Kenyataan Media Tragedi Kehilangan Pesawat MH370

0 views
Skip to first unread message

Mohd Shahrizal Sunar

unread,
Mar 16, 2014, 9:40:38 AM3/16/14
to perintis...@googlegroups.com
Persatuan Saintis Muslim Malaysia (PERINTIS)
Kenyataan Media Tragedi Kehilangan Pesawat MH370

Tragedi kehilangan pesawat MAS MH370 telah mengejutkan seluruh
masyarakat Malaysia dan antarabangsa. Setelah 9 hari berlalu, pihak
keluarga terlibat dan masyarakat belum mendapat jawapan secara tuntas
mengenai kejadian tersebut. Apakah MH370 terhempas, meletup atau
dirampas? Atau apa sebenarnya yang telah berlaku? Persatuan Saintis
Muslim Malaysia (PERINTIS) sebagai sebuah pertubuhan profesional yang
berdaftar di Malaysia, yang dianggotai oleh professional daripada
kalangan saintis, jurutera serta teknokrat muslim juga turut merasa
begitu sedih dan bersimpati dengan mangsa, keluarga serta saudara mara
mereka atas kejadian yang berlaku.

Tragedi MH370 telah menyerlahkan daya kreativiti masyarakat dunia yang
dapat dilihat dari penciptaan dan penyebaran gambar, video, permainan
digital dan cerita-cerita berkaitan kehilangan MH370 yang dikarang
atau disunting untuk tujuan santai atau berupa spekulasi terhadap apa
yang sebenarnya telah berlaku. Proliferasi maklumat dalam bentuk
multimedia dihasil menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)
khususnya teknologi multimedia, disebarkan pula ke dunia siber melalui
Internet di laman sosial seperti facebook serta juga melalui
smartphone terutamanya melalui twitter dan WhatsApp.

Teori 'persuasive' mengguna teknologi 'persuasive' telah berjaya
menyakinkan penerima terhadap maklumat yang disebar hingga akhirnya
terpedaya apabila menerima, percaya, yakin dan turut menyebarkan
maklumat palsu. Kecanggihan TMK mendorong pihak tertentu
menggunakannya untuk tujuan yang tidak baik seperti contohnya
memfitnah untuk menjatuhkan maruah individu atau organisasi, menyebar
ideologi atau fahaman yang menyalahi akidah umat Islam dan sebagainya.

Dalam keghairahan kita membaca/melihat/menyebar semula komen-komen
atau maklumat multimedia ini, kita lupa kepada mangsa tragedi, iaitu
kaum keluarga, sanak saudara dan sahabat handai pihak terbabit serta
masyarakat dan negara kita amnya. Kita lupa menentusahkan maklumat
tersebut sama ada ianya sahih, atau telah diputarbelitkan, atau
semata-mata rekaan. Klip video parodi berkaitan yang menghina
masyarakat Islam Malaysia turut kita sebarkan tanpa berfikir panjang.

Masyarakat perlu celik teknologi - memahami keupayaannya dan
kegunaannya supaya boleh manangani isu berkaitan penggunaan negatif
teknologi dan pada masa yang sama menyemarakkan penggunaan positif TMK
untuk mendidik, menyampaikan maklumat sahih dan tepat di samping
menghubung silatur Rahim.

Masyarakat juga perlu kembali kepada ajaran agama serta mematuhi etika
penggunaan Internet (netiquette), iaitu satu panduan umum untuk semua
pengguna, di samping mengamalkan etika kemasyarakatan dan sedar
bahawa TMK mempunyai kekuatan serta keupayaan yang tinggi berkaitan
penyediaan, capaian dan sebaran maklumat berbentuk multimedia." Oleh
itu, gunakanlah ia secara positif kearah kebaikan.

PERINTIS, dalam menjadikan sains dan teknologi sebagai wasilah untuk
membawa rahmat ke sekelian alam (Rahmat lil Alamin) memandang berat
berkaitan etika penyampaian maklumat secara sensitif serta
bertanggungjawab kerana akan mendatangkan implikasi yang serious
terhadap kesejahteraan masyarakat.

Dalam menghadapi krisis ini, PERINTIS ingin menyeru;

1. masyarakat untuk menyampaikan maklumat yang tepat dengan
disertakan bukti-bukti yang kukuh . Allah s.w.t. telah berfirman dalam
Al Qur'an, Surah Al-Hujurat,:6

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik
membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan)
kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara
yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) -
sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."

Al Quran telah mendidk manusia akan kepentingan menyampaikan berita
dengan bukti-bukti yang jelas, untuk mengelakkan ummat ditimpa
kesusahan serta bala bencana akibat dari perbuatan tergesa-gesa serta
rakus menyampaikan sesuatu berita tanpa usul periksa, serta tanpa
bukti yang kukuh. Dalam keadaan belum ada bukti jelas kehilangan
MH370, banyak pihak telah membuat pelbagai andaian serta komen
masing-masing. Samada komen berkenaan berniat baik atau tidak, tanpa
disertakan dengan sebarang bukti bukti teknikal yang jelas, disertakan
verifikasi dari pihak berwajib, umum telah menyaksikan bahawa
komentar-komentar yang dibuat telah menyebabkan kekeliruan, gangguan
emosi serta keadaan kucar-kacir dalam usaha mencari serta menyelamat
MH370.

2. orang ramai supaya tidak mencipta, menokok tambah, mamanipulasi
atau menyebar maklumat yang tidak dipasti kesahihannya

Dalam keadaan sedemikian, diam (dalam erti kata mengelakkan dari
menyebar maklumat) adalah lebih baik dari menuturkan perkara yang
tiada asas sepertimana ajaran Rasul saw yang bermaksud:

Dari Abu Hurairah radhiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah
Shallallahu'alaihi Wasallam bersabda: Siapa yang beriman kepada Allah
dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam, siapa yang
beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia menghormati
tetangganya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir
maka hendaklah dia memuliakan tamunya (Riwayat Bukhori dan Muslim)

Hadis ini mengingatkan kita bahawa berlebih-lebihan dalam berbicara
boleh membawa kepada kehancuran, sedangkan menjaga pembicaraan
merupakan jalan keselamatan. Oleh itu, seorang muslim patut berbicara
tentang perkara yang bermanfaat dan mencegah perkataan yang diharamkan
dalam setiap keadaan. Termasuk kesempurnaan iman adalah menghormati
tetangganya dan memperhatikanya serta tidak menyakitinya. Dalam
konteks penyampaian maklumat, "tetangga" boleh diertikan sebagai pihak
yang terkesan oleh penyebaran maklumat.

3. pihak kerajaan untuk terus melipatkan usaha mencari pesawat MH370
dengan menggunakan pelbagai bantuan saintifik. Kemampuan Malaysia
untuk mencari kehilangan pesawat ini sedang dinilai oleh masyarakat
dunia dan akan meningkat kenyakinan kepada Malaysia. PERINTIS juga
menolak bantuan bomoh yang bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah .

4. masyarakat untuk terus berdo'a kepada Allah agar pesawat ini dapat
ditemui dalam keadaan selamat

5. para saintis, cendiakawan, ilmuan serta NGO untuk turut
menghulurkan sebarang bantuan dalam mencari pesawat tersebut.


Profesor Dr. Zainuddin Abdul Manan,
Presiden
Persatuan Saintis Malaysia (PERINTIS)

16 Mac 2014
14 Jamadilawal 1435H
Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages