|
SAY WHO yang dianggotai oleh Bocil (kiri) dan Vicha mahu merasai kemeriahan menyambut Aidilfitri di Malaysia. |
CUBA lari daripada kebiasaan barangkali, kumpulan pelawak terkenal Indonesia, Say Who mengakui ingin merasai kemeriahan menyambut hari raya Aidilfitri di Malay- sia.
Ujar Bocil Bancin, biarpun sambutan Aidilfitri dikatakan hampir sama di Indonesia, anggota kumpulan Say Who yang genit itu teruja jika diberikan peluang beraya di Kuala Lumpur.
"Kalau di Indonesia, sambutan raya meriah selama seminggu dan kalau ditanya rutin penduduk di sana beraya, sebenarnya hampir sama saja dengan Malaysia.
"Selepas pulang menunaikan solat sunat Aidilfitri, kami akan berkunjung ke rumah saudara-mara dan menikmati hidangan raya seperti lemang, rendang ayam dan ketupat," ujarnya yang ditemui di majlis berbuka puasa dan sambutan tahun kedua Indopek di Halaman Sekeping Seni, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Bocil atau nama sebenarnya Muhammad Abdi Zein, 28, dek kerana kekerapan kumpulannya berkunjung ke Kuala Lumpur selepas menyertai Maharaja Lawak Mega 2011, dia kini terasa lebih dekat dengan penduduk di Malaysia.
Hafal jalan
Hal itu disokong oleh Vicha yang hadir berdua bersama Bocil pada majlis itu. Kata Vicha, dia kini sudah boleh memandu dengan lancar dan meredah jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
"Saya jenis orang yang cepat belajar dan seka- rang jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur dan Puchong sudah mampu saya hafal.
"Mahu sangat saya pindah ke Malaysia dan mem- bawa keluarga saya ke sini. Sebelum ini, saya sering diberitahu mengenai perkara negatif dan perbala- han antara dua negara.
"Tapi apabila saya sendiri sampai ke sini (Malaysia), gambaran yang diberikan sama sekali tidak tepat. Mula-mula rasa takut tapi sekali sudah datang, rasa mahu pindah ke sini terus," kata Vicha.
Ibu kepada tiga orang anak itu juga mengakui ingin mencari calon suami di Malaysia. Vicha atau nama sebenarnya Refika Novianti Faturohman, 23, pernah mendirikan rumah tangga lima tahun lalu sebelum bercerai tahun lalu.
"Sekarang apabila sering meninggalkan anak- anak saya, Aurael, Listiya dan Michele bersama ibu saya di Bandung, hari rasa rindu sangat.
"Semoga suatu hari nanti apabila sudah betul- betul sukses, saya mahu membawa anak-anak saya menetap di sini (Kuala Lumpur)," katanya yang sering disalah anggap berasal dari Sabah.
Ditanya akan populariti kumpulan Say Who di Malaysia selepas Maharaja Lawak Mega dua tahun lalu, kata Vicha, dia tidak mencari populariti, sebaliknya selesa bekerja seperti sekarang.
"Saya bekerja sebagai artis sejak dari kecil lagi dan saya bukan mencari populariti. Saya senang hati untuk menghiburkan orang ramai sampai bekerja pun tidak rasa tapi saya tidak nafikan populariti itu bagus sebenarnya," ujar Vicha.
Silap mata
Selain bakat melawak dan menyanyi, Vicha memberitahu yang dia juga sering mempamerkan aksi silap mata apabila diundang mengacarakan majlis di Indo- nesia.
"Bapa saya seorang guru silap mata dan saya berguru daripadanya selama tiga tahun. Kalau di Indonesia, hampir setiap acara saya akan melakukan persembahan magis.
"Namun begitu, saya masih belum diberikan peluang untuk beraksi di Malaysia buat masa sekarang. Mungkin kerana belum ramai yang mengetahui bakat saya ini," tambahnya.
Bagi yang tidak mengenali Say Who, kumpulan itu asalnya menggunakan nama Saehu ketika menyertai Maharaja Lawak Mega 2011, namun menukarkan nama Say Who ketika Maharaja Lawak Mega 2012.
Say Who terbabit dengan rancangan Borak Ngomong Edisi Lebaran yang akan ditayangkan pada hari raya pertama pukul 11 pagi di saluran Astro Pelangi 142. - KHAIRUL AMRI HASSAN