[Berita Melayu] Ubah selera di tanah tinggi

4 views
Skip to first unread message

Muhammad

unread,
Oct 28, 2005, 9:21:05 PM10/28/05
to malay...@googlegroups.com


Kedinginan udara Bukit Tinggi memberi pengalaman menarik menikmati juadah antabangsa sambil menikmati panorama indah

SESEKALI apa salahnya mendaki Bukit Tinggi, Pahang hingga ke puncak Colmar Tropicale Resort untuk menikmati hidangan berbuka? Walaupun terkenal sebagai resort bertema Perancis, Colmar Tropicale yang hanya terletak 40 minit dari Kuala Lumpur menerusi Lebuhraya Karak, sebenarnya menyediakan buat anda lima kedai yang setiap satunya menyediakan hidangan berbeza.

Dikelilingi hutan hujan tropika menghijau dengan seni bina gaya Swiss-Perancis, ada deretan kedai yang boleh anda kunjungi untuk berbuka puasa. Jika anda lebih selesa berbuka dengan hidangan tempatan, singgah saja ke La Blason yang menyediakan hidangan antarabangsa dan tempatan secara bufet dan ala carte.

Walau di “Perancis” anda boleh menikmati hidangan enak laksa utara, roti john, sup kambing, rojak buah, kerabu, char kue teow Penang dan pelbagai lagi. Teh Tarik tentunya termasuk dalam menu selain pelbagai hidangan pastri yang menawan selera. Jika anda mahukan hidangan secara ala carte, mungkin boleh cuba nasi goreng special ala Colmar yang sangat enak. Atau jika mahu hidangan barat, boleh saja memesan fish and chip.

Menu berbuka ini bertukar setiap minggu dan kerana Colmar selalunya menjadi pilihan berbuka di hujung minggu, justeru jika anda berkunjung pada Sabtu dan Ahad, pelbagai menu menanti anda berbanding jika berkunjung pada hari-hari bekerja. Lebih bagus jika anda menginap kerana ketika ini, promosi bilik berserta sahur sedang berlangsung dengan hanya RM80 seorang.

Tetapi, jika sudah berada di Colmar Tropicale, mengapa tidak menukar selera. Bagaimana jika mencuba hidangan Perancis? Singgahlah ke La Cigogne yang menjanjikan pengalaman menikmati hidangan Perancis yang cukup enak selain dekorasinya yang menawan hati. Anda mungkin boleh mencuba fois grass dan choucroute selain pelbagai pilihan kek yang bukan saja cantik hiasannya tetapi enak juga rasanya.

Kata orang, perut orang Malaysia hanya mahukan nasi untuk berbuka, tetapi jika berubah fikiran, nikmatilah pilihan ayam panggang di Le Poulet Roti. Di sini pelbagai jenis ayam panggang menjadi menu. Manis rasa ayam dipanggang tentu saja menawan selera. Baunya yang harum semerbak sudah mengetuk hati anda untuk berbuka di sana. Jangan risau, si kecil anda tentu suka hidangan ayam yang panas, manis dan lembut dagingnya.

Selepas berbuka, mungkin anda masih mahu menikmati hidangan. Sambil menghirup udara sepoi-sepoi bahasa, singgalah di La Flamme, hidangan Itali yang menyediakan pelbagai jenis pastri, pasta, pizza dan apa saja hidangan yang dikaitkan dengan Itali. Sambil menikmati secawan teh, cubalah nikmati carzone, menu seakan pizza tetapi dibalut seperti roti pita. Rasanya, cukup enak apatah lagi jika perut sedang berkeroncong.

Satu lagi restoran yang menanti anda dengan pelbagai pilihan roti-roti segar dan enak tentu saja La Boulangerie. Di sini pelbagai hidangan roti Perancis ada tersedia. Jika anda berkunjung selepas jam sembilan malam, semua pastri diberi potongan harga 50 peratus. Sesekali bagus juga bercanda di laman La Boulangerie dengan teh panas dan sepiring pastri sambil berangan-angan sendiri, alangkah bagus jika hidup selalu begini. Jauh dari serabut kota jauh dari kesesakan jalan raya.

Jika hidangan berbuka tidak mencukupi, anda masih mahu menikmati pencuci mulut, singgah saja di La Glacier, yang menghidangkan pelbagai pilihan ais krim. Melihat ais krim pelbagai warna sudah kecur air liur dan hati-hati memilihnya kerana pelbagai rasa yang dijual mungkin membuat anda rambang mata memilih.

Ketika ini Colmar popular sebagai destinasi berbuka puasa di hujung minggu.

Kata Pengurus Besarnya, Teh Ming Wah, sejak lima tahun ia dibuka, imej Colmar sebagai resort di tengah hutan hijau tropika selalu dikaitkan dengan percutian romantis. Masakan tidak, dengan seni bina utara Perancis yang sedikit dipengaruhi seni bina Swiss, Colmar selalu dipenuhi pengunjung pada musim cuti sekolah, hujung minggu, hari Valentine dan cuti umum.

“Tapi untuk Ramadan istimewa juga kerana kami mempromosikan hidangan berbuka dengan penginapan sekali berserta sahur,”katanya.

Bagi anda yang belum pernah mengunjungi Colmar Tropicale, resort ini tentu saja menawan hati anda. Dari jauh, seni binanya yang cantik dan berwarna warni akan membuatkan hati anda berdebar. Melangkah masuk saja, irama lagu-lagu Perancis yang dilagukan penuh perasaan mengekori jejak. Masuk ke bilik penginapan, dekorasi kamar tidur cukup menjadi anda tidak mahu pulang.

Justeru, jika tidak ke mana-mana hujung minggu ini, buatlah temu janji dengan suami atau isteri atau mungkin ibu dan ayah untuk berbuka di Colmar. Anda bukan saja kenyang dengan hidangan enaknya tetapi juga pemandangan indahnya!

--
Posted by Muhammad to Berita Melayu at 10/28/2005 06:16:00 PM
Reply all
Reply to author
Forward
0 new messages