Interview: Malique @ Berita Harian, 10/10/2010

105 views
Skip to first unread message

Qarma Musiq

unread,
Jan 13, 2011, 11:05:05 PM1/13/11
to Qarma Musiq
Malique tak suka ditanya hal peribadi
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

LAMA tenggelam, Malique muncul kembali, tetapi hanya lagunya saja
kedengaran. Sedangkan insan yang bernama Malique menghilangkan diri.
Kelibatnya sukar dicari, mungkin mengelak atau tidak selesa berdepan
dengan wartawan yang sering bertanyakan soalan peribadi. Sejak
bergerak secara solo dan berkahwin, Malique tidak lagi ditemui, ada
khabar angin mengatakan bekas anggota Too Phat itu sudah berhijrah ke
Indonesia. Ikuti luahan hati Malique bersama B*POP.

B*POP: Malique dikatakan sukar dihubungi media tempatan, boleh Malique
jelaskan? Adakah Malique kurang selesa dengan wartawan tempatan
(Malaysia)?

Saya tak mengklasifikasikan jenis orang, wartawan atau manusia lain,
jika saya ditanya soalan dengan ikhlas, hormat dan bukan modal untuk
orang lain berbual negatif, yang sama saya pulangkan. Masalahnya,
banyak soalan tidak membina yang ditanya. Dan jawapan yang diharapkan,
tak selesa saya mahu beri. Contohnya, apabila saya sedang sibuk
mempromosikan single, saya tidak selesa apabila soalan pertama yang
keluar daripada mulut wartawan adalah soalan peribadi yang tak
berkaitan langsung dengan muzik. Jadi untuk mengelak konflik sama
sekali, saya diam 1,000 malam. Itu paling efektif.

B*POP: Apabila Malique tidak mahu ditemui atau ditemubual wartawan,
macam-macam cerita dan persepsi negatif timbul mengenai diri Malique.
Apabila cerita timbul, bagaimana Malique hendak jelaskan?

Saya diam. Orang putih kata, `lies sprint, truth prevails’. Saya tahu
saya orang baik. Dan mereka tahu pada kemudian hari, seseorang pemuzik
dan orang seni dinilai dengan lagunya bukan dagu! Mereka cakap saya
salah. Saya cakap mereka salah. Siapa yang salah? Siapa yang mahu
beralah? Biar saya...

B*POP: Bagaimana Malique kenal Najwa? Kenapa Malique nak bekerjasama
dengannya untuk lagu Senyum?

Saya mengenali Najwa sekitar 2000 di Internet Relay Chat (MIRC), dia
menggunakan nick n4jw4. Masa itu, saya tiada tahu yang Najwa boleh
menyanyi. Secara jujur, saya malas nak layan sebab pada masa itu, dia
masih budak kecil lagi. Pada 2007, semasa dalam pertapaan di studio
untuk menyiapkan album 'OK', jurutera muzik tersilap buka audio file
dan di situlah buat pertama kalinya saya terdengar suara Najwa
menyanyi. Suara macam tu, satu dalam sekurang-kurangnya 27 juta. Kalau
tak diberi perhatian, rugi. Jadi saya terus menghubunginya untuk
menyanyikan korus Kau Yang Punya yang pada masa itu kosong. Lagu Kau
Yang Punya tidak mendapat sambutan yang diharapkan di corong radio
mungkin kerana remake, terlalu urban dan apa-apa saja. Jadi saya cakap
dengan Najwa, jom buat lagi satu. Tengok kali ini mereka sangkal kita
lagi ke tak?

B*POP: Apa sebenarnya cerita di sebalik lagu Senyum ini?

Ramai anggap lirik lagu saya terlalu dalam dan susah difahami. Jadi
saya pilih satu topik yang boleh difahami supaya orang yang tak faham
lagu saya sebelum ini boleh tersenyum. Tiada cerita tersembunyi
seperti dalam Mantera Beradu, cerita seadanya.

B*POP: Sebelum ini, Malique sudah bekerjasama dengan M Nasir.
Bagaimana Malique boleh memujuk M Nasir atau menerima pujukan M Nasir
untuk menyanyikan lagu Mantera Beradu?

Lagu Mantera Beradu adalah lagu ciptaan saya dan muziknya digubah oleh
produser lama, D'Navigator. Sama seperti proses lagu lain, bila
chorusnya memerlukan penyanyi yang sesuai, saya hubungi M Nasir.
Beliau bersetuju mencipta dan menyanyi chorusnya selepas bertanya pada
saya hanya satu soalan, `lagu ni sebenarnya pasal apa?’ Saya cakap,
saya pun tak faham. Dia tersenyum dan seminggu lepas itu, korus dah
siap. Tiada proses pemujukan berlaku. Kami bersikap `gentleman’
mengenai hak dan pembahagian peratus lagu. Mungkin kerana darjah
bahasanya, orang yakin M Nasir yang menciptanya dan tak percaya saya
yang menulis lagu itu.

B*POP: Bagi Malique, apa istimewanya lagu Mantera Beradu? Walaupun
bergerak secara solo, Malique tetap berjaya dengan imej tersendiri,
bagaimana Malique melakukan semua ini?

Lagu Mantera Beradu istimewa kerana isinya yang tiada jawapan dan
bersifat masyarakat yang suka berdiskusi benda kosong. Apabila kedua-
duanya bertemu, jadilah satu lagu hebat yang tak akan henti
dibincangkan dan bertahan lama. Saya lakukan semuanya dengan fokus
pada yang `linear’. Maknanya, hanya pada satu lagu, tiada benda lain.
Itu saja yang penting pada saya. Itulah asas kepada segala gembar-
gembur yang lainnya. Joe Flizzow adalah `favorite local English
rapper’, manakala saya adalah `favorite local rapper Melayu’.

B*POP: Lagu Cerita Kedai Kopi diterima peminat muzik. Liriknya
ringkas. Bagaimana Malique boleh dapat idea hasilkan lagu Cerita Kedai
Kopi? Adakah itu satu kritikan atau sindiran Malique terhadap
segelintir rakan artis kita?

Teman lama saya, Salam yang pulang bercuti belajar di Amsterdam datang
melawat saya di rumah. Sambil minum kopi `o’ dan menonton program TV
tempatan, kami berdua ketawa membincangkan hal industri tempatan
selama dua jam. Lagu Cerita Kedai Kopi adalah kesimpulan perbualan
kami pada hari itu.

B*POP: Difahamkan Malique giat mengadakan promosi album di Indonesia?

Label saya di Indonesia ialah Qarma Musiq Sdn Bhd. Album Best of
Malique Too Phat akan diedarkan di Indonesia tidak lama lagi.

Kini, Qarma Musiq Sdn Bhd sedang sibuk menyerang stesen radio dengan
bom damai dari Malaysia iaitu album ini. Ia menggabungkan ketiga-tiga
album solo, OK, K.O The Mixtape dan TKO. Lagu single yang berlainan
dimainkan di tempat yang berbeza di Indonesia kerana cita rasa
pendengar berbeza mengikut geografi.

Halwa pendengar Indonesia agak berbeza dari Malaysia. Contohnya, di
Jawa mereka memainkan lagu Kau Yang Punya dan 2010 Masih Hip Hop. Di
Sumatera pula lebih cenderung pada lagu Senyum dan Cerita Kedai Kopi.

B*POP: Pandangan Malique terhadap pembabitan isteri, Melissa Maureen
dalam lakonan? Sentiasa beri sokongan?

Saya sentiasa positif dengan kerjaya pilihannya. Saya sokong seratus
peratus...
Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages