AHLI geografi Islam kurun ke-10, Ibnu Khurdabih, Sulaiman al-Tajir dan Al-Masudi pernah membuat kenyataan dalam buku mereka, ‘Kerajaan Silla dan dinasti Korea lama’ mengenai kedatangan orang Arab Islam ke Korea dan penempatan mereka di negara itu.
Selepas peperangan Korea pada 1950, negara itu dilanda kemiskinan. Dalam suasana kemusnahan,
Islam mula membenih sedikit demi sedikit, dibawa masuk askar Turki yang terbabit dalam peperangan, Zubeyr Koch dan Abdul Rahman.
Suasana perang rupa-rupanya membawa rahmat dan peluang kepada mereka untuk berdakwah dengan membina sebuah teratak yang diberi nama Quanset sebagai masjid.
Kini, Central Mosque atau Masjid Utama yang dibina oleh kerajaan yang bermurah hati memberikan tanah tapak pembinaan masjid menjadi pusat perkembangan dakwah dan pendidikan Islam di Seoul, Korea Selatan.
Masjid yang menjadi kebanggaan masyarakat Islam Korea itu dirasmikan oleh Raja Hassan II dari Maghribi.
Walaupun baru berusia 29 tahun, fungsi masjid itu sebagai penggerak kegiatan dakwah Islam di Seoul dihormati semua lapisan masyarakat Islam dan bukan Islam.
Hakikatnya tidak mudah untuk membina asas dakwah di Korea kerana tempat dan bahasa menjadi rintangan.
Justeru, orang Islam Korea menubuhkan persatuan Masyarakat Islam Korea untuk memudahkan masyarakat Islam berkumpul dan berinteraksi.
Usaha itu berhasil melembutkan hati segelintir masyarakat Korea untuk menerima Islam sebagai pedoman hidup yang abadi.
Sejak kebelakangan ini, masyarakat Korea amat meminati bahasa Arab dan ini mendorong persatuan menjadikan masjid sebagai pusat memperkenalkan bahasa Arab sebagai langkah awal dakwah.
Pihak persatuan berpendapat kelas itu bukan saja mengajar bahasa, malah ia memberi kefahaman mengenai Islam yang selama ini kabur pada pandangan mata masyarakat di sana.
Masyarakat Islam Korea mempunyai impian besar untuk melihat bangsa mereka maju di dunia dan akhirat, maka pembinaan Masjid Pusat yang dirasmikan Perdana menteri Korea, Choi Gyu Hwa menjadi titik perubahan penting dalam sejarah umat Islam Korea.
Bilangan masyarakat Islam Korea meningkat secara mendadak dari 3,000 orang kepada 15,000 orang pada 1979.
Bagaimanapun, peningkatan itu bukan disebabkan kewujudan masjid tetapi kerana sebahagian daripada 10,000 rakyat Korea yang dihantar bekerja dalam sektor pembinaan di Arab Saudi sekitar tahun 70-an memeluk agama Islam.
--
Posted by Muhammad to Berita Melayu at 10/28/2005 06:33:00 PM