Umno
pembela bahasa Melayu? Biar betul, Rais!
|
|
Posted on Thursday, July 15 @ 17:57:05 PDT by
tokdalang
Oleh Mat Zain Mat Isa
Suatu yang lumrah
saban tahun tatkala berla

ngsungnya mesyuarat agung atau
perhimpunan Umno di mana-mana peringkat pun, suara-suara menyentuh
ketuanan politik Melayu, nasib ekonomi bangsa Melayu dan berbagai lagi
cabang kepentingan kaum itu berkumandang di sana-sini.
Persepsi yang sekian lama dibentuk ialah hanya Umno
pejuang tulen hak dan kepentingan Melayu. Parti atau kumpulan lain,
betapa pun mereka itu berjaya membuktikan komitmen terhadap perjuangan
Melayu, seakan tidak diiktiraf kesungguhan dan keikhlasan mereka.
Apa-apa jua berkaitan dengan usaha memartabatkan Melayu tidak akan sah
tanpa membabitkan parti itu.
Dari sudut lain, apa
juga pencapaian dan keistimewaan dinikmati orang-orang Melayu dewasa
ini semuanya mahu dipulangkan kepada usaha dan jasa Umno.
Seolah-olahnya tidak ada Melayu tanpa Umno dan tidak terbela hak dan
kepentingan bangsa tanpa parti Melayu itu.
Kepercayaan khurafat
yang memutlakkan kelangsungan hak Melayu hanya pada Umno itu menjadi
modal paling ampuh buatnya mengekalkan kuasa politik. Bila-bila saja ia
merasa perlu demi menyelamatkan keadaan, Umno akan memalu gendang
perkauman Melayu.
Dalam hal ini ada
benarnya pengamatan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
dua minggu lalu berhubung tahap pendaftaran pengundi baru yang sangat
rendah di kalangan orang Melayu. Pendedahan yang kononnya hasil kajian
Pemuda Umno itu baginya hanyalah taktik halus parti Melayu itu
membangkitkan sentimen di kalangan pengundi kaumnya.
Telahan itu agak
tepat apabila pendedahan Pemuda Umno itu tidak terhenti di situ. Ia
disusuli luahan kebimbangan pelbagai pihak, terutama pemimpin dan
pengamat politik Melayu. Rata-rata mereka menjuruskan andaian kononnya
jika peratusan pengundi Melayu semakin merosot, kuasa politik Melayu
kemungkinan akan terhakis.
Rakyat cuba
ditakutkan dengan kemungkinan yang sengaja dilontarkan itu. Jika nasib
Umno baik, sentimen kaum itu akan menguasai suasana. Ketika itu mudah
lah bagi Umno menobatkan dirinya juara Melayu dan kembali meyakinkan
orang Melayu bahawa hanya dengan mengembalikan sokongan padu kepada
parti itu dapat menjamin terpeliharanya hak dan kepentingan Melayu.
Kini, Umno melebarkan
lagi cakapnya mengenai perjuangannya untuk bangsa. Selain kuasa
politik, Umno mendakwa hanya dengan berpaut kepadanya orang Melayu akan
dapat memastikan hak bahasa Melayu diperjuangkan.
Bunyinya agak
meloyakan. Namun itulah loyar buruk terbaru dari Menteri Penerangan,
Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Dr Rais Yatim. Beliau mendakwa
Umno sebagai pembela dan penegak kepada usaha memartabatkan bahasa
Melayu.
“Sebagai ahli Umno,
kita mesti memperjuangkan isu berkaitan hak bahasa Melayu. Ia penting
untuk memastikan kaum lain menghormati kita,” katanya selepas perasmian
Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Tinggi, Ahad (11 Julai).
Untuk itu, beliau
meyeru ahli Umno kembali merujuk tanggungjawab mereka berhubung perkara
itu sepertimana dimaktubkan dalam Fasal 3 Perkara 5 Perlembagaan Umno
yang menetapkan bahasa Melayu dijamin kedudukannya sebagai bahasa rasmi
yang tunggal.
Kita tidak arif
tentang perlembagaan Umno dan kita juga tidak kelubur nak ambil tahu.
Jika benar fasal itu berbunyi demikian, kita terima seadanya. Namun,
sekadar memaktubkannya dalam perlembagaan parti tidak menjadikan Umno
secara automatik pelindung dan pembela bahasa Melayu.
Kita tentu lebih
percaya kepada realiti dihadapi bahasa ibunda di bawah pemerintahan
Umno. Keluh-kesah dan rintihan para pejuang bahasa sejak berdekad lalu
menceritakan bahawa pembelaan didakwa Umno itu lebih tepat dianggap
pengkhianatan terhadap bahasa Melayu.
Masakan tidak jika
peristiwa demi peristiwa protes dan kecaman keras pejuang bahasa sering
bersambungan sejak sekian lama. Demonstrasi Keranda 152 tanggal 3 Mac
1967 adalah contoh klasik protes rakyat terhadap sikap tidak
bertanggungjawab Umno dalam isu bahasa.
Para pejuang bahasa
berarak ke kediaman Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman untuk
menyampaikan bantahan kepada Majlis Tertinggi Umno yang bersidang pada
hari itu. Mereka mendesak Umno mempertahankan bahasa Melayu, ekoran
perbahasan Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967 di Parlimen.
Bagaimana pun
peristiwa bersejarah itu nyata tidak mengubah sikap liberal Umno
terhadap isu bahasa. Penodaan Dasar Bahasa Kebangsaan masih berterusan
hingga kini, terutama oleh pemimpin Umno sendiri.
Kita tentu masih
ingat bagaimana pemimpin kerajaan menghina pendirian pejuang bahasa
dengan memperkenalkan beberapa istilah yang amat dipertikaikan.
Antaranya, tema Hari Kebangsaan ‘Budaya Penentu Kecapaian’ yang
dipertikaikan tata bahasanya, tagline ‘Saluran Infotainmen Anda’ untuk
RTM, istilah ‘boulevard’ dan ‘presint’ di Putrajaya yang sepatutnya
memanfaatkan istilah bahasa Melayu.
Begitu juga dengan
pengenalan dasar pembelajaran yang mengutamakan bahasa Inggeris (BI)
dan mencabar kedaulatan bahasa Melayu, seperti dasar PPSMI, cadangan
wajib lulus BI untuk SPM, bahasa pengantar BI di universiti dan banyak
lagi.
Kita kira rakyat, terutamanya orang Melayu tahu sejarah-sejarah ini.
Maka jika kini Rais mahu mendabik dada sebagai pembela bahasa Melayu,
apakah itu bertepatan dengan realiti yang telah dilakukan Umno selama
ini?