


SELEPAS lebih 20 tahun, ikatan hubungan teknikal Mitsubishi dengan pengeluar kereta nasional Proton ditamatkan tahun lalu. Ini membuka ruang kepada pengeluar kereta Jepun itu untuk membuat kehadiran lebih aktif di Malaysia.
Ini kerana sepanjang menjadi rakan teknikal Proton, kenderaan Mitsubishi terutama yang dalam segmen sama yang dibekalkannya kepada Proton tidak dibawa masuk ke Malaysia. Lagipun, beberapa model kereta Proton sendiri seperti Saga/Iswara, Wira dan Satria ialah `penjelmaan' semula berasaskan beberapa Mitsubishi sendiri terutama model Lancer dan Colt.
Jadi untuk membuat kehadiran yang bermakna di rantau ini dan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan di Asean, Mitsubishi Motoros Corp (MMC) berpadu dengan Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON) menubuhkan Mitsubishi Motors Malaysia Sdn Bhd (MMM). Ikatan hubungan itu dimeteraikan Julai lalu dengan pecahan pegangan 60:40 antara MMC dan EON.
Baru-baru ini, kami sempat memandu uji tiga model Mitsubishi iaitu Lancer, Colt dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Grandis.
SESUAI dengan rekaan luaran yang serba kena,
bahagian dalaman Lancer lebih hebat sebagai
kereta sedan keluarga.
Mitsubishi Lancer
LANCER memanglah antara model kereta yang tersohor di dunia. Ini sudah tentulah disebabkan kegemilangan saudaranya, iaitu Lancer Evolution yang telah beberapa kali menjuarai rali dunia. Meskipun, kedua-duanya daripada satu bapa, Lancer tidaklah semahal waima secanggih Evolution.
Lancer ialah kereta sedan keluarga. Cinta pandang pertama! Mungkin, bergantung dari mana ia dipandang. Jika kali pertama, ia telah dilihat dari depan, anda memang kagum. Tapi dilihat dari belakang, memang perlukan penelitian lebih mendalam untuk menghargai jentera ini. Jurutera kereta sekarang mungkin sengaja membuat bahagian belakang terlalu subjektif untuk dihargai.
Setelah dipadankan dengan rekaan luaran yang serba kena, bahagian dalaman Lancer lebih hebat lagi. Komponen yang ditampilkan memang bermutu, tak adalah papan pemuka dibuat daripada plastik baldi. Mutu kemasan dan rona yang dipadankan menjadikan bahagian dalaman terasa luas. Bila duduk di kerusi, mereka yang dah pernah memandu Proton Wira tak akan rasa terasing.
Daripada aspek pemanduan, Lancer dilengkapkan dengan kotak gear INVECS-III CVT dan enjin MIVEC 1600cc membuatkan Lancer memang pikap dan laju. Ia turut menjimatkan minyak kerana pada kelajuan 120km, enjin berputar pada sekitar 3,000rpm, cuma enjin jentera ini memang mengaum kuat pada rpm tinggi.
Sebagai kereta laju dan moden, Lancer dipadankan dengan kit keselamatan yang setaraf seperti dua beg udara, brek cegah kunci (ABS), EBD dan casis tegar RISE.
Dengan keadaan sebegini serta sistem gantungan yang selesa, Lancer memang sebuah kereta keluarga yang layak bersaing dengan model sedan keluarga lain.
COLT nampak comel dan kontot tapi luas di
dalam sesuai untuk anak muda yang minat melaram.
Mitsubishi Colt
COLT ialah model terkecil dalam koleksi Mitsubishi, begitupun ia juga yang paling comel. Ia menggalas saingan Mitsubishi bersaing dengan beberapa nama kereta kompak terkemuka lain seperti Citreon C3, Aveo dan Honda Jazz umpamanya. Colt ada kelebihan sendiri untuk bersaing.
Colt ialah antara kereta zaman mutakhir ini yang memperjelaskan tentang konsep ruang. Colt nampak comel dan kontot, tapi luas di dalam.
Colt sesuai untuk keluarga muda atau anak muda yang hendak melaram. Di kalangan kereta Mitsubishi Colt yang paling ranggi dan agresif dengan pikap mencanak-canak. Begitupun, ia tidak kurang daripada aspek keselamatan. ABS, EBD dan casis tegar RISE ialah ciri standard.
Colt dipadankan dengan rekaan kerusi yang anggun tetapi sporty. Kalau perlukan lebih ruang kargo, kerusi belakang boleh dilipat atau ditolak ke depan.
Colt dijana enjin MIVEC empat selinder sebaris 1. 5 liter 16 injap DOHC yang menghasilkan 105bhp and 141Nm of torque.
Rekaan menarik Colt menjadikannya seperti magnet yang pasti menarik perhatian ramai. Tapi yang penting, Colt bukan setakat cantik tapi ia turut memberikan kepuasan pemanduan terutama penglihatan yang tiada halangan disebabkan ruang cermin yang luas di sekelilingnya.
Dengan penampilan bercita rasa Eropah, Colt memang cantik, selesa, ruang dalaman yang anggun ditokok pula dengan ciri penjimatan minyak, maka mereka yang berduit memang patut pertimbangkan Colt jika sedang mencari kereta dalam segmen ini.
GRANDIS yang cantik pasti menarik perhatian
ramai untuk menghargai dan meletakkan status
tinggi kepada pemiliknya.
Mitsubishi Grandis
GRANDIS ialah MPV yang cantik menawan berbanding kebanyakan MPV yang kelihatan terlalu kotak seperti sebuah minivan. Grandis ditampilkan dengan rekaan dan lengkuk alur badan yang agresif tetapi kekal menawan. Grandis bukanlah sebuah MPV biasa tetapi ia adalah model pengangkutan darat kelas satu.
Di Malaysia, Grandis didatangkan dengan enjin 2.4 liter petrol empat selinder MIVEC iVTC. Ia menghasilkan 165bhp @ 6,000rpm dan tork maksimum 217Nm pada 4,000rpm. Kuasa yang sebegitu besar digandingkan dengan kotak gear mantap INVECS-II dengan mod sport menjadikan jentera ini lebih mantap dipandu.
Meskipun saiznya yang besar, tidak ada masalah membuang dengan Grandis. Masalah membuang ialah ciri biasa bagi kenderaan besar seperti MPV. Ini tidak terjadi kepada Grandis kerana pusat graviti yang rendah.
Setaraf dengan kedudukannya sebagai pembawa tujuh penumpang kelas satu, Grandis bukanlah murah. Tetapi gayanya yang agresif, cantik dan kemewahan serta kelakuan di jalan raya seperti sebuah kereta menjadikan memandunya suatu pengalaman menarik. Rupanya yang cantik pasti menarik perhatian ramai untuk menghargai dan meletakkan status tinggi kepada pemiliknya.
--
Posted by Muhammad to Malaysia Daily at 10/20/2005 12:55:00 AM