Gangguan Saka Saat Sakratul Maut
Mak Aji (nama samaran)... begitulah gelaran sebagai tanda penghormatan kepada seorang nenek tua yang cukup disegani di sebuah kampung. Memang insan ini susah jika mahu mencari musuh beliau, seorang guru mengajar quran, seorang jiran yang baik. Seorang hajjah yang berumur melebihi 80 tahun pada ketika ajal menjemput.
Oleh kerana kami berjiran, beliau amat baik dengan saya sehinggakan saya anggap beliau adalah pengganti nenek saya yang telah arwah, yang juga kawan baik Mak Aji. Oleh kerana telah berkeluarga dan suami isteri mencari nafkah di Selangor, maka saya jarang pulang ke kampong. Tambahan pula terhalang dengan aktiviti menghantar anak-anak ke sekolah. Apabila menelefon mak saya, selalu ada update tentang perkembangan Mak Aji.
Akhirnya Mak Aji sakit tenat, uzur oleh kerana umur yang sudah tua. Mengikut cerita mak saya, berbagai-bagai ikhtiar dilakukan oleh keluarga Mak Aji termasuk memanggil bomoh, tetapi belum berhasil. Dan mengikut bomoh, ada 2 ekor jin yang menunggu Mak Aji yang pada ketika itu sudah beberapa lama tidak sedarkan diri. Saya sendiri susah hati mendengar berita ini tapi apakan daya terpaksa tunggu cuti persekolahan baru boleh cuti.
Apabila cuti sekolah, saya terus balik ke kampung, seperti biasa membawa isteri dan anak-anak menziarahi nenek mereka. Saya segera menziarahi Mak Aji untuk melihat perkembangannya. Setelah berbincang dengan sifoo, beliau meminta saya membantu mengatasi gangguan jin tersebut. Ia merupakan jin saka keturunan Mak Aji, yang tanpa disedari akan mengganggu di saat sakratul maut. Mak Aji masih tidak sedarkan diri walaupun saya cuba berkomunikasi dengan beliau.
Selepas waktu asar saya memulakan zikir rawatan. Memandangkan ini adalah kes berat, saya perlukan masa berzikir yang lama, sekitar 1 jam lebih berbanding 15 minit untuk kes-kes biasa. Air bacaan zikir tadi disapukan ke seluruh badan Mak Aji. Hari ke-2 saya juga mulakan selepas solat asar. Sama seperti rawatan semalam. Ok, esok ada satu hari lagi, bisik hati kecil saya, sebab memang cara saya merawat memerlukan tiga hari minimum untuk kebanyakan kes.
Pada malam itu, lebih kurang jam 12 malam, saya dimaklumkan oleh cucunya bahawa Mak Aji sudah tiada. Kami sekeluarga bergegas untuk menziarahi jenazah. Naik ke rumah arwah saya melihat wajah jenazah. Terus terang saya katakan bahawa inilah kali pertama saya melihat jenazah yang masih baru. Dan saya bersyukur sangat-sangat kerana arwah meninggal pada malam Jumaat, dengan wajah seolah-olah tersenyum dan berseri-seri.
Belum pun sempat 3 hari, jin-jin saka tadi telah gagal untuk meneruskan gangguannya terhadap arwah. Begitulah kita manusia telah dijanjikan Allah…apabila tiba saat kematian seseorang itu, nescaya tidak akan dicepatkan atau dilewatkan walaupun sesaat…
Saya doakan semoga Allah menempatkan arwah dikalangan hamba-hambanya yang terpilih. Amin…