Blog Anim Agro
Racun Makhluk Perosak (PESTICIDE)
adalah bahan yang digunakan untuk memusnah dan mengawal serangga atau
tumbuhan perosak. Contoh racun makhluk perosak ialah racun paraquat,
organofosfat, organoklorin, glifosat dan karbamat dan banyak lagi yang
dijual untuk kegunaan petanian dan domestik.
Bagaimana keracunan boleh berlaku?
Mereka
yang berisiko adalah orang yang terlibat dengan penggunaan racun
perosak terdiri daripada Petani dan Pekerja ladang atau Pekerja Estet
yang membuat semburan. Golongan ini sering menghadapi risiko terhadap
kesan toksik semasa membancuh, menyembur, mencuci tong, menyimpan racun
dan berjalan dikawasan yang baru disembur racun. Pengalaman saya semasa
bertugas di estet Pamol di Kluang dulu melihat bagaimana pekerja ladang
tidak mematuhi peraturan keselamatan menggunakan racun menyebabkan ada
yang mempunyai sakit kulit. Kumpulan lain adalah mereka yang berkerja
dalam kilang atau pekerja kilang racun makhluk perosak juga terdedah
kepada risiko keracunan.
Mungkin
ramai diantara kita yang kurang tahu akan simptom atau tanda-tanda kita
terkena racun perosak. Pendedahan kepada racun makhluk perosak boleh
menyebabkan kecederaan kepada badan dan anggota serta organ badan tanpa
disedari. Diantara tanda atau gejala terkena racun iaitu kesan
serta-merta seperti sakit kepala, loya, berpeluh, kulit merengsa dan
malah pada tahap yang serius boleh menyababkan kes-kes kematian. Kita
juga mungkin terdedah untuk kesan jangka masa panjang seperti tangan
mengeletar, kelupaan, kurang daya ingatan, kurang daya tumpuan,
kekuningan mata serta keletihan. Jenis racun sistemik memang mempunyai
kesan jangkapanjang yang kita tidak sedar. Awasi dan buat pemeriksaan
doktor sekiranya kita menggunakan racun dan ada simptom diatas dengan
segera.
Adakah
anda tahu bagaimana langkah-langkah rawatan jika terkena racun ? Paling
penting di peringkat awal dimana rawatan kecemasan perlu diberi serta
merta untuk menyelamatkan nyawa mangsa. Jika ada kes maka dengan segera
bawa mangsa terlibat ke tempat yang selamat yang mempunyai pengudaraan
yang baik seperti kawasan lapang atau kawasan tidak tercemar dengan
racun. Ingat jangan pula kita yang terkena akibat menolong mangsa.
Kemudian kita tanggalkan pakaian yang tercemar dan jangan cuba memaksa
pesakit untuk muntah. Bersihkan bahagian tubuh atau anggota yang
tercemar dengan racun makhluk perosak dengan menggunakan air yang banyak
selama 15-20 minit. Hantarkan mangsa terlibat ke hospital dengan
segera. Jangan lupa untuk membawa bekas racun yang terlibat ke hospital
bersama pesakit. Ini memudahkan doktor untuk mengenalpasti jenis racun
yang terkena untuk memudahkan pemberian ubat atau anti-dot yang sesuai.
Kita
boleh mencegah kejadian keracunan Racun Makhluk Perosak dengan
mengambil langkah awal pencegahan. Pertama sekali pastikan anda tahu
jenis racun makhluk perosak yang digunakan dengan membaca label dan
Kelas Racun Tersebut. Racun Kelas 1 adalah sangat merbahaya berbanding
dengan racun kelas IV dan Kelas V. Pastikan racun yang digunakan adalah
racun berdaftar dengan LPRMP dan jangan gunakan 'racun haram'. Kita
perlu patuhi setiap arahan pengendalian racun makhluk perosak yang
dibekalkan oleh pengeluar setiap masa yang ditulis pada label dan
peraturan keselamatan. Ketika menggunakan kita perlu mengmalkan teknik
pengendalian yang selamat dan betul. Labelkan bekas racun makhluk
perosak dengan betul sebelum menyimpanan dan baki racun yang tidak habis
digunakan. Dalam setor penyimpanan perlu disimpan racun makhluk perosak
di tempat yang berkunci dan berasingan dari barang-barang lain. Jangan
pindahkan racun makhluk perosak ke dalam bekas lain; gunakan bekas yang
asal sahaja. Jangan gunakan semula bekas racun makhluk perosak yang
telah kosong. Lupuskan semua bekas racun makhluk perosak yang kosong
dengan menanam dalam tanah yang sesuai atau hantar kepada pihak tertentu
yang dilantik. Gunakan alat pelindung diri yang sesuai dengan cara yang
betul.
Langkah
keselamatan menggunakan racun ada di berikan oleh pegawai teknikal dan
penjual racun. Paling asas adalah dimana kita perlu memakai pakaian dan
peralatan pelindung diri yang sesuai untuk menjalankan aktiviti meracun.
Kita perlu sentiasa menggunakan sarung tangan semasa membancuh racun
makhluk perosak. AWAS! Jangan makan, minum atau merokok semasa
mengendalikan racun. Ini merupakan pantang kerana siapa tahu akan
berkalu kemalangan akibat pencemaran racun terhadap makanan tersebut.
Sering diingatkan agar kerja-kerja penyemburan racun makhluk perosak
mestilah menurut arah angin. Ini elakkan racun terkena badan kita. Basuh
bahagian badan yang terdedah SEGERA dan mandi selepas setiap kali
mengendalikan racun.