KISAH DARI BLOG: Senah Dirasuk

15 views
Skip to first unread message

enci...@gmail.com

unread,
Jan 30, 2009, 6:43:49 AM1/30/09
to pondoksiber
SENAH DIRASUK

Aku berkunjung ke rumah Ustaz Ajib untuk mendapatkan khidmat urutan
tradisional darinya. Ustaz Ajib boleh ku katakan ‘pakar’ dalam bidang
urutan. Ianya diwarisi dari ibunya Mek yang sangat mahir dalam urutan
perempuan lepas bersalin.

Ustaz Mud juga sering singgah di rumah Ajib yang tidak jauh dari rumah
Bakaruddin. Ajib telah membina sebuah pondok kecil khas berhampiran
rumahnya bagi kemudahan rakan-rakan atau mereka yang memerlukan
bantuan perubatan malah juga untuk majlis-majlis kuliah agama dan
dakwah Ustaz Mud sendiri.

“Hai, asyik sakit urat aje syeikh? Kuat nampaknya ‘projek malam’ ni!
Maklum jelah..orang ‘muda-muda’. Saya ni dah hampir ‘condemn’” Sapa
Ajib sambil tergelak disambut dengan deraian ketawa dariku

“Mana ada…tuan lebih hebat dalam bab ni dari saya, jadi saya datanglah
nak menuntut dengan tuan” Kami ketawa lagi.

Aku menukar kain pelikat, membuka baju dan meniarap. Ajib mengambil
sebotol minyak urut yang dibuatnya sendiri dan menuangkan sedikit ke
dalam piring, kemudiannya dia meletakkan beberapa biji lada hitam,
kulit kayu manis dan bunga cengkih. Dia merapatkan piring berisi
minyak mendekati bibirnya sambil terkumat-kamit membaca sesuatu dan
memejamkan mata.

Tiba-tiba aku terasa bulu romaku meremang diikuti dengan rasa
mengantuk sedikit. Aku tenggelamkan diriku dalam zikir qalbi dan
akhirnya melelapkan mata kerana pada awalnya ku sangka mungkin aku
letih berjogging pagi tadi.

Antara separuh sedar, aku seolah-olah ternampak Ajib masih lagi
memegang piring berkenaan. Cuma kali ini, Ajib memakai jubah hijau
dengan berserban. Aku lihat seolah-olah terdapat tujuh huruf bersinar
jelas terbit antara dua kening Ajib serta menuju ke arah minyak
berkenaan dan larut satu persatu.

“Syeikh…janganlah intai-intai, saya tahulah Syeikh tu terer” Ajib
bersuara sehingga aku terbangun dari lelapanku.

Bila aku membuka mata, ku dapati Ajib sedang mengurut badanku. Dia
tersenyum :

“Aaa, dah bangun? Orang dah nak abis dah, tidur nyenyak sampai 1 jam”

Aku terperanjat dengan kata-katanya kerana ku rasa aku baharu sahaja 5
minit melelapkan mata – tetapi rupa-rupanya hampir satu jam. Ku lihat
jam tanganku untuk mengesahkan waktu dan benarlah aku telah tertidur
dalam tempoh yang agak lama.

“Jib, anta ada cakap tak dengan ana berkenaan “jangan intai-intai”

“Hissh…mengarut kau ni, bila lak aku cakap camtu, jangan-jangan kau
mengigau tak?” Ajib berkerut dahinya.

“Astaghfirullahalazhiim..” keluhku perlahan.

“Tak pelah Syeikh, tak usah difikirkan sangat…setiap perkara yang
berlaku ada dalam PengetahuanNya” Kata Ajib sambil menyudahkan
urutannya di bahagian tengkuk dan kepalaku.

Aku bangun perlahan-lahan. Terasa badan begitu segar sekali ditambah
pula dengan udara nyaman pagi itu dan kicauan burung keluar mencari
makan. Aku terfikir - Patutlah Ustaz Mud memang menggemari cara urutan
Ajib. Begitu juga dengan Bakaruddin malah Ustaz Idrus, Pembantu Ustaz
Mud juga menyukai kaedah urutan Ajib.

Kak Yu, isteri Ajib tiba-tiba memanggil Ajib dari dalam rumah untuk
mengambil minuman.

“Eeeh..tak payah susah-susah Syeikh, saya dah minum” kataku.

“Mana boleh? Mana anta belajar ilmu menolak rezeki ni? Lagipun, anta
adalah tetamu ana” Sapa Ajib sambil bangun dari tempatnya meninggalkan
ku termangu-mangu tidak dapat menjawab bahasan ringkasnya.

Bila Ajib menghidangkan makanan dan minuman, tiba-tiba aku terasa
terbuka selera apabila melihat ‘Nasi Berlauk Kelantan’ kegemaranku.
Apalagi urutan Ajib telah membuang 'angin' di tubuh serta terasa urat-
urat kendur yang mungkin perjalanan darah yang lebih lancar.

“Haaa, tuu la…orang dah cakap, jangan menolak rezeki…hehehehe, jom
kita makan, rezeki, rezeki…” Kata Ajib sambil membaca doa makan.

Baru sahaja selesai makan sewaktu zohor telah mula menjengah selepas
bunyi azan, terdengar salam dari arah luar pondok :

“Assalaamu’alaikum..Ustaz Ajib”

Ajib menjengah dan ternampak Amit, jiran sekampungnya. Wajah Amit
seperti cemas.

“Saya ada nak cakap sesuatu dengan Ustaz Ajib, boleh ke kita bincang
secara persendirian”

“Eeeh..kalau pasal nak berdukun, ini bomoh besar!!” Ajib tiba-tiba
menunjuk spontan ke arahku. Ajib memang tabiatnya begitu - orangnya
terlalu merendah diri walaupun dadanya berilmu melebihiku. Tetapi Aku
tergamam dan kagum dengan Ajib yang seolah-olah telah dapat
mempastikan niat sebenar kedatangan Amit.

Amit menaiki tangga pondok menuju ke arahku dan cuba untuk mencium
tanganku semasa bersalaman denganku. Aku menarik pantas tanganku.

“Tok Moh..tolonglah saya” Rayu Amit

“Macamana saya nak tolong? Ustaz Ajib ni suka bergurau, dialah tok
dukun sebenarnya kerana dia tahu niat Amit datang ke sini” saya
menerangkan kepada Amit dengan harapan dia tidak mendesakku untuk
membantunya.

Apalah ada sangat pada diriku kerana semuanya adalah milikNya.

“Innasolaati wanusuki wamahyaayaa wamamaati lilLaahiRobbil
‘aalaamiin’” Aku seolah-olah terdengar kata-kata Ustaz Mud terngiang-
ngiang di telingaku dalam salah satu kuliah beliau.

“Ok Syeikh, kita bantu Amit sama-sama nak?” Akhirnya Ajib mengalah
sambil menepuk-nepuk bahu Amit.

“Alhamdulillaaah” Amit meraup mukanya seolah-olah baru berdoa. Nampak
wajahnya kembali riang apabila mendapat ‘harapan’ dari Ajib.

“Tapi kita solat zohor jemaah ya?” Sambung Ajib lagi.

Kami pun berwuduk bergilir-gilir pada paip air di hadapan pondok Ajib.
Aku adalah orang yang terakhir berwuduk ketika itu. Semasa aku naik ke
atas pondok, Ajib tiba-tiba qamat cepat-cepat untuk memberi laluan
kepadaku menjadi imam.

“Janganlah buat macam ni, anta lebih berilmu - patutnya anta lah ke
depan!” rayuku.

Memang aku tahu sangat perangai Ajib ni kerana dia dah banyak kali
‘terkena jadi imam’ olehku. Ajib sememangnya 'menanti peluang
keemasan' untuk 'mengenaku' pula. Itulah cara kami seguru - nampaknya
seperti janggal sedikit tetapi ianya menimbulkan kemesraan.

Tapi kali ni, dia benar-benar ‘mendesak’ku sambil menolakku ke depan.
Akhirnya akupun mengalah dan terus mengimamkan solat Zohor.

Tiba di rumah Amit, Makcik Nab mengajak kami naik ke rumah. Sebaik
sahaja, Ajib dan aku melangkah masuk tiba-tiba, kami dikejutkan dengan
jeritan Senah, anak perempuan Amit.

“Pergi!! Pergi!! Kau jangan nak kacau aku!! Pergiiiiiii!!!! Aku
benci!! Aku benci!!”

Amit segera memimpin tanganku masuk ke bilik Senah. Ajib hanya
mengikutku dari belakang.

Ku lihat Senah sedang menggelupur sambil dipegang kuat oleh adik-adik
lelakinya.

“Lepaskan dia…” kataku.

Senah tiba-tiba bangun menuju ke arahku tetapi aku spontan
membayangkan kalimah Lam Alif berwarna merah dan membayangkan
'kandungannya' mengikat seluruh badan Senah. Senah tiba-tiba terhenti
dan tidak dapat bergerak. Mulutnya ternganga dan matanya merah menyala
melihatku tetapi apabila ku balas tenungannya dengan zikir qalbi
bergema di hatiku, dia segera menoleh ke tempat lain. Badannya
berpeluh-peluh. Dia seperti begitu marah padaku. Dia cuba bergerak
tetapi tidak berjaya. Dia menggertap bibirnya hingga luka sedikit.
Makcik Nab mengambil kain untuk cuba mengelap darah di bibir Senah
tetapi segera dihalang oleh Amit.

“Haa bergerak la..tadi nampak pandai sangat!” sergah Ajib.

Senah berdehem seperti lembu jantan mengamuk. Air liur dan hingus
terkeluar banyak dari bibir dan hidungnya.

“Duduk!!” sergah Ajib lagi.

Senah seperti terpukau dan ketakutan dengan segera duduk seperti
diarahkan Ajib.

Aku memohon izin Amit untuk meletakkan tangan di atas kepala. Ajib
masih berdiri di hujung kaki Senah.

Semasa aku membaca Doa Nabi Allah Sulaiman a.s. dengan mengulang-
ulang :

“Aqsam tu’alaikum Yaaa Ibliis wasSyaithoon wajunuu daHuma man
‘alaihim”

Senah tiba-tiba menjerit dengan nyaring.

“Itu masih perlahan…jeritlah kuat lagi!!” Ajib menyapa Senah.

Senah makin kuat menjerit dan akhirnya terbatuk-batuk. Dia tidur
kembali.

Akupun meminta Amit mengait mayang pinang yang kebetulan hampir dengan
rumahnya. Apabila mayang pinang itu berada di tanganku, aku pun mula
membaca Yasin dengan mengulangi ayat-ayat tertentu sambil membuat
isyarat menarik dari kepala Senah sehingga hujung kakinya.

Senah tiba-tiba membuka matanya dan melihat tepat pada arah mayang
pinang sehinggalah aku keluar dari biliknya. Mayang pinang itu ku
buangkan dengan makrifat pembuangan ‘gangguan’ itu sejauh mungkin.

Dari luar, ku denagr Senah tiba-tiba tersedar dan menangis teresak-
esak. Makcik Nab cuba menenangkan anaknya menyuruh anaknya mengucap
dua kalimah syahadah dan berselawat.

Aku mengambil botol air mineral yang telah sediakan oleh Makcik Nab
untuk ku doakan. Aku membaca ayatussyifaa dan memesan kepada Amit
supaya air itu diminum oleh Senah dan juga dicampur dengan air
mandiannya.

Semasa Amit menghulurkan segelas air 'tangkal', Senah sempat
memandangku. Dia terkebil-kebil sambil mengerutkan dahi dan memandang
ke arah lantai cuba mengingati sesuatu.

“Kita ni pernah bertemu ke? Kat mana ya? Rasa macam mimpi pulak...tadi
saya rasa dibawa oleh dua lembaga bertubuh besar ke rumah buruk dalam
hutan dan mengikat tubuh dan mulut saya.

Tiba-tiba saya nampak cahaya yang sangat terang di luar pondok
berkenaan, tuan dan Ustaz Ajib menjadi gergasi dan menumbuk kedua-dua
lembaga itu dan akhirnya saya terasa seperti ditunjukkan jalan pulang
ke rumah” Senah menerangkan dengan jelas dalam isakan.

“Oooii hebat syeikh ni. Tak pelah Senah, itu hanya mimpi jer” Sapa
Ajib sambil tersenyum.

Aku terdiam sambil bersyukur di dalam hati.

Beberapa hari kemudian, aku terdengar berita seorang pemuda tidak jauh
dari kampung itu telah ditangkap oleh ahli rukun tetangga kerana
sedang meratib di tepi kubur lama. Pemuda itu seperti tidak siuman dan
sentiasa menyebut nama Senah.

“Senah, kenapa kau buat begini kepadaku?”

Rupa-rupanya kebetulan pemuda itu, Suman pernah melamar Senah tetapi
ditolak oleh Amit dan Makcik Nab atas alasan Senah masih belajar dan
akan mengambil peperiksaan SRP.

Nasib baik, Ajib dapat menenangkan Amit yang cuba memukul Suman.

“Yang sudah tu sudahlah, janganlah Amit nak jadi syaitan pula, yang
penting Amit bersyukur, Senah dah sembuh, biar kami bawa dia ke balai
polis” tegur Ajib.

Amit tertunduk. Air matanya mengalir.
Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages