

LEGENDANYA bermula pada abad ke-9 di Ethiopia apabila seorang pengembala kambing mendapati kambing miliknya memberikan riak luar biasa sebaik saja selepas meragut buah kopi di sebuah ladang.
Patutlah ramai yang setuju, kopi adalah jamu paling mujarab dan ringkas untuk berjaga malam ataupun sebagai pengganti pil supaya kelihatan cergas sentiasa.
Kini selepas sekian lama sebati sebagai minuman pagi kepada masyarakat seluruh dunia, kopi dipelbagaikan lagi dengan hadirnya beraneka rasa, sama ada yang pekat, manis, berkrim atau dikisar dengan ketulan ais. Semuanya berasaskan biji kopi dari spesis arabica dan rabusta.
Maka lahirlah, lambakan kedai kopi moden atau kafe kontemporari di persisiran jalan atau di dalam premis membeli-belah yang sekali gus berjaya mengundang minat generasi muda untuk bertandang.
Mengalahkan golongan tua yang suka bertenggek di kedai kopi, muda mudi hari ini juga tidak kurang hebatnya. Seolah-olah kafe berkenaan sudah menjadi rumah kedua mereka.
Tapi apa yang dihirupnya sama saja, iaitu minuman berasaskan kopi. Cuma yang membezakannya ialah faktor lokasi, suasana sekeliling, reka bentuk dan hiasan dalamannya.
Malah ada yang klasifikasikan sebagai hight standard, mungkin kerana harganya lebih mahal berbanding secangkir kopi kedai kopi biasa.
Pengurus Bahagian Minuman Nestle Products, Michiel Kernkamp berkata, budaya meminum kopi di kedai kopi atau kafe kontemporari sebenarnya mula wujud sejak abad ke-9 lagi iaitu ketika kopi mula di bawa atau diperkenalkan masayarakat dunia Islam di Parsi, Timur Tengah dan Afrika Selatan.
Budaya ini kemudiannya menjadi semakin popular di Amerika Syarikat pada akhir 80-an dengan wujudnya pelbagai kedai kopi moden yang membolehkan pelanggan membuat pelbagai seleksi kopi, sama ada untuk diminum di situ atau bawa pulang.
Katanya lagi, tabiat meminum kopi seseorang individu dapat dipastikan ketika berusia antara 16 hingga 18 tahun. Bagaimanapun ia boleh tumbuh lebih awal jika ada ahli keluarga terdekat yang mengamalkan tabiat itu.
Bagaimanapun, tidak semua individu yang meminati minuman mengandungi kafein tinggi ini. Alasannya mungkin kerana tidak sanggup berhadapan masalah ketagihan atau kesukaran tidur selepas menghirup beberapa teguk minuman berkenaan.
“Kalau orang kata kopi boleh membangkitkan tumpuan, tapi untuk saya tidak sama sekali. Sebaliknya fokus saya lebih bercelaru. Rasa nak menjerit. Mencubanya? Oh! Tidak sama sekali,” kata individu yang namanya enggan disiarkan.
Apa kata mereka?
Calvin Thoo, 34, Kuala Lumpur
“Kafe pilihan saya ialah Dome Cafe, Bukit Bintang. Bukan saja pilihan kopinya seperti moca dan cafe latte yang menjadi kegemaran saya tapi di sinilah meet point paling ideal untuk bersama rakan.
Tambahan pula, kerjaya saya sebagai pereka fesyen kerap menuntut saya untuk bertemu pelanggan dan di sinilah lokasinya. Lagipun saya sudah biasa dengan kafe seperti ini ketika menuntut di Australia lagi,”.
Syuhada Ramli, 19, Kelantan
“Antara kopi dan teh, saya lebih suka teh. Bukan apa, bila minum kopi saya akan susah nak tidur. Kalau nak diikutkan pun saya jarang minum kedua-dua minuman ini.
“Duduk di kafe kontemporari? Rasanya membuang masa saja. Saya lebih selesa duduk di bilik dan belajar,”.
Mohd Azuan Jamalludin, 21, Selangor
“Minum di kedai kopi biasa seperti mamak atau kafe kontemporari adalah hak individu. Nak dikatakan saya memang penggemar kopi dan selalunya kedai mamaklah yang menjadi pilihan saya.
“Bagi saya daripada keluar duit di kafe mahal seperti ini, lebih baik minum saja di kedai mamak. Dengan hanya RM5, macam-macam boleh dapat, kopi O kegemaran dan beberapa keping roti canai,”.
Soal jawab i-Kon bersama Pengurus Kanan, Dietetik & Dietari Institut Jantung Negara, Mary Easaw-John
i-Kon: Faktor seseorang itu meminum dan menggemari kopi?
Mary: Amalan ini sudah bermula sejak berabad lalu. Sangat popular sebagai minuman pagi atau memulakan hari.
i-Kon: Isi kandungan dalam secawan kopi?
Mary: Secawan kopi segera - 3 kalori; Secawan kopi Au Lait - 70 kalori; Secawan cafe latte - 85 kalori; Secawan expresso - 5 kalori
i-Kon: Kesan pengambilan kopi secara berlebihan kepada kesihatan manusia?
Mary: Ketagihan kafein dan akan berhadapan dengan beberapa simptom jika berhenti secara mengejut. Selalunya seperti pening, keletihan, mual dan tertekan.
i-Kon: Kuantiti atau bilangan cawan kopi yang disyorkan diambil dalam sehari?
Mary: Untuk dewasa, 200 hingga 300 miligram kafein iaitu dua hingga tiga cawan kopi.
i-Kon: Bolehkah kanak-kanak meminum kopi? Adakah kesannya sama seperti golongan dewasa?
Mary: Kanak-kanak tidak digalakkan meminum kopi. Mereka disyorkan meminum susu, susu berperisa, jus dan air kosong.
i-Kon: Dalam lingkungan usia berapa tahun seseorang itu digalakkan meminum kopi?
Mary: Tiada had umur, tapi selalunya ketika remaja.
i-Kon: Mengapa remaja kurang berminat dengan kopi asli atau kopi kampung sebaliknya lebih cenderung dengan resipi kopi fusion seperti Ice Blended, Moca Loca dan sebagainya yang dijual di kedai kopi kontemporari?
Mary: Cara penyediaan hidangan dan juga suasana persekitaran kafe itu sendiri.
i-Kon: Ada yang mengadu, jika tidak minum kopi, mereka sukar memberi tumpuan pada kerja, kurang fokus dan cepat marah. Adakah perkara ini benar? Mengapa ia terjadi?
Mary: Kadang-kadang ia benar berlaku atau mungkin kesan psikologi. Misalannya saya memulakan dengan secawan kopi lazat dan itulah saja untuk hari berkenaan.
i-Kon: Minuman alternatif lain yang digalakkan menggantikan kopi?
Mary: Digalakkan meminum kopi dua cawan sehari. Alternatif lain menggantikan kopi seperti teh, susu, jus buahan dan minuman malt.
i-Kon: Petua untuk menghilangkan ketagihan kopi?
Marry:
1. Tukarkan kopi berkafein ke pada kopi tanpa kafein. Minumlah seberapa banyak jumlah cawan kopi tanpa kafein seperti biasa dan kurangkan kopi berkafein. Lakukan sehingga seratus-peratus pulih.
2. Tidur secukupnya antara tujuh hingga 9 jam.
3. Ketika tidur, biarkan bilik gelap dan segar, kurangkan kebisingan serta tidur di atas tilam yang empuk.
4. Jumpa doktor jika mengalami masalah tidur (insomnia).
5. Buka tingkap dan dapatkan seberapa banyak cahaya di dalam kamar tidur sebaik saja selepas bangun tidur.
6. Ambil makanan berprotein tinggi ketika sarapan untuk membuatkan anda segar dan bertenaga.
7. Lakukan senaman setiap pagi.
--
Posted by Muhammad to Berita Melayu at 10/28/2005 06:12:00 PM