KISAH DARI BLOG: Membantu Bakaruddin

12 views
Skip to first unread message

enci...@gmail.com

unread,
Jan 30, 2009, 6:38:27 AM1/30/09
to pondoksiber
MEMBANTU BAKARUDDIN

Aku menaiki motosikal buruk adikku Semail seperti biasa menuju ke
rumah Bakaruddin. Aku begitu gemar melalui jalan pintas Pasar Har
untuk sampai ke Wakaf Che Yah dari Landung. Jalannya dipenuhi dengan
rimbunan pokok menghijau, sawah padi dan bukit bukau…Subhanallah….Aku
bertasbih memuji keindahan alam.

Sesampainya aku di rumah Bakaruddin, ku lihat ramai teman-teman
seperguruanku berkumpul di sana seperti ada temasya pula.

“Ler…baru sebut nama…panjang umur betul engkau ni” Sapa Jay tersengih-
sengih.

Aku tersenyum dan masuk serta bersalam-salaman dengan Jay, Azmi,
Askanda dan lain-lain. Bakaruddin menyuruh Jay dan aku menginsut ke
sebelahnya dan menutup mata serta cuba meneroka alam batin untuk
menyelesaikan satu masalah yang dihadapi oleh Bakaruddin. Aku tidak
membantah tetapi agak kehairanan apabila guruku mengarahkan aku
berbuat sedemikian.

“Kawan pun manusia biasa….masalah pasti ada…tak kira lah guru ke,
murid ke….” Kata Bakaruddin sekaligus menjawab komen hatiku.

Aku dan Jay menutup mata dan melihat titik di antara dua kening dan
kami fana sebentar….

Aku memijak tanah lapang dan ku lihat sebuah kuil Buddha tersergam di
hadapanku. Tiba-tiba aku terlihat sekumpulan khinzir keluar dari
perkarangan kuil berkenaan sambil meluru ke arah ku. Dengan pantas aku
mengelak dan ku lihat kumpulan khinzir berkenaan menuju ke arah
Bakaruddin yang tidak ku ketahui masa bila dia berada di belakangku.
Kumpulan khinzir itu mengelilingi Bakaruddin tetapi gagal mendekatinya…
seolah-olah terdapat pagar ghaib melindunginya. Sekonyong-konyongnya
seekor khinzir berjaya menerobosi batas yang dibuat oleh Bakaruddin
dan menyondolnya. Bakaruddin menepis…dan aku tersedar.

Jay sedang menghirup kopi panas. Bakaruddin menghulurkan secawan kopi
kepadaku. Aku terdiam dan menghirup kopi yang beraroma harum sambil
menikmati biskut kering yang dihidangkan. Jay memberitahu alamat
batinnya kepada Bakaruddin.

Katanya beliau sampai tidak jauh daripada rumah Bakaruddin dan
terlihat seperti cahaya obor di bawah rumah. Apabila beliau cuba untuk
mendekati cahaya berkenaan, tiba-tiba cahaya itu bertukar bentuk
menjadi kepala manusia berambut panjang dan bertanduk.

“Polong ke ni?” Fikirnya. Lantas Jay memantapkan zikir dan merenung ke
arah kepala berkenaan. Kepala itu tiba-tiba keluar dari bawah rumah
dan melayang meluru pantas ke arah Jay. Jay menjurus tangannya ke
hadapan sambil menyebut

“AH, aku tolak segala bentuk kejahatan, jin, iblis dan syaitan” seraya
mengeluarkan cahaya seperti petir dari tangannya dan menyambar kepala
berkenaan. Kepala itu terpelanting dan jatuh ke tanah. Matanya yang
merah berkedip-kedip memandang Jay dengan seringai taring yang tajam…
seolah-olah geram diperlakukan sebegitu.

“Woi budak mentah…jangan nak masuk campur urusan orang…” Kepala itu
tiba-tiba mengeluarkan suara.

“Aku tak masuk campur urusan orang….aku terima arahan dari guruku
untuk memusnahkan engkau…syaitan!” Jerit Jay.

“Alangkan gurumu aku rasuk….engkau muridnya….apa yang ada?”

Jay tidak menjawab soalan berkenaan kerana dia tahu bahawa syaitan
suka melemahkan semangat manusia. Malas rasanya nak melayan kerenah
syaitan. Jay membuka langkah silatnya dan berlari menyepak kepala
berkenaan seperti bola. Kepala itu melayang jauh….

Memulakan Penyembuhan

Bakaruddin mengajak aku, Jay, Azmi dan Askanda ke luar rumah.

“Biarlah….orang nak dengki ke, orang nak marah ke…kita serahkan sahaja
kepada Allah SWT” Kata Bakaruddin.

Jay, Azmi dan Askanda diarah oleh Bakaruddin untuk berpecah menuju 3
penjuru yang ditetapkan. Aku disuruh mengambil daun kelapa dan cuba
‘menarik’ penyakit berkenaan keluar daripada tubuh Bakaruddin. Pada
mulanya, aku rasa serba-salah namun Bakaruddin menenangkan aku dan
mengajar cara-cara yang sepatutnya dilakukan.

Jay menuju ke bawah rumah dan menghalakan tapak tangannya ke arah
tanah. Jay menggunakan ‘gerak’ hatinya di sertai kawalan pernafasan
berkaedah dan mula berjalan terbongkok-bongkok di bawah rumah. Sampai
betul-betul di tiang tengah, beliau berhenti dan duduk mencangkung.
Dahinya berkerut dan beliau memejamkan mata. Sebentar kemudian, beliau
memanggil Azmi. Azmi masuk ke bawah rumah dengan membawa cangkul kecil
dan sebuah dulang.

“Gali di sini, Mi” Kata Jay menunjukkan ke arah tiang tengah. Azmi
terus menggali dan tidak sampai pun 2 kali cangkul, beliau bertafakkur
sebentar; menggeleng-gelengkan kepala; matanya merenung tajam ke dalam
isi kandungan lubang yang digalinya. Sambil membaca Ayat Kursi dan
melakukan tepukan 'gayung' di tujuh bahagian anggotanya, dengan penuh
berhati-hati, beliau mengeluarkan sebuah batu yang berbalut kain
putih, sebiji telor, sepucuk paku yang agak berkarat dan sebuah patung
kecil sebesar ibu tangan lantas diletakkan ke atas dulang di
sebelahnya…

Askanda pula hairan melihat sebatang buluh didirikan dengan sebiji
kelapa dipacakkan ke atasnya. Nak kata pengupas kelapa, selalunya
memakai mata besi yang tajam. Sambil berzikir, Askanda mencabut buluh
berkenaan bersekali dengan kelapanya dan membawanya ke atas pondok.
Jay dan Azmi telah pun berada di atas pondok bersama-sama dengan
dulang yang mengandungi ‘hasil carian’ mereka….

Bakaruddin berlunjur dan kedua tapak tangannya dibuka di atas
lututnya. Di bawah lidahnya, di atas tapak tangannya berserta jari-
jarinya dan di celah-celah jari-jari kakinya telah diselitkan dengan
lada hitam. Aku meletakkan daun kelapa berkenaan ke atas belakangnya
dan mula menarik perlahan-lahan ke arah hadapan sambil membaca Manzil
dari Surah Baqarah sehinggalah Surah Jin dengan niat pada waqaf-waqaf
tertentu. Ku makrifatkan segala penyakit yang berasal daripada sihir,
jin, iblis, syaitan serta segala bentuk kejahatan yang datang dari
laut dan darat untuk keluar mengikut arah daun kelapa berkenaan. Ku
lihat Bakaruddin terketar-ketar sedikit kakinya. Aku begitu sedih
melihat guruku di’buat’ orang dan begitu kagum dengan kesabarannya
yang tinggi. Bagi Bakaruddin, ini merupakan ujian Allah SWT ke atas
dirinya. Bakaruddin melihatku dan dapat ku faham menerusi dialog
rohani bahawa beliau menyuruh aku bertenang dan meneruskan pengubatan.
Apabila sampai kepada bacaan “Kaaf, Haa, Yaa, Ain, Shaad, akfina
wabihaqqi, Haa, Miim, Ain, Siin, Qaaf”

Aku menahan nafasku, menongkat lidah ke lelangit, lenganku di rapatkan
dan tapak kaki kiriku ku pijak, aku dapat melihat kepulan asap kecil
keluar dari tubuh Bakaruddin menerusi kaki, ubun-ubun dan tangannya.
Kepulan asap bergabung membentuk kepulan asap yang agak besar dan
berkumpul di daun kelapa.

Aku mengheret daun kelapa berkenaan dan membaca "Wamaa romaita idz
romaitaa walaa kinnAllaharoma" membuangnya jauh ke dalam semak dengan
memandang dengan mata hati bahawa ku buang syaitan berkenaan jauh-jauh
atau pulang ke tempat asalnya…Alhamdulillaah.

Buluh mengeluarkan asap….

Bakaruddin menyuruh Askanda memacakkan kembali buluh berkenaan
bersekali dengan kelapanya. Jay memanggilku dan menyuruh aku
menghalakan tapak tanganku ke buluh berkenaan. Semasa aku asyik dengan
zikir sambil tapak tanganku dihalakan ke arah buluh berkenaan, tiba-
tiba buluh berkenaan mengeluarkan kepulan asap. Bakaruddin tiba-tiba
bangun dan menyepak buluh berkenaan bersama-sama dengan kelapa yang
dicacakkan. Aku terperanjat dengan tindakan Bakaruddin dan juga
terkejut besar melihat buluh dan kelapa yang terpelanting jauh nampak
seperti perceraian di antara kepala manusia dari badannya. Aku
menggeleng-gelengkan kepala.

“Macam-macam permainan orang ni…” Gerutu Bakaruddin. Beliau menyuruh
Azmi menaburkan sedikit air yasin dan beras kunyit yang telah
dibacakan Manzil dan Kaf 40 ke atas barang-barang di atas dulang.
Selepas melakukan perkara berkenaan, Azmi membungkus kesemua barang-
barang berkenaan dan membawa ke keretanya untuk dibuang pada tempat
yang diarahkan oleh Bakaruddin.

Bakaruddin termuntah….

Keesokan harinya aku tiba di rumah Bakaruddin bersama-sama dengan
seorang lagi temanku bernama Izhar.

Aku bertanyakan khabar Bakaruddin. Wajah beliau nampak seperti pucat
dan tidak bermaya.

“Ada sikit lagi…melawan nampaknya” jawab Bakaruddin perlahan. Izhar
memandang ke arah ku.

“Tak apa Ustaz, ni orang kuat kita dah ada kat sini” Izhar mencuit
bahuku. Aku tersenyum. Terasa juga malu dengan gurauannya.

“Sapa-sapa pun sama aje..” Jawabku. Aku cukup takut dengan pujian yang
mungkin membawa perasaaan ujub, riak, dan takbur kerana inilah
mazmumah yang akan meleburkan diri kita di dalam kancah syirik.

Izhar memohon diri kerana ada urusan beliau yang belum diselesaikan di
Bandar Kata Biru. Aku serba-salah dan cuba menyekat Izhar namun beliau
mengangkat tangan kepada ku dan menaiki motosikalnya.

“Kalau Allah SWT tetapkan kamu yang patut berada di sini, kenapa nak
minta bantuan orang pula?” kata Bakaruddin. Terasa juga sinisnya
pandangan berkenaan. Memang benar, kadangkala kita manusia lupa bahawa
pergantungan yang sebenar adalah kepada Allah SWT dan bukannya terlalu
taksub dengan manusia atau tabiat yang terlalu kuat pergantungannya
kepada usaha yang akan memberikan bekas.

Aku meletakkan tanganku ke belakang Bakaruddin. Ku halakan jari
telunjuk kananku ke dadanya dan menggerakkan ke arah kedua belah
tangannya dan kakinya, lehernya, ubun-ubunnya, sulbinya, mulutnya,
hidungnya, mata, telinga dan akhirnya ke arah pusat. Ku tekan jariku
ke pusatnya seraya membaca sepotong ayat dari Surat As-Saffa. Belumpun
aku tamat, Bakaruddin mengangkat tangan kanannya dan mengisyaratkan
aku berhenti. Beliau terus bangun dan berlari menuju ke tandas. Dapat
ku dengan dengan jelas, beliau termuntah-muntah dengan banyaknya ke
dalam sinki.

Aku menadah tangan tanda bersyukur kepada Allah SWT.
Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages