KISAH DARI BLOG: Jin Hancur

26 views
Skip to first unread message

enci...@gmail.com

unread,
Jan 30, 2009, 6:52:02 AM1/30/09
to pondoksiber
JIN HANCUR

Hisham rakan sekerjaku di Projek Peragua telah berkunjung ke rumah ku
di Air Nenas. Sememangnya Hisham sangat suka berkawan denganku. Pada
hari-hari tidak bekerja, dia akan pasti menelefon aku – macam-macam
tempat diajak aku pergi.

Sebagai seorang jurukur, Hisham tidak pernah melupakan aku – setiap
kali berkunjung dia pasti membawa ‘buah tangan’ dari hutan belantara
antara lain, kayu dalam kayu, pelbagai jenis serpihan barangan lama,
kuku harimau, taring harimau, serpihan gading gajah, pelbagai herba
dll.

Sememangnya hutan yang baru diteroka itu mempunyai terlalu banyak
misterinya. Namun, aku bukanlah jenis bergantung kepada barangan-
barangan seperti itu kerana :

“Setiap ciptaan Allah SWT mempunyai kegunaannya atau khasiatnya yang
tersendiri, tidak perlu sangat untuk kita baca-baca ke atas barangan
atau herba berkenaan lebih-lebih lagi bergantung kepada barangan atau
herba dapat memberikan bekas.

Sebaliknya anggaplah ianya sebagai asbab samada penyembuh atau untuk
menzahirkan sesuatu dengan berhakikatkan semuanya datang dari Allah
SWT – cukuplah sekadar mengucapkan “BismillahirRahmaanirRahiim,
BismillaaHiMasha-AllaHuLaHaulawalaquwwata illa bilLaah” sebelum
menggunakan apa-apa barangan atau nak memakan herba…malah ubat
sekalipun kerana semuanya itu tidak boleh diiktikadkan sebagai memberi
bekas kecuali dengan izinNya” Aku petik kata-kata Bakaruddin dalam
salah satu ceramahnya.

Namun begitu, aku dapat merasakan Hisham mempunyai rahsianya yang
tersendiri.

“Saya tahu, tuan sengaja menyewa kat tempat sunyi ni kerana nak
beribadat dengan tenang” Hisham menyapa aku sambil tersengih kecil

“Mana ada?? Saja saya terjumpa tempat ini kerana susah nak dapat rumah
sewa yang murah semenjak Projek Peragua timbul” Aku segera mengelak
dari menyentuh perkara ibadat kerana aku takut timbul riak dan ujub.

Sememangnya Projek Peragua telah menjadi sebab kepadanya terbukanya
pintu rezeki penduduk setempat termasuk Tanih Maroh, Jali, Air Nenas
malah sekitar Kampung Peragua sendiri sehinggakan rumah sewa penuh
ditempah – laku melebihi goreng pisang panas.

“Eleh, dengan orang lain boleh la tuan sembunyikan, ini Hisham laaa,
dengan kita pun dia nak sembunyikan yaaa…salah orang laa” Hisham
menjuih bibirnya sambil tergelak besar.

“Malas la aku nak layan engkau ni Hisham, aku mana ada apa-apa”

Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku Hisham terus menyampuk :

“Yalah..semuanya milik Allah SWT”

Aku angkat tangan dan Hisham ketawa besar.

Tiba-tiba salah seorang jiranku, Rashid telah singgah di rumahku.
Rashid memang telah mengenali Hisham kerana Hisham adalah rakan
sekampungnya.

“Hisham, aku nak cakap dengan kau, syeikh kita ni memang terer. Kau
tau tak, rumah yang disewanya ini, dah 3 orang penyewa cabut lari
tengah malam. Itu pasallah Rosli tuan rumah ni terkejut bila Syeikh
kita nak menyewa tempat ni” Rashid memulakan perbualan tanpa tapisan.
Rashid adalah salah seorang jurulatih kanan sebuah pertubuhan
persilatan.

Sememangnya aku pernah diusik semasa kali pertama berada di rumah
berkenaan. Aku pun hairan, kenapa Encik Rosli, tuan rumah sanggup
menyewakan rumah berkenaan dengan harga yang terlalu murah.

“Aku dah tau Sid, tak payahlah kau nak cakap, tapi dia ni suka sangat
menyembunyikan ilmu…low profile sangat” Jawab Hisham

"Mana ada, ini semua sebab Guru Rashid ada kat sini, sebab tu semua
hantu kat rumah ni lari….” Aku terus menyampuk tanpa memberikan
peluang untuk Hisham dan Rashid bercakap kerana aku tahu, jika aku
biarkan, sudah tentu mereka akan terus melalut memujiku.

“Alamak, bila pula aku naik pangkat ni…jadi Guru lak” sambil disahut
deraian ketawa.

Aku teringat pada hari pertama berpindah ke sana, sedang aku berwirid,
tiba-tiba aku terdengar pintu rumahku diketuk perlahan. Aku terus
membuka pintu dan ku lihat seperti kelibat lelaki gemuk dengan gelak
ketawa kecil sepantas kilat melarikan diri ke arah belakang rumah.

Tiba-tiba pintu belakang rumahku diketuk pula. Aku tidak mengendahkan
ketukan berkenaan. Tidak berapa lama kemudian, bunyi ketukan
kedengaran di sekeliling rumahku.

Aku hairan kenapa anak dan isteriku yang sedang nyenyak dibuai mimpi
tidak mendengar ketukan berkenaan.

Aku terus membaca "Ya Lathiif" dan memejamkan mata. Tiba-tiba aku
terasa seperti berada di luar rumah dan kelibat lelaki gemuk itu
sedang mengetuk itu terhenti. Wajahnya pucat lesi melihatku. Aku terus
membaca :

"Qul uu hiya ilaiyyaa annahus tama-'a nafarun minal Jinn, faqaaluu
innaa sami' naa qur'aanan 'ajaba"

Belum sempat aku menyambung, lelaki gemuk itu terus datang menyembahku
dengan keadaan kedua-dua telinganya seperti keluar darah membuak-buak.
Tanpa memperdulikannya, aku terus membaca beberapa isim suryani dan
bayangan lelaki gemuk itu menjerit-jerit sambil bangun melarikan diri
tetapi seolah-olah bertembung dengan dinding yang amat tebal.

Akhirnya dia memandang ke arah ku tetapi matanya yang merah menyala
merenung ke bawah seperti tidak berani bertentang mata. Semasa aku
membaca ayat Kursi dan mengulangi "Walaa ya-u-duHu-hif-zuhuma
waHuwal'aliyyul'azhiim'", dia kelihatan seperti menangis dan akhirnya
terbakar hangus.

"Abang, bau apa ni?" Aku terkejut bila terdengar suara isteriku
menegurku. Aku beristighfar dan mendapati diriku masih berada di atas
sejadah sedang berzikir.

"Adalah gangguan sikit, dah 'settle' dah pun..janganlah awak risau,
Allah SWT berada bersama-sama dengan kita" Aku memberikan jawapan yang
ikhlas kepada isteriku kerana dia sudah biasa dengan keadaan ini. Aku
bangun dari atas sejadah dan terus tidur tanpa bercakap apa-apa
kecuali berselawat.

"Tuan tahu tak? Semua penyewa cabut lari pada malam pertama kerana
pintu rumah dan dinding mereka diketuk, tapi tidak kelihatan sesiapa
pun apabila dibuka pintu" terang Hisham sambil memandang ke arahku
seperti mengharapkan aku memberikan komen balas.

"Sham, Sid - sesungguhnya Allah SWT lebih Maha Berkuasa dari segala
kejadian di atas muka bumi ini termasuklah diri kita. Bukanlah ayat-
ayat yang dibaca itu mempunyai kuasa, tetapi Allah SWT lah yang
memakbulkannya"

"Ramai yang salah sangka, apabila membaca ayat-ayat, wirid,
asmaulhusna dan lain-lain, maka pengamal mengharapkan apa yang
dibacanya akan memberikan bekas dan akan zahir sesuatu hikmat atau
perkara mencarik adat."

"Ini sebenarnya boleh mengakibatkan kerosakan akidah kita. Malah,
apabila terlalu mengharap kaifiat bacaan, Allah SWT menguji pengamal
dengan tidak memakbulkan permintaannya.

Akhirnya, si pengamal akan beranggapan "ayat ni tak power, kena amal
ayat lain". Keadaan akan menjadi lebih buruk apabila si pengamal itu
tidak berguru atau mendapat guru yang disangka benar tetapi yang sesat
- MasyaAllah, Naudzubillah"

Hisham dan Rashid mengangguk-angguk dan terdiam seketika.

"Saya insaf tuan...kadang-kadang saya sendiri pun 'tergantung' kepada
barang-barang atau azimat-azimat tertentu dan lain-lain" Kata Rashid.

"Maafkan saya, saya tidak berniat pun untuk menyindir tuan...Namun,
jika ayat-ayat, wirid, ahzab, asma dsb. pun tidak boleh kita
bergantung, apa lagi kalau barang-barang fizikal termasuk azimat.
InsyaAllah, Kita sama-samalah renungkan.

Sebenarnya bagi saya ayat yang dibaca hanyalah asbab tetapi harus
dibaca dan diamalkan cuma perlukan bimbingan guru yang baik, cuma
ianya perlu serentak dengan niat berserah kepada Allah SWT semata-mata
- pada hati, lidah dan anggota kita"

Aku terus mempelawa mereka menjamah minum dan makan petang yang
dihidangkan isteriku.
Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages