernah meminjamkan jurusoleknya untuk Misha ketika bertanding di Bintang RTM [23]. Kebaikan yang ditunjukkan oleh penyanyi-penyanyi senior terhadap beliau mendorongnya meneruskan legasi dan kebaikan itu kepada penyanyi generasi baharu [24].
Ketika lagu "Bunga-bunga Cinta" meledak di corong-corong radio, Adnan dan adiknya Azlan Abu Hassan bekerjasama menyiapkan album sulung Misha yang dinanti-nantikan banyak pihak. Adnan turut mengundang komposer terkenal Indonesia, Tohpati untuk sama-sama merakamkan suara Misha. Ketika dalam proses rakaman Misha menunjukkan kebolehannya sebagai penulis lirik melalui lagu ciptaan Adnan bertajuk "Kau Yang Amat Ku Sayang" dan "Lilitan Asmara". Lirik itu penuh bermakna kerana dihasilkan secara spontan dan dalam waktu yang singkat ketika berada dalam studio rakaman. Belum berkesempatan mencipta nama, namun bakat Misha dalam arena seni suara mula menjadi perhatian komposer dan penyanyi jazz luar negara, Jim Brickman, yang sanggup memberikan lagu untuk dirakamkan semula oleh Misha selepas dia mendengar demo tape yang dihantar pihak BMG Music tidak lama sebelum itu.
Album sulung beliau berjudul "Misha" juga berada di pasaran pada 28 Oktober 2002 [25] dan ternyata mendapat sambutan hangat[26]. Single kedua berjudul "Lilitan Asmara" juga mendaki carta radio dengan pantas diikuti single ketiga pada Januari 2003 berjudul "Halaman Cinta". Album Misha terjual sebanyak 10,000 unit pada 2 bulan pertama dipasaran.Pada 30 Oktober 2002, Misha terpilih untuk menjadi artis pembukaan konsert kumpulan pop terkenal United Kingdom, Westlife. Konsert sempena acara perlawanan bola sepak antara Westlife dengan artis rock tanah air untuk Westlife Showcase & Soccer Extravaganza Live in Concert 2002. Misha menyampaikan lagu "Bunga-bunga Cinta" dan Destiny di hadapan lebih 30,000 penonton namun mendapat sorakan boo daripada penonton yang rata-rata tidak mesra lagu-lagu Melayu[27]. Misha ternyata malu namun terus menggagahkan diri untuk menghabiskan nyanyian. Biarpun disorak sebegitu rupa, dek kerana nyanyian live beliau yang baik, Misha mula menjadi perhatian media-media urban contohnya New Straits Times menamakan Misha sebagai "The Next Big Thing"[28].
Pada 12 Januari 2003, Misha telah membuat persembahan di ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk acara karpet merah Anugerah Juara Lagu ke-17 (2002)[29]. Pada 25 Januari pula, Misha diberi peluang untuk membuat persembahan penutup bersama penyanyi seangkatan lain seperti Siti Sarah dan Elyana dalam majlis Anugerah Media Hiburan[30]. Misha juga menjengah pasaran Singapura apabila diberi peluang membuat persembahan di Anugerah Pesta Perdana, anjuran saluran Suria.Pada bulan Mac 2003 juga, impian sekian lama Misha tertunai apabila dipanggil menjadi artis jemputan dalam rancangan "Hiburan Minggu Ini bersama Liza Hanim"[31].
Ketika ini nama Misha sering dibandingkan dengan Siti Sarah sementelah Sarah ternyata lebih popular daripada beliau[32][33]. Persaingan sihat diantara Misha dan Sarah diteruskan dalam penganugerahan Anugerah Planet Muzik apabila kedua-duanya dicalonkan untuk kategori Artis Baru Wanita Terbaik. Pun begitu, tuah menyebelahi Sarah. Walau bagaimanapun, kemunculan Misha di atas pentas anugerah berprestij itu mengalunkan lagu "Bunga-bunga Cinta" ternyata menarik perhatian penggiat seni Indonesia terutamanya komposer Anang Hermansyah dan isterinya ketika itu, Krisdayanti [34]. Misha sekali lagi tewas kepada Sarah apabila dicalonkan untuk kategori Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke 10 [35]. Selain itu, Misha juga tercalon untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita) dan juga Lagu Terbaik untuk lagu "Bunga-bunga Cinta" ciptaan Adnan[36].
Pada Julai 2003, Misha muncul dengan album repacked "Misha" dengan mempertaruhkan single keempat "Terpana" dan kemudian popular dengan single kelima "Semoga Abadi" ciptaan Imaniar Noorsaid. Dalam pada itu bakat lakonan Misha pertama kali dipersembahkan menerusi sitkom "Pi Mai Pi Mai Tang Tu" apabila beliau muncul sebagai artis undangan dalam episod "Dilema" pada 8 Ogos 2003. Biarpun hanya untuk suka-suka tetapi Misha memperoleh banyak tunjuk ajar daripada pemain sitkom tersebut yang begitu berpengalaman apatah lagi ia dirakam secara langsung dari studio. Misha mula menyinar apabila memenangi anugerah Artis Baru Pilihan di Anugerah Era 2003 menewaskan saingan seperti Sarah, Ezlynn dan Waheeda. Pada bulan Oktober 2003, Misha dipertandingkan di Festival Muzik Asia Shanghai yang mengiktiraf nyanyian artis baru seluruh Asia[37]. Tuah berpihak kepada beliau apabila meraih anugerah Piala Emas dan juga Persembahan Vokal Terbaik menerusi dua buah lagu iaitu "Bunga-bunga Cinta" dan "Lilitan Asmara". Misha berjaya menewaskan nama-nama popular seperti The Honeys (China) dan Tim Hwang (Korea Selatan) [38].
Berturut daripada kejayaan itu, Misha disenaraikan ke Anugerah Juara Lagu ke 18 juga menerusi lagu "Bunga-bunga Cinta". Pelbagai pihak telah meramalkan penguasaan Misha dan akhirnya beliau berjaya membawa pulang trofi juara keseluruhan AJL beserta anugerah Vokal Terbaik menewaskan penyanyi yang jauh lebih senior seperti Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Mus dari kumpulan May, Ning Baizura dan Yassin Sulaiman. Kejayaan besar di Shanghai dan Anugerah Juara lagu berjaya menaikkan jualan album itu kepada 35,000 Unit dan mendapat Anugerah Cakera Platinum. Ia adalah suatu pencapaian yang hebat memandangkan kehadiran cetak rompak yang berleluasa menjadikan kebanyakkan artis hanya sekadar terjual 15,000 unit satu album tetapi Misha berjaya mencatat jualan album melebihi 60,000 unit. Album pertamanya itu berjaya melonjak ke tangga pertama Carta RIM pada minggu pertama Januari 2004. Misha pernah bergandingan bersama kugiran punk Amerika Syarikat, iaitu Good Charlotte sebagai penyampai anugerah ketika acara MTV Asia Awards 2004 dimana Misha turut tercalon sebagai Artis Pilihan Malaysia.
b37509886e