BAGHDAD - Bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein yang dihadapkan ke Tribunal Khas Iraq di sini hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan kes pembunuhan 143 lelaki Syiah di Dujail pada 1982.
Beliau membuat pengakuan itu selepas Ketua Hakim, Rizgar Mohammed Amin membacakan pertuduhan tersebut yang merangkumi pembunuhan secara terancang dan penindasan tahanan politik.
Perbicaraan hari pertama ke atas Saddam bermula dalam suasana tegang apabila bekas pemimpin Iraq itu enggan duduk untuk memperkenalkan dirinya selepas diminta berbuat demikian oleh Rizgar.
Saddam selepas itu menyoal Rizgar dengan berkata: ``Siapa kamu? Saya ingin mengetahui siapa kamu.''
Saddam yang memakai jaket gelap dan baju berwarna putih selanjutnya memberitahu Rizgar dengan nada tegas: ``Kamu adalah warga Iraq dan kamu mengenali siapa saya sebenarnya.''
``Saya tidak akan menjawab kepada mahkamah ini kerana ia diwujudkan ketika Iraq masih di bawah penjajahan tentera asing. Justeru, saya mempertahankan hak perlembagaan sebagai Presiden Iraq,'' tegas beliau.
Rizgar, seorang rakyat Kurdis sekali lagi mengarahkan Saddam untuk memperkenalkan diri namun beliau masih berdegil. Saddam akhirnya duduk.
Saddam yang digulingkan oleh tentera penceroboh pimpinan Amerika Syarikat (AS) pada April 2003 berjaya ditangkap lapan bulan kemudian.
Perbicaraan ke atas Saddam hari ini dikendalikan oleh lima hakim dan jika sabit kesalahan, bekas presiden Iraq itu boleh dijatuhi hukuman mati.
Selain dakwaan ke atas pembunuhan beramai-ramai di Dujail, Saddam juga turut menghadapi lima tuduhan lain iaitu pembunuhan tahanan politik sekitar tahun 1974 hingga 1983, penghapusan kawasan paya Arab (1980-1988), penghapusan etnik masyarakat Kurdis di Halabja pada 1988, penaklukan ke atas Kuwait (1990) dan penindasan politik di wilayah selatan Baghdad pada 1991.
Defendan-defendan lain yang hadir pada perbicaraan hari ini ialah bekas Naib Presiden Iraq, Taha Yassin Ramadan; adik tiri Saddam, Barzan Hassan al-Tikriti; bekas Ketua Mahkamah Revolusi Iraq, Awad Hamed al-Bandar; Abdullah Kadhem Ruaid, Ali Daeem Ali; Mohammed Azawi Ali dan Mizher Abdullah Rawed.
Kesemua defendan terbabit diletakkan di tiga baris kerusi dalam kandang besi yang terletak di tengah-tengah mahkamah.
Rizgar memulakan sesi perbicaraan dengan mengarahkan seorang demi seorang defendan masuk ke bilik perbicaraan dan Saddam merupakan defendan terakhir sambil diiringi oleh dua pegawai keselamatan Iraq.
Peguam bela Saddam, Khalil al-Dulaimi kemudiannya meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan itu.
Beliau berbuat demikian bagi membolehkannya mengkaji sedalam-dalamnya dokumen setebal 800 halaman yang dikumpul oleh para penyiasat berhubung dengan kekejaman Saddam itu.
Semasa sesi perbicaraan ditangguhkan pada waktu rehat, Saddam kelihatan berdiri sambil tersenyum.
Namun begitu, apabila dua orang pengawal cuba memegang tangannya untuk mengiringinya keluar, beliau kelihatan marah dan cuba melepaskan diri.
Pergelutan di antara Saddam dan pengawal terbabit berlanjutan selama seminit dengan menyaksikan kedua-dua pihak saling menjerit di antara satu sama lain.
Ia berakhir dengan Saddam diberi kebenaran untuk keluar dari bilik perbicaraan secara bersendirian dengan kedua-dua pengawal mengikut di belakangnya.
Hakim Rizgar kemudian menetapkan perbicaraan itu disambung semula pada 28 November ini.
--
Posted by Muhammad to Malaysia Daily at 10/20/2005 12:51:00 AM