SUBANG JAYA - Setelah bertahun-tahun terjejas dengan kemelut dalaman, Taekwondo Malaysia (TM), badan induk yang ditubuhkan untuk menggantikan Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) pada 2010, berikrar untuk membuka episod baharu.
TM tidak rela lagi membiarkan masalah terus membantutkan pembangunan sukan taekwondo tanah air, yang satu ketika dahulu mencabar pada peringkat antarabangsa.
Pengarah Kejurulatihan TM, Moi Chee Keong memberitahu, pihaknya sudah membuat perancangan ke arah Olimpik Rio de Janeiro 2016, dengan sasaran untuk melayakkan dua atlet bertanding.
"Dahulu kita merupakan antara pasukan yang kuat dalam sukan ini.
"Sejak taekwondo mula diterima dalam sukan Olimpik pada Sydney 2000, kita tidak pernah gagal menampilkan sekurang-kurangnya seorang peserta, paling membanggakan ketika Olimpik Beijing, kita ada Elaine (Teo) dan (Che) Chew Chan.
"Malangnya kesinambungan itu terhenti di London tahun lalu. Kita mahu menebusnya pada Olimpik akan datang, saya percaya sasaran dua atlet Taekwondo ke Rio realistik, kita akan berusaha ke arah itu," katanya ketika ditemui pada makan malam sempena lawatan Presiden Persekutuan Taekwondo Dunia (WTF), Choue Chungwon ke Malaysia.
Konflik yang memberi kesan mendalam terhadap sukan taekwondo Malaysia bermula sejak 2005 apabila badan induk terdahulu, MTA dibatalkan pendaftarannya oleh Pesuruhjaya Sukan.
Ia berlanjutan sehingga ke Februari 2010 apabila TM ditubuhkan untuk mengambil alih peranan dan fungsi sebagai pentadbir sukan tersebut, namun MTA tetap cuba mendapatkan kembali haknya.
Bagaimanapun, kunjungan Chungwon ke Malaysia minggu lalu secara tidak langsung menyelesaikan segala kemelut yang tidak berkesudahan, apabila orang No.1 badan dunia itu dalam ucapannya pada majlis makan malam di Sunway Hotel Resort di sini Jumaat lalu, mengiktiraf TM sebagai ahli gabungannya
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130114/su_09/TM-mahu-buka-episod-baru-taekwondo#ixzz2HxnVdclH
© Utusan Melayu (M) Bhd