RAMADAN yang dijanjikan Allah dengan rahmat, maghfirah dan pembebasan daripada api neraka adalah suatu motivasi bagi umat Islam memakmurkannya dengan melakukan amal soleh. Tujuannya satu iaitu mencari keredaan-Nya.
Pada bulan mulia ini umat Islam beramai-ramai ke masjid dan surau untuk melakukan pelbagai ibadah. Mereka yang mengimarahkan masjid diberi penghargaan tertinggi di sisi Allah. Firman-Nya bermaksud : "Sesungguhnya yang layak memakmurkan (menghidup) masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat itu), maka adalah diharapkan mereka tergolong daripada orang yang mendapat petunjuk." (Surah at-Taubah ayat 18).
Mengimarahkan masjid pada bulan yang dilimpahi kemuliaan ini, bukanlah bersifat tradisi. Ia adalah amal soleh yang dipandang tinggi di sisi agama. Tradisi berbuka puasa di masjid adalah contoh terbaik bukan hanya dapat mengimarahkan masjid sebagai rumah Allah, malah mengeratkan silaturahim sesama Muslim.
Penyediaan juadah berbuka untuk jemaah pula sebagai kemudahan bagi umat Islam, di samping sentiasa bersyukur di atas nikmat makanan yang diperoleh. Ini kerana, tidak semua orang dapat mengecapi nikmat itu.
Mengimarahkan masjid dapat membentuk peribadi insan unggul dan membina tahap disiplin tinggi. Contohnya, umat Islam diajar supaya memperbetulkan saf ketika hendak solat berjemaah. Kita juga dididik supaya beratur ketika mendapatkan makanan, tidak berebut-rebut, memberi laluan kepada kanak-kanak, wanita dan orang tua. Begitu juga tidak bercakap atau ketawa ketika menikmati juadah.
Ilmu adab ketika mengambil makanan dan sebagainya ini tidak diperoleh dalam buku saja. Malah, pengalaman mengajar manusia erti memasyarakatkan masjid sebagai institusi mulia dan insan sebagai penggerak ketamadunan.
Selain itu, manusia beriman perlu bersyukur setiap apa yang diperolehnya. Setiap suap yang masuk ke rongga mulutnya adalah pemberian Allah. Bersyukur adalah nilai asas yang wajib dipupuk bagi mendekatkan diri manusia dengan Penciptanya dan sesama makhluk. Bersyukur wajib meliputi setiap perkara yang ada dalam kehidupan sama ada sedikit atau banyak yang kita peroleh. Sekiranya apa yang diharapkan tidak diperoleh, hendaklah bersyukur. Hal ini kerana mungkin di situ ada hikmah tersembunyi.
Allah memberi ingatan melalui firman-Nya bermaksud : "(Dalam pada itu, manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (dia tidak hendak bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya "Tuhanku telah memuliakan daku". Dan sebaliknya apabila diuji oleh Tuhannya dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan resah gelisah serta merepek dengan katanya "Tuhanku telah menghinakan daku".” (Surah al-Fajr, ayat 15 hingga 16).
Ramadan juga medan terbaik bagi ibu bapa untuk mendidik anak mendekatkan diri dengan masjid dan persekitarannya. Ia juga tempat bagi mendisiplinkan diri dengan pelbagai ilmu, adab susila dan sebagainya sebagai persediaan menghadapi kehidupan apabila dewasa kelak.
Tabiat kanak-kanak yang suka berlari-lari, kejar mengejar, menjerit, menangis, mencetuskan suasana bising dan sebagainya boleh diubah kepada yang lebih berdisiplin. Ibu bapa harus memainkan peranan lebih aktif dengan membekalkan anak dengan ilmu bagaimana hendak melaksanakan solat dengan sempurna, menerangkan kedudukan saf dan sebagainya.
Inti pati ibadat solat ialah khusyuk ketika menunaikannya. Nikmat khusyuk tidak dapat diperoleh sekiranya anak menimbulkan suasana bising dan mengganggu kekhusyukkan jemaah.
Ramadan menghidangkan umat Islam dengan pelbagai keistimewaan sama ada tersirat atau tersurat. Umat Islam perlu bijak mengatur kehidupan mereka pada bulan mulia ini dengan berlumba-lumba melakukan kebajikan. Mereka perlu banyak memohon keampunan daripada Allah serta mengharapkan keberkatannya berkekalan dalam kehidupan.
--
Posted by Muhammad to Malaysia Daily at 10/20/2005 12:54:00 AM