Respon terhadap jawapan YB. Jagdeep Singh Deo A/L Karpal Singh menjawab bagi pihak YAB Ketua Menteri ke atas soalan lisan oleh ADUN Machang Bubuk Lee Khai Loon.
Soalan lisan berbunyi senaraikan tempat/kampung di Pulau Pinang
yang menghadapi masalah pengusiran penduduk oleh tuan punya tanah dengan
bilangan rumah yang terlibat.
Bolehkah kerajaan menetapkan syarat kepada tuan punya tanah
untuk menyelesaikan penetapan penduduk kampung sebelum perlingkungan semula
(rezoning) dapat dipertimbangkan?
Apakah usaha kerajaan untuk melindungi/membantu
penduduk-penduduk yang berdepan dengan pengusiran?
Menurut jawapan YB Jagdeep Singh, kerajaan negeri tidak mempunyai perangkaan tempat dan bilangan rumah yang terbabit di dalam pengusiran oleh pemilik tanah persendirian dan penduduk yang menduduki tanah terbabit.
Saya berpendapat bahawa kerajaan negeri perlu mewujudkan satu sistem pendaftaran serta satu database yang menyeluruh ke atas bilangan rumah dan penduduk-penduduk yang berdepan dengan masalah pengusiran mengikut daerah. Database tersebut akan memudahkan pihak berkuasa untuk menangani masalah pengusiran yang dihadapi oleh peneroka bandar yang telah menetap di sana lebih dua puluh atau tiga puluh tahun.
Usaha kerajaan negeri sedaya upaya menjadi fasilitator ataupun orang tengah untuk membuat perundingan di antara tuan tanah dan penduduk tanah terbabit bagi memastikan penduduk tidak teraniaya dan tuan tanah mendapat hak mereka dengan adil secara “win-win situation” bagi kedua-dua pihak memang dialu-alukan. Kerajaan negeri akan menangguh pertimbangan kebenaran merancang sebarang projek pembangunan di atas tanah tersebut selagi pampasan adil tidak diberikan kepada penduduk.
Maka, saya menyeru kepada kerajaan negeri agar ketetapan tersebut dapat dijadikan sebagai dasar pembangunan negeri di mana tuan tanah perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu penempatan peneroka bandar dengan baik dan bukannya memfailkan terus ke mahkamah supaya penduduk mengosongkan tanah miliknya.
Selain itu, saya berharap kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan di mana sebarang urus niaga tanah yang mengandungi masalah pengusiran akan dibekukan sehingga perkara tersebut dapat diselesaikan dengan baik. Langkah ini akan mengurangkan atau menyekat aktiviti spekulasi nilai tanah oleh pihak tuan tanah untuk mengaut keuntungan dalam transaksi urus niaga tanah.
Dengan usaha-usaha yang dicadangkan di atas, saya percaya isu penempatan semula bagi peneroka bandar akan dapat ditangani dengan baik serta berteraskan hak untuk perumahan yang sesuai yang termaktub dalam UN-Habitat.
Lee Khai Loon
ADUN Machang Bubuk
012-2258607