Amimah Abd Samad
unread,Oct 12, 2010, 1:13:48 AM10/12/10Sign in to reply to author
Sign in to forward
You do not have permission to delete messages in this group
Either email addresses are anonymous for this group or you need the view member email addresses permission to view the original message
to MBKKP
SUDAH terhantuk baru terngadah, pepatah yang sesuai untuk
menggambarkan tahap kesedaran pengguna jalan raya di negara ini.
Menurut kajian, 60 hingga 70 peratus kemalangan berpunca daripada
sikap pemandu. Selebihnya, membabitkan masalah kenderaan dan
persekitaran jalan raya.
Adakah perlu untuk kita melihat lebih ramai lagi terkorban dek
kelewatan melaksanakan apa juga bentuk peraturan dan polisi. Kerajaan
berusaha sedaya mungkin memperkenalkan peraturan mahupun jalan
penyelesaian, tetapi adakah ia memadai? Sejauh manakah semua peraturan
itu benar-benar difahami dan diamalkan. Adakah perlu kita gunakan alat
perakam maklumat seperti kotak hitam atau menguatkuasakan penggunaan
had kelajuan kenderaan untuk memantau sikap pemandu.
Tidakkah semua ini dilihat umpama memantau kanak-kanak yang belum
mampu mengerti apa itu bahaya, mahupun kematian. Berapa banyak lagi
akta atau peraturan yang perlu kita perkenalkan semata-mata memantau
pelakuan pemandu atau pihak berwajib bersikap acuh tak acuh dalam
menguatkuasakan undang-undang.
Baru kelmarin kita dikejutkan dengan kemalangan ngeri meragut 12 nyawa
dan mencederakan 40 penumpang bas, kereta, van dan seorang penunggang
motosikal.
Ops sikap ke-22 lalu mencatatkan 16,817 kemalangan berlaku dan angka
ini sudah cukup membuktikan betapa pengguna jalan raya kurang
mengambil iktibar daripada setiap kemalangan yang berlaku. Benar ia
dilaporkan menurun 9.5 peratus, berbanding Ops Sikap ke-21 tetapi
kemalangan ngeri tetap berlaku dan ia sebenarnya mampu dikurangkan
jika semua pihak bekerjasama.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS),
Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata tidak ada sesiapa yang
mahukan kemalangan berlaku tetapi tragedi tetap berlaku atas sebab dan
alasan tersendiri. Apa yang pasti, polis, Jabatan Pengangkutan Jalan
(JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Lembaga Pelesenan
Kenderaan Perdagangan (LPKP) sedang menyiasat secara terperinci
kemalangan itu.
“Di negara ini, apabila sudah berlaku kemalangan, baru orang sibuk
memperkatakan siapa yang bersalah, ngerinya kemalangan dan punca
kemalangan. Sebaliknya, kita gagal mengambil iktibar. Kita tidak
pernah mengharapkan semua ini berlaku dan kita tidak mahu pun ia
berlaku. Apa yang penting, sudah tiba masanya pengguna bekerjasama
dengan kerajaan. Kerajaan tidak mampu bertepuk sebelah tangan dan
jangan hanya memandang ia sebagai tragedi,” katanya.
Prof Dr Ahmad yakin sudah tiba masanya semua pengusaha bas
mempraktikkan secara keseluruhan Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan
Persekitaran (SHE) bagi mengurangkan kemalangan terutama bas ekspres.
Kod amalan itu, mencakupi komitmen pengurusan tertinggi syarikat
terhadap keselamatan, pengurusan pemandu, pengurusan kenderaan,
pengurusan risiko dan perjalanan dan pengurusan dokumen pengurusan
kenderaan.
SHE tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
(OSHA 1994). Kod ini diperkenalkan pada 2007 dan Kabinet memutuskan
untuk mewajibkan semua pengusaha kenderaan melaksanakan Kod Amalan
SHE.
Mengulas penggunaan Alat Sistem Kedudukan Global (GPS), Prof Dr Ahmad
berkata, penggunaan ‘technology in a vacuum’ bukanlah sesuatu yang
digalakkan kerana Kod Amalan SHE dilihat lebih sesuai berbanding
kebergantungan terhadap alat elektronik.
Walaupun diperkenalkan tiga tahun lalu, masih ramai pengusaha bas
tidak memahami kod amalan SHE, apatah lagi untuk menjadikannya sebagai
salah satu syarat wajib lesen. Perkara ini pernah didedahkan Pengerusi
LPKP, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
“Apabila kita ambil keputusan jadikan SHE syarat lesen, rupanya hampir
semua syarikat tak faham apa itu jawatankuasa dan polisi SHE, inikan
pula nak tubuhkan audit dalaman... mereka tak faham apa patut dibuat.
Oleh kerana mereka tidak faham, kita tak dapat kuatkuasakan SHE.
“Jadi, sekarang kita nak beri kefahaman kepada mereka dulu. Justeru,
selepas kita selesai memberi penerangan kepada mereka mengenai SHE,
kita akan beri mereka tempoh tiga bulan untuk bangunkan ketiga-tiga
elemen ini dan kemudian baru boleh kenakan tindakan penguatkuasaan,”
katanya.