


SPESIFIKASI
ENJIN: 2.0 14 DOHC
Anjakan: 1,975 cc
Kebuk & Lejang: 82 x 93.5 mm
Kuasa maksimum: 138bhp/6,000 rpm
Tork maksimum: 17.8 kg/m/4,500 rpm
TRANSMISI: Automatik, 4 kelajuan
Tangki Penuh: 55 liter
Kelajuan maksium: 181 km sejam
Pecutan 0-100 km: 11.8 saat
HARGA: RM79,888
MODEL kedua Naza Kia Sdn Bhd (Naza Kia), Naza Citra merealisasikan komitmen syarikat itu sebelum ini untuk menghasilkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) tujuh tempat duduk yang berkualiti dan mampu dimiliki sebahagian besar rakyat berikutan harganya yang sungguh kompetitif.
Naza Citra ialah klon kenderaan pelbagai guna tujuh tempat duduk kompak keluaran Kia Motors Corporation (KMC), Kia Carens. Cuma bezanya, Citra dizahirkan kepada umum sesudah menjalani proses penggayaan menyeluruh dan ditokok tambah dengan pelbagai kelebihan terutamanya, enjin lebih berkuasa 2.0 liter DOHC.
Pengarah Urusan Naza Kia, Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin pada majlis pelancaran Citra, Selasa lalu menjelaskan, syarikat bertekad menghasilkan sebuah MPV yang setanding kalau pun tidak melebihi MPV yang diimport dari segi kualiti dan spesifikasinya serta dengan harga berpatutan serta mampu dimiliki sebahagian besar pengguna.
Ini sejajar janji syarikat sewaktu Kumpulan Naza diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk mengeluarkan MPV berjenama Naza yang pertama iaitu Naza Ria, yang dikeluarkan pada November 2003.
Lebih 1,000 unit Kia Citra akan dikeluarkan sebulan dari kilang milik Kumpulan Naza, Naza Automotive Manufacturing Sdn Bhd (Naza Automotive) di Gurun, Kedah dan mensasarkan jualan 18,000 unit tahun ini.
Penggayaan semula menyeluruh model itu dilaksanakan oleh kakitangan Naza Automotive dengan kerjasama pusat rekaan dari Korea dan KMC.
“Pelancaran model kedua Naza ini membuktikan bahawa kami sentiasa terbuka untuk menerima cabaran baru pada setiap masa dan meneruskan kesinambungan daripada produk Naza Kia yang pertama - Naza Ria, iaitu MPV nasional pertama,” kata Nasimuddin pada majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Naza Citra yang dilengkapkan dengan enjin 2.0 liter DOHC (automatik) didatangkan dengan harga jualan sebanyak RM79,888 seunit bagi pendaftaran persendirian.
Naza Citra dibangunkan dalam tempoh 12 bulan dengan memanfaatkan kepakaran teknikal tempatan dan Korea. Naza Kia menjangkakan model itu akan mendapat sambutan hangat berikutan harga dan spesifikasi yang menarik sejajar dengan kehendak keluarga di Malaysia sekarang.
“...(secara asasnya) dengan memiliki Naza Citra, anda akan pergi lebih jauh... dengan memperoleh kenderaan lengkap dan sempurna pada harga yang sangat berdaya saing. Citra memberikan nilai untuk wang,” kata Nasimuddin.
Naza Citra yang dilengkapkan dengan enjin yang lebih berkuasa, 2.0 liter DOHC dengan anjakan 1,957 cc berbanding 1.8 liter pada model siap bina (CBU) - Carens sedia ada. Naza Citra menghasilkan kuasa sebanyak 138 bhp pada 6,000rpm dan tork maksimum 17.8kg/m pada 4,500 rpm.
MPV ini digerakkan oleh pacuan roda depan bagi menghasilkan lebih cengkaman, ideal untuk pemanduan di atas jalan basah dan licin. Bagi memastikan kemantapan pemanduan, Citra dipadankan dengan penyerap hentakan (absorber) suntikan gas dan pegas gegelung.
Jentera yang kompak dan kemas ini menawarkan kecekapan optimum dalam penggunaan minyak, mengurangkan pengeluaran asap berikutan penggunaan system suntikan bahan api yang direka khusus untuknya.
Daripada aspek kemasan, Citra menawarkan pakej aksesori standard yang hampir tiada bandingan dalam segmen kenderaan sekelasnya. Panel pempamer berwajah baru, konsol tengah berbentuk seperti muka pending dan kemasan metalik adalah antara pembaharuan paling menyerlah pada Citra.
Bahagian dalaman Citra menyerlah dengan roda stereng yang anggun dan kemasan dalaman dua tona. Ia turut menampilkan pelbagai ruang simpanan termasuk poket di belakang kerusi, poket di pintu yang disepadukan dengan ruang botol, kotak konsol di tempat alas tangan, pemegang cawan dan konsol atas kepala yang menyediakan ruang menyimpan kaca mata, jam digital dan lampu denyar.
Sistem kunci berpusat dan tingkap kuasa adalah ciri standard dan dua punca kuasa, masing-masing satu dalam kabin penumpang dan ruang barang. Bagi mengelakkan kebosanan dalam perjalanan, Citra menampilkan sistem audio enam pembesar suara dan pemain cakera padat (CD).
Melihatkan spesifikasi dan harga MPV ini, Naza Citra direka dan dihasilkan lebih daripada jangkaan pengguna. Setiap inci bahagian dalaman jentera ini memperjelaskan erti sebenar ergonomik. Tempat duduk direka rapi untuk mengurangkan keletihan. Ia adalah jentera pembawa manusia yang biasanya hanya diperoleh pada kenderaan yang sekali ganda daripada harganya.
Seperti yang dikatakan Nasimuddin, Naza Citra akan menjadi kenderaan paling sempurna kerana ia memberikan nilai untung wang pembelinya.
“Ia janji niaga terbaik yang anda boleh dapat. Semua ciri yang diperlukan pada sebuah kenderaan keluarga, ada pada Naza Citra,” katanya.
Tidak lengkap jika kenderaan sempurna tidak mempunyai ciri keselamatan unggul. Justeru, perhatian besar diberikan jurutera dalam merumus aspek keselamatan jentera ini. Risiko kecederaan serius dada dalam kemalangan dikurangkan dengan tali keledar prategangan berasaskan berat penumpang, dua beg udara – untuk pemandu dan penumpang depan, sistem brek cegah kunci (ABS) yang disepadukan dengan sistem agihan daya membrek elekronik (EBD). Sistem ini mengagihkan kuasa membrek yang sekata kepada keempat-empat cakera brek dalam keadaan brek kecemasan.
... dan bagi melengkapkan keanggunan gaya keseluruhan model ini, ia didatangkan dengan bumbung suria yang menggunakan elektrik dan boleh dilaras condong mengikut kehendak pemiliknya.
Naza Citra dikeluarkan dalam enam warna iaitu Black Metallic, Crome Silver, Red Turbo, Diamond Silver, Hollywood Blue dan Baltic Grey.
Naza Citra akan meneruskan kesinambungan kecemerlangan MPV pertama keluaran Naza Kia iaitu Ria, sebuah MPV besar yang datang dengan tanda harga yang mengejutkan para pesaingnya. Justeru, Citra memperjelaskan penekanan diberikan pengeluarnya terhadap ciri-ciri keselamatan, keselesaan, kekeluargaan dan penjimatan.
Kumpulan Syarikat-Syarikat Naza memulakan operasi pada 1976, menjalankan perniagaan import kenderaan terpakai dan dibaik pulih. Kumpulan itu sekarang menerusi anak syarikatnya, mengedarkan pelbagai jenama kenderaan termasuk Mercedes-Benz (CBU), Kia, Peugeot (CBU), Bently, Ferrari dan Maserati.
--
Posted by Muhammad to Berita Melayu at 10/28/2005 06:20:00 PM