[IRF] Ulasan Buku: “Surat-surat Muhammad Asad yang Terpendam”

0 views
Skip to first unread message

Muziru

unread,
Nov 6, 2025, 5:58:55 AM11/6/25
to friends...@googlegroups.com, irf...@googlegroups.com, pesantren...@googlegroups.com, directo...@googlegroups.com
Ulasan Buku: “Surat-surat Muhammad Asad yang Terpendam”
November 6, 2025

Terjemahan daripada: “The Unpublished Letters of Muhammad Asad”

 

Ahmad Farouk Musa || 6 November 2025
Terjemahan oleh: Ahmad Nabil Amir

 

Kulitnipis: 252 mukasurat
Penerbit: Islamic Renaissance Front & Islamic Book Trust, Kuala Lumpur
Bahasa: Inggeris
ISBN: 978-967-26388-4-1
Dimensi Produk: 6 X 9 X 1

 

Buku ini menyerlah sebagai sebuah kompilasi unik dari balasan surat-surat peribadi yang dikirim antara ulama terkenal Muhammad Asad dan isterinya Pola Hamida dengan teman-teman mereka. Pada asalnya diterbitkan dalam tiga jilid yang terpisah dalam jurnal berkala Pakistani Islamic Sciences, ia kini diterbit dalam bentuk buku. Muhammad Asad kekal suatu enigma kepada ramai kalangan di Timur dan Barat. Dua karyanya yang paling masyhur adalah Road to Mecca (Jalan ke Mekah – terjemahan dan terbitan Islamic Renaissance Front) – yang membukukan perjalanan peribadinya menuju Islam dan penjelajahannya yang ekstensif di Semenanjung tanah Arab, menggabungkan renungan dan muhasabah dalaman tentang kepercayaan dan identiti dengan transformasi spiritual dan pemelukan Islamnya – dan The Message of the Qur’ān (Risalah al-Qur’ān – terjemahan Islamic Renaissance Front yang masih belum dapat diterbitkan), terjemahan dan penjelasan al-Qu’rānnya dalam bahasa Inggeris, yang diraikan kerana kejelasan, mutu kesusasteraan dan interpretasinya yang bijaksana terhadap pesan-pesan al-Qur’ān, membuatnya dapat diakses oleh fikiran moden yang ingin tahu.

Namun buku ini menerobos melangkaui dimensi persuratan dan intelektual Muhammad Asad. Ia menyingkapkan potret yang lebih intim dan akrab tentang lelaki itu sendiri – memberikan gambaran yang mentah dan tidak ditapis tentang keriangan dan kehampaannya, kejengkelan dan kesakitannya, saat putus asa dan kelap-kelip harapannya. Ia terbahagi ke dalam tiga bahagian. Yang pertama membawakan dua puluh-enam warkah yang dialamatkan kepada kawan-kawan, yang menawarkan pandangan yang berharga tentang evolusi intelektual dan peribadi Asad.

Sebagaimana dicatat oleh Muhammad Arshad, pengumpul surat-surat ini, Asad tidak banyak menulis dalam bahasa Inggeris sebelum ketibaannya di anak benua India pada tahun 1932; kebanyakan tulisannya yang lebih awal ditulis dalam bahasa Jerman (Asad, Muhammad & Asad, Pola Hamida 2024: h. 4). Surat-surat ini, bagaimanapun, menyingkapkan aspek yang krusial dari perjalanan intelektual Asad. Meskipun Asad berkemungkinan mempelajari bahasa Arab sewaktu perjalanan keduanya ke negeri-negeri Islam (1924-1926), beliau juga tinggal dengan kaum Badwi di padang pasir untuk mendapatkan “rasa naluriah dari bahasa itu” (Asad, 2011, h. xix). Menurut Asad, hanya kaum Badwi di jazirah Arab, terutamanya di kawasan Tengah dan Timur Arab, yang tetap memelihara ungkapan Arab yang tulen, tidak dirubah, yang masih dekat dengan idiom pada masa Nabi SAW, mengekalkan semua karakteristiknya yang intrinsik (Asad, 2011, h. xix).

Pembauran yang mendalam dengan bahasa ini yang kemudiannya membentuk magnum opus Muhammad Asad, The Message of the Qur’ān, yang digambarkannya sebagai “percubaan pertama” untuk mengemukakan sepenuhnya, terjemahan yang benar-benar idiomatik disertakan dengan kupasan al-Qur’an ke dalam bahasa Eropah (Asad, 2011, h. xix). Benar, Asad tidak menyebut tentang guru-gurunya, malah tidak dalam surat-suratnya kepada teman-temannya. Namun, sebelum memulakan terjemahan yang monumental ke atas al-Qur’an, beliau telah mengikuti pengajian yang serius terhadap Sahih al-Bukhari di Madinah. Dalam pengantar kepada edisi pertama ‘Sahih al-Bukhari: The Early Years of Islam’ yang dikeluarkan pada tahun 1938, beliau mencatatkan bahawa jilid ini akan diikuti dengan tiga puluh-lima bahagian lain yang telah diterjemah dan disyarah dari kitab Sahih (Asad, Muhammad 2013: h. viii). Tragisnya, tidak satupun daripada manuskrip-manuskrip ini – meskipun telah siap dirampungkan – yang tersisa, kerana dimusnahkan dalam rusuhan kaum di Punjab, rentetan pemisahan benua kecil India dengan Pakistan (Asad, 2013, h. ix).

Mengenang kembali kehilangan Sahih al-Bukhari: The Early Years of Islam’ ini Asad menulis: ‘Dengan mata kepala saya sendiri saya melihat carikan daripada naskhah manuskrip itu terapung di atas sungai Ravi di tengah kitab-kitab Arab – sisa-sisa dari perpustakaan saya – dan semua macam serpihan; dan dengan helaian kertas-kertas yang malang, terapung itu, lenyaplah tanpa dapat ditebus kembali lebih daripada sepuluh tahun pembantingan usaha yang intensif’ (Asad, 2013, h. ix).

Penting untuk disorot kajian dan terjemahannya atas Sahih al-Bukhari dalam menanggapi kritik oleh penghujatnya, termasuk JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), yang menuduhnya tidak memahami sunnah dalam terjemahannya terhadap al-Qur’ān.  Dalam Pengantar kepada edisi keduanya (1981), Asad menghimbau period ini dengan pandangan dan rasa kesyukuran yang baru:

“…perlahan-lahan terfikir oleh saya bahawa usaha saya atas Sahih al-Bukhari tidak sepenuhnya hilang. Sebaliknya saya menyedari dengan keyakinan yang meningkat bahawa sepuluh tahun dihabiskan untuk menganalisis, menterjemah dan menghuraikan kitab Sahīh adalah persediaan yang direncana Tuhan bagi karya yang sekian lama menjadi mimpi yang membara kepada saya: iaitu terjemahan Inggeris yang baru The Message of the Qur’ān…dan tafsiran berasaskan prinsip bahawa pintu ijtihād tidak akan dan tidak pernah tertutup kepada pencarian intelek manusia. Saya sentiasa insaf bahawa pengenalan yang mutlak dengan ilmu hadith adalah pra-syarat yang tak dapat tidak bagi mana-mana pendekatan yang bebas kepada al-Qur’ān…dan intelektual yang membaca karya tersebut dapat mengesan dengan mudah sejauh mana semangat hadith dan dengannya, daya usaha al-Bukhārī yang segar, telah meresap dalam terjemahan saya terhadap kalam Ilahi.”

Sentimen yang sama dizahirkan dalam ungkapan penutup dari Pengantar ‘The Message of the Qur’an’ di mana pengarang menyebut: “Lantaran itu, saya tidak mendakwa telah mengeluarkan semula sesuatu yang tak tergambar dari keindahan ritma dan retorik al-Qur’an. Tiada seorang yang telah berhasil mengecap keindahannya yang sebenar yang terfikir untuk membuat dakwaan sedemikian atau sekadar cuba membuatnya. Dan saya sepenuhnya sedar bahawa terjemahan saya tidak mampu untuk benar-benar “berlaku adil” kepada al-Qur’ān dalam mengupas maksud yang terkandung di setiap perenggan ayatnya: kerana,

Jika semua lautan menjadi tinta untuk mencatat kalam Tuhanku, pasti lautan itu akan kering sebelum habis kalam Tuhanku (Qur’ān 18: 109) (Asad, 2011, h. xxiii).

Oleh kerana itu, tampak membingungkan bahawa JAKIM dan KDN (Kementerian Dalam Negeri) menganggap terjemahan Melayu The Message of the Qur’ān, usaha berdekad lamanya oleh Islamic Renaissance Front, sebagai sesat, hanya kerana tafsirannya bercanggah daripada pemahaman institusinya, malahan bagi perkataan “Islam” sekalipun. Bagi JAKIM, ‘Islam’ difahami sebagai Islam birokratik yang dipraktik dan diatur dalam konteks Malaysia moden, terbatas kepada pengikut Nabi Muhammad SAW. Sebaliknya, Asad mengkonsepsualisasi Islam dalam pemahaman al-Qur’annya, yang asal, sebagai “penyerahan diri kepada Tuhan” dan seorang Muslim adalah dia “yang menyerahkan dirinya kepada Tuhan.” Sebagaimana beliau menerangkan: “yang nyata al-Qur’ān tidak dapat sepenuhnya difahami jika kita membacanya hanya berasaskan ideologi yang berkembang kemudian, tanpa memahami tujuan asas dan makna yang dipunyai – dan dimaksudkan sebagai ertinya – oleh mereka yang pertama kali mendengarnya dari pengucapan Nabi SAW sendiri. Misalnya, apabila para sahabat baginda mendengar perkataan islam dan Muslim, mereka memahaminya sebagai mencerminkan “penyerahan diri kepada Allah” dan “seseorang yang menyerahkan dirinya kepada Allah” tanpa membataskan istilah ini kepada mana-mana komuniti atau mazhab yang tertentu” (Asad, 2011, h. xxi).

Justeru, Semakan Kehakiman telah difailkan oleh IRF terhadap KDN dan Kerajaan Malaysia yang kini sedang dalam pendengaran di Mahkamah Tinggi, yang telah memberi mandat bagi kes ini untuk diteruskan (Malaysiakini 2025, Free Malaysia Today 2025). Bahagian kedua daripada buku ini mengandungi dua puluh-dua warkah yang tidak diterbit yang ditulis oleh Asad dan isterinya Pola Hamida Asad. Surat-surat ini membawa pandangan baru tentang penglibatan intelektualnya dan menyingkapkan aspek yang kurang dikenal dari kehidupan peribadi dan keluarganya. Bahagian ketiga terutamanya terdiri dari koresponden antara Muhammad Asad, Pola Hamida Asad dengan teman mereka yang paling terpercaya Muhammad Husain Babri – yang Asad gambarkan sebagai teman yang terbaik – dan tentunya paling setia – dari semua teman yang pernah saya ada: sentiasa bersedia untuk berkongsi kerisauan dan keresahan, dan membantu untuk mengatasinya dalam apa jua cara yang dia sanggup. Kami kekal bersahabat selama lebih lima puluh tahun, sepanjang pasang surut kehidupan saya dan perubahan habitat merentas tiga benua, sehingga kematiannya pada 1985 dalam usia melebihi lapan puluh tahun.” (Muhammad Asad, 2012: h. 81)

Meskipun banyak koresponden menampakkan kekecewaan Asad untuk membela maruahnya susulan perkahwinannya dengan Pola-Hamida – dan kontroversi yang melanda tatkala Perkhidmatan Luar Pakistan enggan membenarkan perkahwinannya atas alasan beliau sudah sedia beristeri, Munirah, yang tinggal di Pakistan – Asad mempertahankan bahawa beliau telah lama terasing daripada Munirah, tanpa sebarang kepentingan yang mengikat kecuali anak mereka, Talal yang bersama ibunya, yang sebaliknya menetap di London (Asad & Asad, Pola-Hamida, 2024, hh. 28-61).

Tuduhan yang mengguris dan tidak berasas bahawa beliau telah berpaling daripada Islam turut timbul dalam surat-surat ini. Namun apa yang paling mengesankan saya dalam buku ini adalah kekaguman Asad dengan ulama zaman pertengahan Ibn Hazm, yang dirujuknya sebagai Imam al-A‘zam saya (Imam terbesar). Kekaguman ini hanya disentuh sekali sahaja di dalam surat kepada kenalannya Ghulam Rasul Mehr, editor Inqilab (Asad, Muhammad & Asad, Pola Hamida 2024: h. 24) – di mana Asad mengacu pada kitab al-Muhalla, buku berjilid tebal tentang cabang fiqh Islam oleh Ibn Hazm. Asosiasi ini telah memicu serangkaian pemikiran yang berligar di dalam diri saya.

Memandangkan saya sebelumnya sudah membaca Message of the Qur’ān, di mana Muhammad Asad kerap memetik Zamakhshari dan Ar-Razi, saya mendapati keterpesonaannya dengan Ibn Hazm az-Zahiri ini agak “bertentangan dan bertolak belakang sama sekali”. Kendati demikian, ia mendorong saya untuk meninjau semula karya-karya Asad dengan perhatian yang diperbaharui dan mengesan pengaruh yang halus namun konsisten daripada pendekatan Ibn Hazm yang rasional dan berbasis teks yang diacunya beberapa kali dalam The Message of the Qur’ān.

Sementara saya tidak dapat menghuraikan di sini dengan lebih terperinci, saya ingin mengutip sarjana Josef Linnhoff yang membuat pemerhatian yang luar biasa tentang isu ini (Linnhoff, 2021, hh. 425-443). Beliau mendapati bahawa Asad berkongsi beberapa prinsip utama dengan mazhab Zahiri, terutamanya berkenaan konsepnya tentang shari’ah yang mempunyai ruang lingkup yang terbatas dan dilingkupi dengan teliti (yakni memandangkan Allah tidak menjelaskan secara detail kedudukan hukum semua perkara di dalam kitabNya, maka kaum Muslimin boleh memilih mana yang terbaik). Perspektif ini menurutnya menyediakan asas teoretikal bagi visi Asad tentang sebuah negara Islam – di mana shariah menetapkan hanya kerangka hukum dan moral yang mendasar, tetapi meninggalkan penguraiannya yang rinci kepada akal dan tafsiran manusia.

Patut diperhatikan bahawa, Asad meski tidak membaca karya pemikir terkenal Ibn Hazm dalam tahun-tahun terawalnya di India, kemudiannya menyedari bahawa banyak kesimpulannya yang hampir selari dengan idea-idea dasar Ibn Hazm (Asad, 2006, h. 2). Bagi Asad, Ibn Hazm menempati kedudukan yang sangat tinggi dalam kumpulan para pemikir yang terpilih yang telah berusaha untuk membebaskan syari’at yang abadi daripada apa jua yang melangkaui ordinan yang jelas dengan sendirinya daripada al-Qur’ān dan sunnah NabiNya.

Rujukan 

1) Asad, Muhammad (2006). This Law of Ours and Other Essays. Islamic Book Trust, Kuala Lumpur.
2) Asad, Muhammad (2011). The Message of the Qur’an. Islamic Book Trust, Kuala Lumpur.
3) Asad, Muhammad (2013). Sahih al-Bukhāri: The Early Years of Islam. Islamic Book Trust, Kuala Lumpur.
4) Asad, Muhammad & Asad, Pola-Hamida. The Unpublished Letters of Muhammad Asad. Islamic Renaissance Front & Islamic Book Trust, Kuala Lumpur.
5) Free Malaysia Today (2025). Think tank gets leave to challenge rejection on Quranic text translation. Available at: https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2025/07/10/think-tank-gets-leave-to-challenge-rejection-of-quranic-text-translation (Accessed: 10 October 2025).
6) Linnhoff, Josef (2021). A modern-day Zāhiri? The legal thought of Muhammad Asad (1412/1992).  The Muslim World; III: 425-443.
7) Malaysiakini (2025). Courts grant leave for IRF to challenge book ban. Available at: https://m.malaysiakini.com/news/748635 (Accessed: 10 October 2025).


Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa adalah seorang sarjana, penyelidik, aktivis social, dan intelektual awam. Beliau adalah Pengasas dan Pengarah di Islamic Renaissance Front. Beliau memiliki PhD dalam bidang Surgeri daripada Monash Universiti Australia dan Sarjana Perubatan dalam bidang Surgeri daripada Universoto Sains Malaysia. Belaiu adalah juga seorang calon PhD dalam bidang Pengajian Islam di Universii Muhammadiyah Malaysia. Ulasan buku ini diterbitkan oleh jurnal berindeks SCPUS, Intellectual Discourse, 5-1109 di 33(3):110.

Pautan: https://doi.org/10.31436/id.v33i3.2482


Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages