

Menambah beberapa kusyen kecil, yang penggunaannya dapat membangkitkan imej mewah
MEMPERKATAKAN mengenai benua kecil India apa yang mungkin tergambar di kepala sesetengah orang adalah sesuatu yang bersifat eksotik dengan kehidupan berkisar kepada dunia Maharaja dan istananya.
Dan ilham inilah yang membentuk pemikiran pereka dalaman di
www.theclickproject.com, Ena Hadzir dalam melakukan pengubahsuaian ruang tamu sebuah unit pangsapuri di Bukit Beruntung, Rawang untuk program Jom Tukar sempena perayaan pesta cahaya.
“Sewaktu meninjau unit ini, saya nampak ada dua patung gajah dan ia memberikan gambaran eksotik yang juga menampakkan ciri-ciri etnik dan bersandarkan itu saya membina konsep ini dengan menambah elemen moden.
“Kerana itu saya menggunakan katil siang (day bed) yang diperbuat daripada besi tempawan kerana perabot jenis ini dan bahan buatannya ada keserasian dengan gaya Maharaja yang ingin saya terapkan,” katanya.
Untuk melengkapkan gaya pada katil siang yang bertindak sebagai pengganti sofa, Ena menambah beberapa kusyen kecil, yang penggunaannya dapat membangkitkan imej mewah.
Ini ditambah dengan dua helai throw (selimut kecil) berwarna gelap yang bertindak sebagai alas bagi mengelakkan alas tilam yang digunakan daripada cepat kotor, selain menambah warna.
Sebagai pelengkap ruang, Ena meletakkan rak yang juga dari besi tempawan di hadapan katil siang yang digunakan untuk mengisi peti televisyen dan barangan hiasan milik tuan rumah. Kesemua perabot bagi pengubahsuaian ini diperoleh dari Courts Mammoth.
Dua patung gajah seramik yang dimiliki tuan rumah dan menjadi ilham kepada keseluruhan pengubahsuaian ruang tamu berkenaan pula diletakkan di kiri dan kanan rak untuk membangkitkan lagi suasana.
“Walaupun warna garang seperti merah sering dikaitkan dengan imej eksotik, namun saya cuba untuk meminimumkan imej ini dengan menyapu warna lilac pada dinding ruang tamu.
“Selain itu warna ini nampak lebih lembut dan ada elemen kontemporari,” kata Ena yang turut meletakkan sebuah meja kopi kecil di hadapan katil siang sebagai ruang untuk menghidang.
Untuk itu juga, Ena menggunakan fabrik jarang dengan warna hampir sama dengan dinding sebagai langsir di tingkap utama.
Sebagai tambahan kepada ruang di tingkap, Ena meletakkan sebuah kabinet yang dirapatkan ke dinding.
“Saya melihat ruang berhampiran tingkap lazimnya dibiarkan kosong oleh kebanyakan pemilik rumah dan kerana itu saya letakkan kabinet yang berfungsi sebagai ruang penyimpanan tambahan.
“Tetapi bahagian atasnya saya biarkan kosong dan tidak meletakkan sebarang hiasan bagi mengelakkan ia nampak berserabut,” kata Ena.
Bagi menambah ruang duduk, Ena meletakkan dua kerusi rotan yang di tengahnya diletakkan sebuah meja bulat.
“Bahan seperti rotan juga memberikan imej eksotik dan saya melihat padanan yang sesuai antara katil siang dengan dua kerusi rotan ini,” kata Ena
Bekas lilin dan pasu dari keluli tahan karat milik tuan rumah pula diletakkan di atas meja bulat sebagai hiasan bersesuaian dengan perayaan Deepavali.
--
Posted by Muhammad to Berita Melayu at 10/28/2005 06:30:00 PM