WTF iktiraf TM sebagai badan induk taekwondo Malaysia
Wartawan Sinar Harian
13 Januari 2013

Chungwon Choue
PERSEKUTUAN Taekwondo Dunia (WTF), hanya mengiktiraf Taekwondo Malaysia (TM) sebagai badan induk yang sah bagi mengelolakan sukan itu di Malaysia, kata Presiden WTF, Dr Chungwon Choue.
Menurutnya, TM merupakan sebuah badan yang relevan untuk menerajui sukan taekwondo di negara ini kerana turut disyorkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dan juga Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
“Saya yakin di bawah kepimpinan Tan Sri Tunku Imran (Tuanku Ja’afar) sebagai Presiden TM, taekwondo di Malaysia akan terus berkembang,” katanya yang turut mendapatkan maklumat terkini mengenai pembangunan sukan itu di negara ini.
Sebelum ini, Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA), yang mendakwa sebagai badan induk rasmi, dibatalkan pendaftaran oleh kementerian dua tahun lalu dan sejak itu TM telah mengambil alih tanggungjawab membangun dan menganjur acara sukan itu di negara ini.