MUZAFFARABAD: Kira-kira 1.6 hingga 2.2 juta kanak-kanak di kawasan yang dilanda gempa bumi di Pakistan pada 8 Oktober lalu, akan memulakan persekolahan di dalam khemah yang didirikan agensi Pertubuhan Kanak-Kanak Antarabangsa (Unicef).
Tiada satu pun daripada 2,486 sekolah awam dan 76 kolej di daerah Muzaffarabad masih tegak berdiri selepas bencana itu, kata penyelia sekolah kerajaan, Manzoor Ahmed Naqashbandi.
“Dengan bantuan Unicef dan pertubuhan lain, kami akan mendirikan khemah bagi menggantikan sekolah bagi membolehkan murid meneruskan pengajian,” katanya.
Unicef menganggarkan sehingga 10,000 sekolah musnah di Kashmir dan barat laut Pakistan.
Pegawai Unicef, Katey Grusovin menyifatkan kemusnahan sekolah ini sebagai bencana terhadap kanak-kanak.
Antara 1.6 juta sehingga 2.2 juta kanak-kanak hilang tempat tinggal dan berisiko menghadapi pelbagai masalah, lapor Unicef.
Doktor pula menyatakan, separuh daripada pesakit mereka adalah kanak-kanak selepas gempa bumi yang dianggarkan mengorbankan sehingga 80,000 orang.
Kelmarin, kerajaan Pakistan menambah jumlah rasmi mereka yang terbunuh dalam gempa itu kepada 54,197.
--
Posted by Muhammad to Berita Melayu at 10/28/2005 06:33:00 PM