enci...@gmail.com
unread,Jan 30, 2009, 6:49:56 AM1/30/09Sign in to reply to author
Sign in to forward
You do not have permission to delete messages in this group
Either email addresses are anonymous for this group or you need the view member email addresses permission to view the original message
to pondoksiber
MEMBANTU MERTUA
Semasa aku baru berkahwin dengan isteriku, kedua mertuaku telah
mengajak kami ke rumah barunya di Taman Seliong Utama terutamanya bila
musim cuti.
Ibu mertuaku sering menceritakan kepadaku akan fenomena-fenomena
ganjil yang berlaku di rumahnya. Isteriku pula telah mengesyorkan
ibubapanya bertanyakanku.
"Apalah awak ni? Nanti Mami/Ayah ingat saya ni dukun!" kataku sambil
berbaring di bilik tamu.
Isteriku terdiam seperti tidak bersetuju, sambil menjuihkan bibirnya:
"Abis tu, menuntut ilmu banyak-banyak buat per kalau tak leh manfaat
orang"
"Ilmu tu bukan milik saya. Makbul atau tak makbul pun bukan saya atau
awak atau sesiapapun yang tentukan" bahasku.
"Alah awak ni, mami/ayah berhajat dengan awak, tak leh ke awak
sekurang-kurangnya cuba supaya mereka tidak kecil hati" jawab isteriku
kembali
Aku terdiam dan kagum dengan jawapan yang diberikan oleh isteriku. "Ye
tak ye juga"...kata hatiku.
"Boleh ke tengok-tengokkan sikit rumah ni?" rayu mertuaku semasa di
ruang tamu.
"Saya cubalah mami, tapi serasi tak serasi tak tau lagi - semuanya
dengan keizinan Allah jua" kataku.
Aku juga terperanjat bila ibu mertuaku menunjukkan bekas kudis dan
nanah di kedua-dua tapak kakinya. Puas dia berubat merata-rata samada
moden atau tradisional. Malah seorang doktor pakar yang ditemu hanya
mengagak kudis itu mungkin disabitkan dengan penyakit kencing manis
atau jangkitan. Namun, apabila ujian dijalankan, ternyata doktor itu
sendiri 'angkat tangan' dan terus meminta ibu mertuaku berikhtiar
dengan cara 'kampung'.
Aku pun masuk ke dapor mengambil satu jag air untuk ku cuba doakan. Di
samping itu aku juga mengambil sepiring beras dicampur dengan serbuk
kunyit, bawang putih, halia dan lada hitam.
Aku mengambil wuduk dan meminta tempoh selama sejam tanpa diganggu
dalam bilik tamu. Aku juga berpesan kepada isteriku dan bapa mertuaku,
sekiranya berlaku apa-apa sepanjang aku berada di dalam bilik tamu,
supaya dibacakan ayat kursi sebanyak mungkin di samping bertawakkal
kepadaNya.
Aku pun bersolat 2 rakaat hajat. Di sujud akhir aku bermunajat dalam
hati dan menyerahkan sebulat-bulatnya hatiku kepada Allah S.W.T. jua
kerana aku sedar, siapalah aku ini. Aku juga berdoa agar diampunkan
dosa kedua ibubapa mertuaku sekiranya penyakit yang menimpa ibu
mertuaku mungkin suatu kafarrah yang tidak diketahui atau disangka.
Setelah salam, aku pun terus membaca ayat kursi 313 kali dan ku
isyaratkan tiup kepada kedua-dua jag air dan campuran beras yang ku
ambil tadi.
Tiba-tiba tak sampai pun 100 kali ku baca, aku terbau satu benda yang
hangit yang dibawa oleh angin dari luar tingkap.
"Issh...bau apa ni....ada benda terbakarlah" jelas ku dengar suara
bapa mertuaku bertanya isteriku. Sayup-sayup juga terdengar seperti
ibu mertuaku mengerang kesakitan diselangseli dengan suara isteriku
melarang bapa mertuaku mengetuk pintu bilikku.
"Bukankah abang dah pesan supaya ayah jangan ganggu dia dan hanya
membaca ayat kursi"
Namun aku tidak menghiraukan apa yang berlaku di luar bilik tamu dan
meneruskan jua pembacaan ayat kursi sehingga tamat. Aku sudah biasa
dengan 'gangguan' seperti itu seolah-olah mahukan aku berhenti atau
sekurang-kurangnya lalai konsentrasi pembacaan ayat kursi.
Bila ku keluar dari bilik, aku lihat kaki ibu mertuaku seperti baru
habis keluar nanah dan darah dari kudisnya dengan banyak, nasib baik,
isteriku; yang juga ahli persatuan bulan sabit merah, tidak jemu
membersihkannya dan dibalut bandage. Bapa mertuaku hanya terus membaca
ayat kursi.
Aku pun menghulurkan segelas air kepada ibu mertuaku untuk diminum.
Sebaik sahaja meneguk, dia tiba-tiba rasa terlalu mengantuk dan aku
meminta bapa mertuaku supaya mengambilkan bantal untuk ibu mertuaku
berehat sebentar.
"Ayah, jom kita baca Yasin sama-sama" pelawaku untuk mengalihkan
perhatian bapa mertuaku supaya tidak terlalu risau.
Kami pun sama-sama memulakan bacaan Yasin. Semasa di pertengahan
bacaan, bapa mertuaku seperti tersekat-sekat suara dan bacaannya. Dia
terhenti sejenak dan menghela nafas panjang beberapa kali - tiba-tiba
dia berdengkur. Aku meneruskan bacaanku sehingga tamat yasin.
Kemudian ku tiupkan pada air yang dibacakan ayat kursi tadi dan
menyapukan air berkenaan ke ubun-ubun bapa mertuaku.
Tiba-tiba dia terkejut dari 'tidurnya' tetapi dia masih erat memegang
Yasin. Ibu mertuaku telah pun bangun dan isteriku telah mengajarkannya
dua kalimah syahadah berserta selawat, takbir, tahlil dan zikir. Ibu
mertuaku memandang pada suaminya yang kelihatan seperti kebingungan.
Bapa mertuaku menceritakan pengalaman tempoh sejenak tidurnya. Jelas
dia dapat melihat satu bayangan hitam cuba memasuki rumahnya beberapa
kali tetapi gagal kerana dipagar cahaya. Tidak lama kemudian bapa
mertuaku seperti berada di atas bumbung rumah dan melihat seolah-olah
ibu mertuaku sedang diterbangkan bersama-sama dengan makhluk
berkenaan.
Bapa mertuaku jadi kaku seperti diikat apabila cuba mengejar makhluk
berkenaan. Apa yang diingati olehnya hanyalah zikir semata-mata.
Secara tiba-tiba dia melihat bayanganku muncul dan menghentam kepala
makhluk itu dengan sejenis cemeti sehingga meletup. Terdengar jelas
jeritan nyaring dari makhluk berkenaan. Bapa mertuaku tiba-tiba terasa
hujan dingin dan nyaman menitis di atas kepalanya dan sedikit demi
sedikit dia berjaya melepaskan diri dari 'ikatan'.
Tanpa bercakap apa-apa, aku keluar luar rumah. Apabila bapa mertuaku
cuba mengikut, aku berpaling kepadanya dan memberikan isyarat geleng
kepala. Aku membaca surah Dhuha beberapa kali dan memandang di antara
dua kening - tiba-tiba aku seperti ternampak Bakaruddin tiba-tiba
muncul tersenyum padaku dan menunjukkan pada sebuah kawasan pasu-pasu
bunga serta terus menghilangkan diri.
Aku membuka mata, berpaling kiri dan kanan seolah-olah terkeliru
sebentar - terasa juga peluh sejuk mengalir dan berdebar-debar.
"Hebat juga orang tua ni" Fikirku sebentar apabila terpandang
Bakaruddin secara kerohanian memakai jubah putih dan berserban berdiri
berdekatan kawasan pasu-pasu bunga berkenaan.
Aku terperanjat melihat sebuah bungkusan kecil dibalut kain batik di
atas salah satu pasu bunga berkenaan. Aku membaca
'BismillaahirRahmaaniRrahiim 21X' dan meludah ke atas bungkusan
berkenaan. Dengan berhati-hati aku mengambil bungkusan itu, terus ke
keretaku dan memandu sehingga ke kawasan sebuah longkang besar tidak
jauh dari kawasan rumah mertuaku.
Aku pun membuang bungkusan berkenaan diiringi beberapa bacaan dipetik
dari Surah Anfal dan membaca doa Nabi Allah Sulaiman. Ku lihat
bungkusan berkenaan seperti menjadi abu semasa dibawa air longkang.
Walau berkali-kali didesak oleh ibu dan bapa mertuaku mengenai perkara
berkenaan, aku sekadar mengelak kerana tidak mahu berlaku apa-apa yang
tidak diingini walaupun aku ternampak jelas rupa lembaga berkenaan
yang mirip dengan seorang bekas rakan kongsi perniagaan bapa mertuaku
yang dikenali sebagai X
Tidak berapa lama kemudian, aku mendengar khabar pejabat X telah
musnah dijilat api. X terselamat tetapi menjadi seperti orang tidak
siuman. Khabarnya duit sebanyak RM200,000.00 yang disimpan dalam
sebuah almari turut terbakar. Aku tidak pasti samada tragedi yang
menimpa X ada hubungkait dengan fenomena yang dialami oleh mertuaku.
Sehingga kini, aku menyembunyikan perkara ini dari mertuaku dan
isteriku kerana aku tahu hubungan X sangat rapat dengan keluarga
mertuaku. Alhamdulillah, ibu mertuaku semakin pulih.