Tak sia-sia pilih Malique
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
2010/10/28
LIYANA selesa bergandingan dengan Ariz menyanyikan lagu rap.
Kegembiraan berganda kepada Ariz apabila turut digandingkan dengan
Liyana Jasmay
DIDORONG minat mendalam terhadap rap, Ariz atau nama sebenarnya Ikhwan
Hariz, 25, sanggup mencari Malique walaupun mengetahui betapa sukarnya
untuk mendapatkan penyanyi dan komposer itu.
Menerusi maklumat daripada rakan rapat penyanyi itu dan kemudahan
internet, Ariz berusaha menjejaki Malique semata-mata untuk berguru
dengannya. Bagi bakat baru berusia 25 tahun itu, hanya Malique ‘guru’
yang dirasakan sesuai membimbingnya menjadi ‘rappers’ sebenar kerana
pengalaman luas penyanyi itu dalam bidang muzik.
Penantian anak muda dari Kuala Lumpur tetapi dibesarkan di Pulau
Pinang selama berbulan-bulan menunggu jawapan balas dari Malique
terjawab apabila empat bulan kemudian, dia menerima jawapan komposer
itu menerusi emel.
Tidak terkata betapa gembiranya hati jejaka yang pernah menyertai
program realiti Gangstarz ini apabila menerima jawapan balas dari
seseorang yang pernah menjadi idolanya. Asalnya dia hanya mahu berguru
dengan Malique, menerusi Qarma Rap School, tetapi usaha sama itu
dipanjangkan kepada penerbitan lagu.
Kata Ariz, impian untuk mencari pengalaman bersama Malique sudah
tersimpan dalam hatinya selepas menyertai Gangstarz pada 2007 kerana
penyanyi itu dianggap sebagai idolanya, kerana kebetulan dirinya juga
cenderung ke arah rap.
“Saya perlukan guru yang bagus untuk berjaya. Calon utama pilihan saya
terus kepada Malique. Saya bergerak sendiri selepas rakan-rakan dalam
kumpulan Collabora8 menarik diri seorang demi seorang. Ternyata
menjejaki Malique keputusan berbaloi yang saya lakukan,” katanya.
Menubuhkan Collabora8 pada 2003, kumpulan itu berpecah tahun lalu
selepas memiliki sebuah album. Kata Ariz, tiga anggota kumpulan itu
menarik diri mungkin mereka tidak nampak hala tuju serta semangat
terhadap industri muzik yang semakin pudar.
“Memang pernah terdetik dalam hati saya selama mana Collbora8 mampu
bertahan? Saya tahu lambat laun akan berpecah juga. Tapi saya tetap
berpuas hati kerana sekurang-kurangnya salah satu hala tuju saya
terlaksana iaitu memiliki album bersama dengan Collabora8. Walaupun
ketika menghasilkan album itu saya tidak ada pengalaman dan tidak tahu
apa-apa serta prosesnya, tetapi kami berjaya juga menyiapkan album,”
katanya.
Kembali bercerita mengenai single terbarunya Yang Terbaik Dari Ladang,
selain menampilkan vokalnya bersama Liyana Jasmay, lagu berkenaan
turut menyelitkan suara Malique.
Ditanya apakah keistimewaan Liyana sehingga tertarik untuk bekerja
dengan gadis lincah itu, Ariz menjawab, imej rock yang dibawakan
pelakon muda itu menyebabkan dia tertarik untuk membuat percubaan.
Liyana pula pada mulanya mengakui teragak-agak untuk menerima pelawaan
Ariz kerana sebelum ini dia banyak menyanyikan lagu berunsur pop.
Namun keyakinan yang ditiupkan sahabatnya, Zain Ruffedge memberi
semangat kepadanya untuk mencuba.
“Pada mulanya takut juga. Maklumlah sebelum ini tak pernah menyanyi
rap. Saya juga perlukan orang-orang yang selesa ketika bernyanyi.
Tetapi dengan semangat yang diberikan Zain, saya cuba juga. Bila kita
menyanyi dengan hati, tidak ada masalah untuk kita memberikan yang
terbaik.
“Kalau kita benar-benar sukakan muzik, tak kisah apa jenis muzik
sekalipun, dengan mudah akan menerimanya. Saya tak sangka hanya dengan
sekali cuba, saya berjaya membawakan lagu itu,” katanya yang tidak
mempunyai sebarang masalah untuk membuat persembahan secara langsung
dengan Ariz untuk mendendangkan lagu itu.
Mungkin kerana berasa selesa dengan Ariz, menyebabkan proses
merakamkan lagu dapat dibuat dalam waktu singkat. Bagaimanapun, Liyana
menjelaskan, dia tidak mengetahui Malique turut menyumbangkan suara
kerana proses rakaman dilakukan secara berasingan.
Dia yang pernah memiliki album sebelum ini berkata, percubaan ini
mungkin boleh dijadikan titik tolak untuk perancangan album terbarunya
pada masa depan.
Namun begitu, dek kerana kesibukan terhadap bidang lakonan, gadis
genit itu terpaksa menangguhkan seketika hasrat untuk menghasilkan
album terbaru.
Original interview at:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Taksia-siapilihMalique/Article