Di Sihir Rakan Niaga
Dulu saya kerja makan gaji di salah sebuah organisasi terkenal di Malaysia. Oleh kerana minat, perniagaan yang dilakukan sebelah kaki akhirnya diceburi sepenuhnya pada tahun 2000.
Setelah berhenti kerja, saya fokus pada perniagaan memandangkan ianya satu-satunya sumber pendapatan saya sebagai ketua keluarga. Berbagai-bagai cara dibuat untuk melariskan jualan. Susah juga nak meningkatkan pasaran produk berjenama sendiri ini. Saingan perniagaan juga tinggi. Namun, saya yakin akan pertolongan Allah. Rezeki hanya ditentukan olehNya.
Memang usaha saya menampakkan hasil. Jenama produk mula mendapat tempat dihati pelanggan. Tetapi ada pula cabaran dalam kehidupan. Rakan niaga pula buat hal, tak puas hati apabila tengok saya mula maju. Tambahan pula saya dapat menghidu pembohongan beliau terhadap saya selama ini. Kita memang jujur dalam persahabatan, tapi rupanya orang lain pula mengambil kesempatan.
Oleh kerana saya sudah bosan dengan pelbagai alasan yang diberi, maka saya mengambil keputusan untuk pecah kongsi. Tiada lagi istilah rakan niaga. Masing-masing buat hal sendiri. Sememangnya Allah telah menyediakan jalan keluar kepada masalah saya. Tapi ujian tetap berterusan. Perniagaan saya semakin hari semakin menurun. Saya sentiasa memohon petunjuk dan jalan keluar kepada Allah.
Ujian demi ujian saya terima. Namun saya lalui dengan rela dan redha, kerana bagi saya ianya adalah ketentuan Allah. Akhirnya, segala persoalan saya terjawab pada suatu hari. Sambil minum-minum di sebuah kedai mamak di Port Dickson, orang ini telah memberitahu saya bahawa pada badan saya ada sejenis jin yang dihantar untuk mengganggu urusan perniagaan saya. Orang akan hilang keyakinan apabila berurusan dengan saya. Selagi benda ini ada pada saya, susah saya nak berjaya dalam bisnes.
Saya sungguh terkejut. Lebih-lebih lagi memikirkan kat mana la saya nak berubat. Saya pula jenis yang tak suka bomoh. Belum pun persoalan tadi pergi lebih jauh, orang itu telah menawarkan dirinya untuk merawat saya. Dan saya diminta pergi ke rumahnya waktu malam, memandangkan beliau juga seorang ahli perniagaan, yang habis berniaga selepas jam 10 malam.
Saya sebenarnya tidak diterangkan bagaimana proses rawatan akan dilakukan, saya berserah saja. Pada malam pertama saya menjalani rawatan, saya diminta mengambil wudhu kemudian baring. Bacaan zikir dibacakan pada bahagian kepala saya. Proses mengambil masa sekitar 30 minit. Kemudian saya dimandikan dengan sebaldi air yang dibacakan zikir tadi. Kemudian kami bercerita sehinggalah jam 2 pagi.
Pagi esoknya saya bangun dari katil hendak menuju ke bilik mandi, secara tiba-tiba saya telah melanggar pintu. Saya ingatkan saya masih mamai, tetapi semasa mandi baru saya terfikir yang jin pada badan saya tadi telah tiada dan imbangan badan saya distabilkan semula. Proses rawatan berterusan selama 3 hari.
Alhamdulillah saya telah bebas dari jin, yang telah dihantar oleh BEKAS rakan kongsi saya. Beliau merupakan orang melayu yang mengaku beragama Islam.
Orang yang membantu saya tadi, kini saya anggap sebagai sifoo saya. Dan cerita ini adalah kunci kepada cerita-cerita misteri selanjutnya. Anda bakal mengentahui perbagai cerita misteri yang saya alami sendiri, fisrt hand, bukan cerita tahyul, bukan cerita dongeng orang tua-tua. Harap sabar menanti kerana masa untuk saya menulis adalah terhad… Wassalam